Strategi Malaysian Malaysia

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Strategi Malaysian Malaysia


Sebenarnya dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia, kita tidak berasa dibezakan dan tidak berasa terancam tetapi apabila ada pihak yang membangkitkan soal ‘kontrak sosial’ maka apa yang selama ini diyakini sebagai nilai untuk jaminan hidup bersama telah dirasakan sebagai ancaman.

Hal ini adalah lebih merupakan soal perasaan atau emosional dan bukannya rasional.

Bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew (LKY) pernah berucap di Parlimen yang ketika itu masih dalam Malaysia dengan menimbulkan soal hak bagi setiap kaum untuk bercakap dalam bahasa ibunda di rumah masing-masing yang tidak boleh disekat oleh sesiapa pun.

Realitinya tidak ada pihak yang hendak menyekatnya, tetapi oleh kerana bahasa Melayu pada ketika itu diletakkan sebagai bahasa rasmi negara maka apabila LKY menimbulkan soal itu, timbul syak wasangka seolah-olah kerajaan akan menguatkuasakan peraturan itu di rumah.

Inilah kebijaksanaan LKY memainkan api perkauman untuk kepentingan mendapat sokongan terhadap Malaysian Malaysianya.

LKY telah dipatahkan daripada meneruskan kempen ini dengan penyingkiran Singapura dari Malaysia tetapi sekarang dari jauh beliau masih dapat memerhatikan taktik dan strategi yang sama digunakan oleh pembangkang di Malaysia termasuk anak angkatnya DAP ekoran kebebasan baru yang diberikan kepada rakyat Malaysia.

Naib Pengerusi DAP, M. Kulasegaran dan Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham telah berikrar untuk terus mempersoalkan hak ketuanan Melayu yang disifatkan tidak adil kepada semua kaum. Dalam kata-kata lain hak ketuanan itu yang disimbolkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu akan terus diungkit oleh mereka.

Kedua-dua orang kuat DAP itu tahu apa yang mereka lakukan dan mereka memang menduga dan mengharapkan reaksi kemarahan daripada orang Melayu.

Reaksi dari Melayu itu telah mempopularkan mereka dan menjadi mereka sebagai wira kepada bukan Melayu.

Reaksi orang Melayu yang meminta supaya Kulasegaran dilucutkan kerakyatan dan sebagainya tentunya akan menimbulkan simpati bukan Melayu kepadanya dan menampakkan orang Melayu sebagai perkauman.

Dengan strategi provokasi seumpama ini, DAP akan menjadi lebih popular dan malangnya orang Melayu terutamanya dari UMNO akan terus memberikan sokongan tanpa sedar kepada provokasi yang bersifat perkauman itu yang akan terus datang dalam pelbagai cara.

Ini adalah harga mahal yang terpaksa dibayar oleh UMNO akibat kebebasan yang telah diberikan kepada rakyat negara ini bermula sejak 2004.

Kemenangan besar pada 2004 bukannya digunakan untuk memperkukuhkan asas-asas perlembagaan bagi pembangunan suatu bangsa yang kuat, berdisiplin dan setia kepada negara ini, tetapi sebaliknya telah membuka ruang untuk menghancurkan nilai yang dibina sejak 50 tahun lalu yang sememang masih belum mantap.

Apa lagi yang hendak dikata. Kehancuran akan terus berlaku
.

‘Takut bayang-bayang sendiri’

Filed under: by: Pejuang orang melayu

‘Takut bayang-bayang sendiri’


Agak mengejutkan apabila kerajaan Selangor mengambil keputusan untuk melarang kakitangan awam dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) milik negeri daripada mengikuti kursus Biro Tata Negara (BTN) berkuat kuasa serta merta.

Ini boleh diklasifikasikan sebagai tindakan marahkan nyamuk tetapi kelambu yang dibakar atau pun takut bayang-bayang sendiri. Kenapa takut sangat dengan kursus BTN? Adalah tidak adil sama sekali melemparkan tuduhan liar bahawa ia merupakan proses doktrinisasi oleh Barisan Nasional (BN) hingga mencetuskan fenomena perkauman.

Tuduhan bahawa BN cuba memecah belahkan penduduk pelbagai bangsa dan agama tidak boleh diterima sama sekali. Apakah kita lupa dan masih tidak sedar bahawa siapa yang sedang berusaha keras untuk menyatupadukan rakyat berbilang bangsa negara ini? Siapa yang telah memperkenalkan konsep 1Malaysia demi mewujudkan satu bangsa Malaysia yang sehati dan sejiwa?

