NGO Melayu - Katalis penyatuan Melayu, Islam

Filed under: by: Pejuang orang melayu

NGO Melayu - Katalis penyatuan Melayu, Islam

Usaha untuk mencari titik pertemuan Melayu dan Islam seperti yang dititahkan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah sewaktu upacara ulang tahun keputeraan baginda baru-baru ini perlu diterima sebagai perjuangan baru sepanjang zaman bagi setiap individu yang beragama Islam dan bergelar Melayu.

Tidak kita nafikan ramai kecewa dengan kenyataan terbuka Datuk Seri Mohammad Nizar bahawa Pas tidak akan bekerjasama dengan UMNO dalam merealisasikan kehendak Sultan Azlan Shah. Pertikaian sama ada 'UMNO lebih memerlukan Pas dan bukan sebaliknya' menunjukkan bahawa kenyataan bekas Menteri Besar Perak itu berbaur emosi, individualistik dan tidak mewakili Pas secara keseluruhan.

Hakikatnya, saranan Sultan Azlan Shah adalah murni dan mempunyai nilai kerohanian yang tinggi. Pas yang berjuang atas imej Islam sepatutnya berlapang dada dan menjadi yang paling awal terpanggil untuk menyahut saranan Sultan Perak. Sebaliknya, saranan tersebut ditolak mentah-mentah atas alasan-alasan tersendiri.

Badan-badan bukan kerajaan (NGO) Melayu juga perlu menjadi pemangkin (katalis) penyatuan Melayu dan Islam seperti yang disarankan oleh Sultan Azlan dan bukan terus melaga-lagakan parti-parti politik Melayu dengan pelbagai kenyataan sehingga menimbulkan kemusykilan terhadap kedudukan NGO sebagai badan perwakilan rakyat di peringkat akar umbi yang bebas daripada politik.

Sesungguhnya mengikut kajian peringkat akar umbi persatuan kami, usaha ke arah penggabungan UMNO-Pas adalah perkara yang paling ditakuti oleh barisan parti-parti pembangkang lain. Ini adalah kerana gabungan UMNO dan Pas secara majoriti mampu memberi sokongan solid undian Melayu setiap kali pilihan raya umum diadakan.

Jika kita kaji secara halus dan mendalam isu pergeseran UMNO-Pas hari ini adalah berpunca daripada individu-individu dalam kedua-dua parti itu sendiri dan tiada kaitan dengan wawasan serta objektif parti politik masing-masing.

Antara usaha UMNO dan Kerajaan Barisan Nasional adalah dengan wujudnya Undang-Undang Syariah Kekeluargaan Islam yang setaraf dengan Mahkamah Sivil (Perkara 121 1(A) Perlembagaan Persekutuan) melalui pelaksanaan yang disokong oleh majlis dan jabatan agama Islam seluruh Malaysia; Sistem kewangan dan perbankan Islam yang menjadi pusat rujukan dunia; Tabung Haji - sebuah institusi terbaik dunia dalam mempermudahkan rakyat mengerjakan ibadah haji dan umrah; Sistem pungutan zakat dan Baitul Mal; Sistem persijilan makanan halal yang diiktiraf dunia; dan banyak lagi.

Hukum hudud adalah hukum Allah yang sentiasa dekat dengan jiwa Islam dan jika persoalan itu menjadi alasan Pas untuk tidak bekerjasama dengan UMNO, ia adalah alasan kurang tepat. Hari ini, apabila hukum hudud dicadangkan di Dewan Undangan Negeri Kelantan, ramai juga ADUN UMNO yang mengangkat tangan bersetuju tetapi apabila diusulkan mengenai pelaksanaannya, perbincangan terhenti.
Memang kita akui bahawa usaha menterjemahkan hudud melalui pelaksanaannya seratus peratus ke atas sebuah negara pelbagai bangsa dan agama seperti Malaysia adalah suatu cabaran besar.

Di sinilah NGO Melayu boleh memainkan peranan dalam menggerakkan para intelektual Melayu dan Islam supaya berusaha mencari penyelesaian ke arah sistem pelaksanaan dengan mengambil kira tahap kesediaan penerimaan rakyat bukan Islam mengenai hukum tersebut.

Usaha ini bak kata pepatah Melayu, seperti 'menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak'.

Penyatuan Melayu-Islam adalah ternyata suatu usaha yang jujur dan ikhlas yang boleh membawa bangsa Melayu dan agama Islam ke tahap yang tidak terdaya disaingi oleh pesaing-pesaing lain. Ia perlu menjadi perjuangan abadi sepanjang zaman dan sentiasa direnungkan sebagai perjuangan yang belum selesai.

Hayati lagu Ilham Pujangga semai jati diri generasi muda

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Hayati lagu Ilham Pujangga semai jati diri generasi muda

Peringatan Sultan Azlan Shah mengenai tindakan kumpulan tertentu menghasut rakyat selain mencemar institusi diraja dengan menyemai rasa benci mengingatkan saya kepada lirik lagu Ilham Pujangga, nyanyian Ismail Haron pada 1972.

Sehingga kini, lagu itu masih berkumandang menerusi siaran Klasik Nasional. Antara lain, lirik lagu itu menyebut 'Ia anak muda tidak kerana tergelincir kakinya, tetapi matinya anak muda itu kerana tergelincir lidahnya, berdiamlah diri kamu daripada perkara yang bukan-bukan, bersuaralah kamu kepada perkara yang memberi kebaikan.'

Oleh kerana anak muda kini lebih pandai dalam soal lagu, lirik dan sebagainya, saya berasakan adalah elok lagu ini disiarkan lebih kerap terutama di televisyen.

Generasi muda kita sudah ramai yang buta Rukun Negara, sampai ada yang tidak tahu menyebutnya sampai habis, malah tergagap-gagap hendak sebut mana dulu dan mana kemudian, maka eloklah lagu Ilham Pujangga ini disiarkan supaya dihayati dengan mendalam.

Sebenarnya, proses membentuk jati diri masyarakat, terutama anak muda yang mudah digoyah oleh sesuatu pengaruh perlu diberi perhatian kerajaan.

Mereka sebenarnya perlu diberi pendedahan mengenai kemelut politik, bahaya perpecahan, pentingnya perpaduan kaum dan perlunya mereka menabur jasa kepada negara, bukannya mencari jalan meruntuh dengan pelbagai tingkah laku negatif.

Dalam satu wawancara di televisyen baru-baru ini, seorang penganalisis politik menjelaskan bahawa jati diri sangat penting bagi generasi muda yang lahir selepas pasca merdeka. Malangnya, mereka ini tidak boleh diumpamakan seperti ikan laut, walaupun dikelilingi air masin, isinya manis, sedap dan menyelerakan.

Anak muda sekarang dipalit pelbagai macam isu yang akhirnya mendorong mereka melakukan pelbagai perkara di luar dugaan.

Sudah sampai masanya mata pelajaran Sejarah dinilai semula kedudukannya untuk diperkenalkan pada peringkat sekolah rendah, manakala pada peringkat sekolah menengah kajian mengenai keberkesanan mata pelajaran itu sangat penting untuk melihat sejauh mana kesesuaiannya dengan tuntutan zaman.

Pemimpin politik pula diharap tidak terlebih emosi untuk mempengaruhi penyokong sehingga bertindak liar.

Sehubungan itu, titah Sultan Azlan Shah mesti dijadikan iktibar oleh semua pihak agar segala permasalahan yang mampu membawa ke kancah tidak diingini boleh dielakkan.

Pilihan raya bukan medan tunjuk kekuatan

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Pilihan raya bukan medan tunjuk kekuatan


Pendirian bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin yang tetap dengan keputusannya meletak jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penanti, walaupun siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tiada asas untuk mendakwanya atas tuduhan rasuah, bermakna pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti perlu diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-12, tahun lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadualkan mengadakan mesyuaratnya hari ini bagi menetapkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi bagi kawasan DUN yang terletak dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh dan kubu kuat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

Peletakan jawatan Mohammad Fairus, yang berbuat demikian dengan alasan membersih namanya daripada segala tohmahan dan untuk melanjutkan pelajaran, dari satu segi memperlihatkan beliau menjadi mangsa pergolakan dalam PKR Pulau Pinang supaya kepemimpinan parti dapat meletakkan calon pilihannya sebagai Adun dan seterusnya dilantik Timbalan Ketua Menteri 1.