Jika pihak kerajaan Selangor merasakan pengaruh mereka semakin terhakis itu adalah disebabkan kesilapan mereka sendiri yang gagal menyelesaikan pelbagai masalah yang timbul. Mereka juga dilihat gagal meyakinkan rakyat dengan corak pemerintahan mereka.

Usahlah cuba menyalahkan orang lain di atas kesilapan diri sendiri. Jika benar dakwaan bahawa rakyat masih menyokong mereka maka kenapa perlu takut dengan perkara kecil sebegini? Apalah sangat dengan kursus yang hanya makan masa selama seminggu sahaja?

Rakyat kita semakin bijak dan waras dalam membuat pertimbangan dan pemilihan. Justeru janganlah terlalu memandang rendah kepada kemampuan rakyat negeri Selangor. Mereka tetap akan menyokong jika mereka mahu walaupun ada pihak yang cuba menghalang mereka.

Keputusan ini dilihat lebih banyak mendatangkan kerugian daripada keuntungan. Pihak pelajar terutamanya, bakal menjadi mangsa keadaan. Mahasiswa yang sepatutnya diberi peluang serta pendedahan untuk mengikuti kursus-kursus kenegaraan sebegini pastinya terlepas peluang dengan sebegitu sahaja.

Sebagai peserta yang pernah menjalani kursus BTN ini penulis merasakan ia satu kursus yang cukup baik dan bermanfaat, terutamanya dari segi pembentukan jatidiri serta ketahanan mental dan fizikal.

Adalah sangat merugikan apabila mahasiswa dan kakitangan kerajaan tidak berpeluang lagi mengikuti kursus ini. Diharap kerajaan Selangor akan menimbang semula keputusan larangan tersebut.

Memanglah mereka mempunyai kuasa dan hak ke atas IPT dan jabatan milik kerajaan negeri. Tetapi janganlah menggadaikan masa depan anak-anak kita serta kualiti kerja serta moral dan motivasi kakitangan awam. Tiada gunanya menggunakan kuasa untuk perkara-perkara sebegini.

Utamakanlah masa depan anak- anak kita yang perlu dipupuk dengan nilai-nilai murni, jatidiri serta perasaan sayangkan negara kita. Usahlah mempolitikkan isu-isu sebegini yang jelas tidak mendatangkan sebarang faedah.

Banyak lagi hal yang boleh dipolitikkan dan digunapakai sebagai modal survival politik masing-masing. Biarlah mahasiswa dan kakitangan awam melaksanakan tugas mereka tanpa sebarang prasangka dengan ikhlas dan telus.



Kenapa perlu bai'ah?

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Kenapa perlu bai'ah?


Hampir seluruh rakyat Malaysia terkejut dan terpinga-pinga dengan pendedahan konsep bai'ah yang dipraktikkan selama ini oleh sebuah parti yang begitu mendabik dada sebagai pejuang Islam yang tulen. Rupa-rupanya ia bukanlah suatu amalan baharu bagi mereka, cuma ia baru sekarang didedahkan untuk perhatian orang ramai.

Sebagai sebuah masyarakat yang sangat mementingkan ikatan kekeluargaan dan kasih sayang, agak sukar untuk kita menerima amalan yang boleh diklasifikasikan sebagai 'kejam' dan 'zalim' bukan sahaja kepada kaum wanita tetapi kepada seluruh masyarakat negara ini.

Apalah salah dan dosa kaum isteri sehingga mereka menjadi mangsa kerakusan nafsu politik si suami? Ia umpama 'marahkan nyamuk, kelambu yang dibakar'. Yang bersalah orang lain tetapi orang lain yang dipaksa menerima akibatnya. Di mana keadilan dan pertimbangan mereka yang kononnya sentiasa memperjuangkan agama Islam di negara ini.

Kedudukan kaum wanita telah diangkat ke tahap yang cukup tinggi dan mulia oleh Nabi Muhammad SAW. Agama Islam adalah benteng yang terbaik untuk memelihara martabat kaum wanita di dunia ini. Maka jika benar mereka memperjuangkan Islam, kenapa perkara sebegini boleh menjadi amalan dan ikutan mereka? Kenapa kaum wanita dibiarkan diperlakukan sebegini?

Ini secara tidak langsung menggambarkan seolah-olah mereka kembali ke zaman jahiliyah di mana kedudukan kaum wanita pada masa itu begitu rendah dan hina sekali pada pandangan manusia dan masyarakat dunia. Kaum wanita pada ketika itu bukan sahaja tiada sebarang nilai malah diperlakukan sebagai barang dagangan sesuka hati tanpa sebarang belas kasihan.