Malah sebelum Mohammad Fairuz meletakkan jawatan sebagai Adun Penanti, sudah kedengaran nama bakal pengganti beliau di kalangan pemimpin kanan parti itu untuk jawatan Timbalan Ketua Menteri. Hakikat bahawa PKR belum lagi menyerahkan nama calonnya untuk mengisi kekosongan itu kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng, mengukuhkan lagi andaian bahawa calon PKR bagi pilihan raya kecil Penanti nanti, jika menang, turut dicadangkan sebagai orang nombor dua dalam kerajaan negeri itu.

Pengosongan kerusi Penanti juga, turut membayangkan pembangkang khususnya PKR, semakin angkuh dan terlalu yakin selepas mereka memenangi tiga daripada empat pilihan raya kecil sebelum ini. Atas keyakinan dapat memenangi kerusi di kubu kuat mereka dengan mudah, PKR seolah-olah menjadikan pilihan raya kecil sebagai wadah memperlekehkan parti lawan, bukannya untuk memilih seorang wakil yang benar-benar boleh berkhidmat kepada rakyat di kawasan berkenaan.

Pilihan raya kecil yang kebiasaan diadakan apabila berlaku kematian wakil rakyat atau penyandang terpaksa meletakkan jawatan kerana kes mahkamah, kini bertukar menjadi medan menunjukkan kekuatan dan populariti.

Malah bagi pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh Ogos lalu dan DUN Penanti tidak lama lagi, penyandang meletak jawatan semata-mata kerana mahu memberi laluan kepada kelompok atau kaum kerabat mereka. Bekas penyandang di Permatang Pauh, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meletak jawatan bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding, manakala Mohammad Fairuz berbuat demikian selepas menerima tekanan berterusan kerana kepemimpinan PKR mahukan orang lain.

Yang jelas pembangkang tidak boleh menjadikan isu moral sebagai alasan 'memaksa' Mohammad Fairuz meletakkan jawatan, walaupun sebelum SPRM mendapati tiada asas untuk mendakwanya atas tuduhan rasuah. Jika soal moral dijadikan alasan, tentu kepemimpinan PKR tidak memujuk Adun Bukit Lanjan, Elizabeth Wong, yang mahu meletak jawatan atas alasan peribadi selepas isu gambarnya disiarkan menerusi internet, baru-baru ini.

Ternyata PKR mengamalkan 'double standard' dalam hal ini. Mereka cepat menerima peletakan jawatan Mohammad Fairus kerana mahu menggantikannya dengan orang lain dan Penanti pula kubu kuat mereka, manakala Elizabeth Wong terpaksa dipujuk kerana pengundi Bukit Lanjan berbeza dengan pemilih di Penanti.

Tindakan mengosongkan kerusi tanpa sebab munasabah dan semata-mata untuk menguji populariti seperti itu, sama ada oleh parti pembangkang atau parti kerajaan tidak harus dibiarkan menjadi amalan di negara ini. Walaupun ia dibenarkan dalam sistem demokrasi, kos untuk mengendalikan pilihan raya kecil datangnya daripada poket rakyat dan dalam keadaan ekonomi sekarang, setiap wang rakyat harus dibelanjakan untuk manfaat mereka.

Kekerapan pilihan raya kecil juga bermakna perhatian terus diberikan kepada politik sehingga menenggelamkan isu-isu pokok membabitkan kepentingan rakyat yang perlu ditangani sama ada oleh kerajaan atau pembangkang.

Kepada sebahagian besar rakyat, politik di negara ini, terutama sejak pilihan raya umum lalu, sudah cukup memualkan. Sementara pada pihak parti kerajaan, perhatian sudah mula diberikan kepada isu-isu rakyat, pembangkang nampaknya masih belum kebah daripada demam kemenangan mereka dan berpolitik sepanjang masa.

Langkah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengkaji pindaan Akta Pilihan Raya untuk menghalang wakil rakyat mengosongkan kerusi tanpa sebab munasabah diharap dapat menghentikan tindakan menyalahgunakan sistem pilihan raya dan mencemarkan semangat demokrasi itu.