Apakah kita mahu kembali ke zaman tersebut setelah Islam mencetuskan sinar baharu untuk kaum wanita di dunia ini? Kaum wanita yang sewajarnya dilindungi, disayangi dan dimuliakan telah dijadikan alat percaturan dan ugutan politik golongan ini.

Di kala kita berusaha keras untuk menerapkan pelbagai nilai murni ke dalam masyarakat kita untuk memperkukuhkan institusi kekeluargaan tiba-tiba kita digemparkan dengan berita sebegini. Di mana kewajaran dan kewarasan akal fikiran mereka sehingga tergamak mencampuradukkan urusan perkahwinan dengan urusan politik.

Tidakkah mereka melihat kesan daripada bai'ah ini kepada institusi kekeluargaan Muslim negara kita? Tidak cukupkah dengan perpecahan umat Islam yang sedang berlaku dalam negara ini?

Biarlah orang politik beradu tenaga dengan orang politik secara gentleman. Usahlah diseret bersama para isteri yang tidak tahu apa-apa ataupun tiada sebarang kaitan dengan fahaman politik suami mereka. Renung-renungkanlah nasib dan masa depan anak-anak kita jika berlaku perceraian melalui bai'ah ini.

Isu keluar parti ataupun lompat parti adalah melibatkan soal moral dan prinsip pegangan seseorang individu tersebut justeru yang perlu dihukum adalah individu berkenaan dan bukannya para isteri mereka. Carilah kaedah lain untuk menahan mereka daripada keluar parti.

Namun satu perkara yang perlu diterima hakikatnya ialah, tiada gunanya kita melarang, menahan mahupun mengugut mereka yang hendak keluar parti jika itulah pilihan dan keputusan mereka. Perlu diakui bahawa kita adalah negara demokrasi yang memberi hak kepada setiap individu untuk memilih parti ataupun fahaman yang mereka sukai. Belajarlah untuk menghormati nilai demokrasi tersebut.

Kita berharap semua pihak, baik pihak yang berkuasa mahupun pihak yang memperkenalkan bai'ah ini segera bertindak sebelum terlambat. Cukuplah dengan pelbagai polemik yang sedang memeningkan kepala umat Islam negara ini, janganlah dimudaratkan lagi dengan perkara sebegini.

Jika benar ajaran Islam menjadi pegangan utama maka kembalilah ke ajaran Islam yang sebenarnya. Tidak cukup setakat bertopengkan Islam tetapi perbuatannya bertentangan dengan ajaran tersebut.

UMNO masih belum terlambat

Filed under: by: Pejuang orang melayu

UMNO masih belum terlambat


Perhimpunan agung UMNO telah berlalu. Perwakilan telah kembali ke tempat masing-masing dengan semangat yang baru. Persoalannya sekarang, apakah mesej yang disampaikan oleh Presiden telah diterima dan dihayati sepenuhnya oleh mereka?

Bilakah UMNO akan berubah? Sekarang, esok, lusa, sebulan lagi, setahun lagi atau bila? Perlukah ia dibuat segera atau masih boleh ditangguhkan dulu? ‘‘Tidak apa... masa masih ada. Awal lagi, nak kalut apa?’’ Adalah antara ungkapan yang sering didengar.

‘‘Kita mesti berubah segera... mesti ada urgency,’’ kata Timbalan Presiden UMNO. Begitulah juga kata-kata yang didengar ketika UMNO dan Barisan Nasional tewas dalam pilihan raya Mac 2008. Bilakah UMNO akan keluar dari zon selesa? Entahlah, bak kata pepatah Inggeris - old habits die hard!

Menzahirkan perubahan adalah mesej utama Presiden. Kata mesti dikota - bukan hanya omongan kosong. Pemimpin tidak boleh hanya pandai bercakap atau menabur janji setiap masa. Banyakkan amalan bukan khayalan.

Masa untuk berubah sebenarnya berlaku lama dulu. Namun seperti biasa, UMNO memerlukan pemimpin atasan untuk bersuara.

Jika tidak, mereka tidak akan berbuat apa-apa. Sudahkah terlambat untuk berubah? Rasanya, masa masih ada. Cuma perlu lebih agresif dan proaktif sepanjang masa. Tidak ada masa lagi untuk bersengketa. Tidak ada masa lagi untuk bersukaria. Tidak ada masa lagi untuk mengadu domba.

UMNO bukan parti untuk mencari makan. UMNO bukan juga parti untuk mencari populariti. Pemimpin UMNO perlu merendah diri. Rajin turun ke akar umbi. Cantas-mencantas perlu dihindari. Lebihkan bantu-membantu sesama sendiri