Peletakan jawatan sewenang-wenangnya atas alasan peribadi atau masalah dalam parti, yang tidak membabitkan kepentingan rakyat, harus dihentikan. Barangkali, pindaan akta itu nanti harus mengenakan denda atau bayaran tertentu kepada wakil rakyat yang berbuat demikian, seperti mereka perlu membayar deposit ketika mahu bertanding dulu.

Liberalisasi ekuiti, kewangan mesti dimanfaat rakyat

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Liberalisasi ekuiti, kewangan mesti dimanfaat rakyat

Langkah kerajaan membuka pasaran 27 sektor kecil perkhidmatan tanpa sebarang syarat pegangan ekuiti tempatan seperti diumumkan Datuk Seri Najib Razak kelmarin adalah satu langkah drastik yang berani, tetapi dilihat menepati keperluan untuk mendepani keadaan ekonomi global yang agak muram sekarang. Jika sebelum ini ada pelabur bimbang menanam modal di negara kita kerana sekatan pemilikan ekuiti Bumiputera, kini mereka boleh memiliki sepenuhnya kepentingan dalam 27 sektor kecil itu.

Ketika seluruh dunia menghadapi kemerosotan pelaburan langsung asing (FDI) dan sektor eksport setiap negara, termasuk Malaysia terjejas teruk berikutan permintaan yang jatuh mendadak, pembukaan pasaran bagi 27 sektor itu dilihat sebagai jalan alternatif untuk mengekang kemelut kejatuhan pelaburan asing itu.

Langkah ini dijangka membawa masuk lebih banyak FDI, sekali gus memberi kesan positif kepada pertumbuhan ekonomi negara. Kesan positif secara langsung yang akan dirasai daripada kemasukan FDI ini adalah dari segi kewujudan lebih banyak peluang pekerjaan dalam negara.

Mungkin ada pihak yang bimbang kemungkinan langkah itu menjejaskan industri perkhidmatan dalam negara. Sudah tentu pihak kerajaan, terutama Unit Perancangan Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri sudah membuat kajian mendalam meliputi semua aspek sebelum pengumuman itu dibuat.

Liberalisasi sektor perkhidmatan kewangan pula dijangka diumumkan minggu depan dan kita menjangka ia akan turut membabitkan sektor kewangan Islam yang kini menjadi alternatif utama kepada kaedah konvensional. Liberalisasi sektor kewangan Islam bakal menjadikan ia peneraju utama sektor kewangan Malaysia, mengatasi sektor kewangan konvensional, selaras usaha menjadikan Malaysia sebagai hab kewangan Islam dunia.

Oleh itu, setiap inisiatif untuk memajukan sektor kewangan Islam memerlukan anjakan paradigma berorientasikan inovatif. Langkah itu juga sejajar dengan komitmen Malaysia terhadap Perjanjian Asean mengenai liberalisasi sektor perkhidmatan dan kewangan.

Bagaimanapun, sejak dasar itu mula dilaksanakan beberapa tahun lalu, tidak semua negara Asean bersedia membuka pasaran kerana masing-masing mahu melindungi kepentingan dalam negara sendiri, tetapi kemelut ekonomi yang sedang dihadapi memungkinkan lebih banyak negara anggota berbuat demikian jika mahu menghidupkan kegiatan ekonomi dalam suasana tidak menentu. Semua langkah itu, tidak akan memberi kesan buruk kepada industri perkhidmatan domestik kerana kerajaan sudah memberi jaminan untuk terus menyokongnya menerusi pembangunan kapasiti dan pembukaan pasaran eksport.

Begitu pun, kerajaan perlu mengambil iktibar krisis subprima yang tercetus di Amerika Syarikat dan kini merebak ke seluruh dunia, supaya lebih berhati-hati merangka strategi meliberalisasikan sektor perkhidmatan supaya kejayaannya turut dinikmati rakyat tempatan, sejajar pendekatan ‘Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan.’

Bertanding di Penanti ambil kira kepentingan rakyat

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Bertanding di Penanti ambil kira kepentingan rakyat


Sama ada Barisan Nasional (BN) akan meletakkan calonnya atau tidak untuk bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti di Pulau Pinang yang dijangka diadakan tidak lama lagi, masih terlalu awal untuk diduga.

Meskipun kenyataan awal oleh beberapa pemimpin BN termasuk Datuk Seri Najib Razak sendiri jelas menunjukkan parti itu tidak begitu berminat untuk turut serta kerana menganggap pilihan raya kecil berkenaan sebagai helah politik pembangkang, ada juga pihak yang berpendapat bahawa tindakan memulaukan pilihan raya itu sebagai tidak wajar.

Mereka yang mahukan BN khususnya Umno bertanding berpendapat mengecualikan diri daripada bertanding akan bermakna ‘mengaku kalah sebelum bertarung.’ Ini dikatakan bukan saja akan menjejaskan kredibiliti parti itu, malah mengecewakan anggota parti dan melemahkan semangat mereka.

Sebagai parti yang sedang berusaha memperbaiki imejnya yang tercalar selepas kekalahan teruk pada pilihan raya umum lalu dan empat pilihan raya kecil selepas itu, Umno dikatakan perlu meyakinkan parti komponen lain bahawa BN wajib bertanding di Penanti, salah satu daripada tiga kerusi DUN dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh, satu-satunya kubu kuat ketua pembangkang dan pemimpin de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia juga taktik untuk menutup krisis dalaman yang dihadapi PKR sekarang di samping cuba mengalihkan perhatian masyarakat daripada masalah peribadi yang dihadapi Anwar sendiri. Adalah diramalkan beliau akan memaksa lebih banyak pilihan raya kecil diadakan menjelang perbicaraan kesnya, lewat Julai ini.

Bertolak daripada pendirian demikian, adalah lebih munasabah dan wajar bagi BN untuk tidak turut serta pada pilihan raya kecil itu. Sebaliknya, jika BN mengambil bahagian, parti ini bukan saja akan sekali gus memasuki perangkap pembangkang. Ini dengan sendirinya menggalakkan mereka untuk memaksa lebih banyak pilihan raya kecil pada masa akan datang untuk terus menyemarakkan semangat penyokong mereka dan pada masa sama mengganggu gugat tumpuan kerajaan daripada usaha membangunkan negara serta memperbaiki taraf hidup rakyat.

Oleh yang demikian, apa pun keputusan yang bakal diambil pucuk pimpinan BN berhubung penyertaannya pada pilihan raya kecil itu nanti, mereka tidak boleh lari daripada falsafah ‘1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri.


Pencapaian yang perlu diutamakan di sini ialah pencapaian dari segi melaksanakan projek dan program di bawah dua pakej rangsangan ekonomi yang telah dilancarkan untuk mengurangkan beban dan penderitaan rakyat akibat krisis ekonomi global yang sedang dihadapi.

Pencapaian paling baik yang mampu diperoleh daripada bertanding pada pilihan raya kecil yang tidak perlu itu ialah kemenangan bagi calon BN. Kemenangan ini belum tentu dapat mengubah keadaan dan menambah baik kehidupan rakyat di Penanti.

Sebaliknya kalau keputusan, tindakan atau gerak kerja yang dilaksanakan masih dipengaruhi pertimbangan biasa seperti diamalkan selama ini, maka usaha untuk menjadikan urusan kerajaan dan parti sebagai tidak seperti biasa atau ‘no longer business as usual’ tidak akan berjaya. Budaya lama yang jelas mengekang kemajuan akan terus bertapak di minda rakyat.

Masa untuk rakyat menjadikan soal maruah, menjaga hati dan perasaan sebagai asas untuk membuat pertimbangan sehingga mengatasi soal praktikaliti dan rasional sepatutnya sudah berlalu.

Pemuda penggerak 1Malaysia

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Pemuda penggerak 1Malaysia

Hakikat kemenangan parti politik pada pilihan raya umum atau kecil ialah sokongan pengundi. Pengundi dalam era kontemporari punyai pelbagai cita rasa, pengharapan dan aspirasi. Mereka bukan lagi pengundi era tiga dekad lalu, kini pengundi baru, saluran tiga dan empat mempunyai kelebihan berdasarkan empat aspek iaitu maklumat alternatif yang pelbagai, kebijaksanaan hasil proses pendidikan dan indoktrinasi sosial, pengaruh persekitaran dan pengalaman serta pemerhatian.

Justeru, parti politik perlu bijak mencari metodologi, kaedah dan pendekatan terbaru. Prinsip penting ‘jangan memandang rendah pada tahap intelektual pengundi’ atau mendekati mereka secara bermusim.

Ketika ini, kebanyakan parti yang bertanding lebih mementingkan program dan aktiviti, misalnya ceramah, jamuan keramaian, penyampaian bantuan sedangkan yang hadir majoritinya petugas parti berkenaan, penyokong parti dari luar bukannya pengundi setempat

Natijahnya, jadilah program dan kempen tadi ibarat syok sendiri, sasaran tidak mengena, kerana jumlah pengundi setempat yang hadir hanyalah kecil. Ini merugikan wang, masa dan membabitkan percaturan strategi yang salah. Justeru, gagasan mencari, mengenali, mendekati, mendaftar dan merayu pengundi harus dijayakan secara konsisten.

Dalam konteks Umno dan komponen Barisan Nasional (BN), peranan ini wajar disegerakan oleh barisan pemudanya. Bentuk pasukan muhibah BN, supaya lepasan pusat pengajian tinggi dan institusi kemahiran dapat didekati dan diselami perasaan mereka. Dekati mereka secara santai, cuba bebaskan mereka melalui pendekatan tanpa banyak protokol dan soal elitis untuk membuka peluang dan tempat bagi mereka meraih pekerjaan supaya mobiliti sosial diri dan keluarga mampu dianjak ke tahap lebih baik.

Segarkan budaya percambahan ilmu bersama golongan ini, jangan terlalu ditekankan soal kepartian sebaliknya ajak mereka punyai rasa bangga, sikap taddabur, penghayatan dan beri mereka makna bahawa kejayaan yang dimiliki kini hasil perjuangan kepemimpinan terdahulu.

Jangan banyak retorik atau majlis formal, segerakan usaha ini, barisan pemuda jangan lagi khayal dengan jawatan Exco, dari Ketua Pemuda baik Umno, MCA, MIC, PPP, dan Gerakan, jayakan prinsip 1Malaysia dengan bangunkan jiwa pemuda dan golongan generasi baru ini dengan kursus, latihan kepemimpinan, aktiviti jaya diri dan buka peluang seluasnya untuk mereka menzahirkan kerangka percambahan idea yang bernas.

Jika berbeza pendapat jangan anggap mereka sebagai penentang sebaliknya terima sebagai satu hikmah, jika mereka liar dengan aktiviti rempit atau masalah penyimpangan sosial, jinak dan lunak hati mereka dengan seruan hikmah, iman dan pengisian rohani.

Kepada pergerakan pemuda semua komponen, hayun langkah yang betul, jadilah ikon yang dihormati, supaya generasi dan komuniti muda akan hormatkan anda, kerana mereka adalah wajah masa depan 1Malaysia , pewaris kepemimpinan bermaruah, pelapis teknokrat dan arkitek pembangunan negara, jadilah pemimpin pemuda yang berakhlak, merendah diri, tinggi sahsiah diri, beradab dan berbudaya kelas pertama.

Akur peringatan Sultan Perak

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Akur peringatan Sultan Perak

Semua rakyat Malaysia, terutamanya ahli politik harus akur dengan peringatan Sultan Perak mengenai pentingnya institusi raja Melayu disisihkan daripada sebarang pergolakan atau pertikaian politik sesama mereka.

Institusi raja-raja perlu dipertahankan sebagai payung naungan rakyat sepanjang zaman daripada dicemari oleh mana-mana pihak.

Dalam konteks ini titah Sultan Perak perlu dijadikan iktibar dan panduan kepada rakyat supaya institusi raja-raja tidak diheret ke kancah politik dan raja berada di atas politik.

Persefahaman terhadap peranan institusi raja dalam masyarakat majmuk adalah penting dalam memastikan keamanan dan kemakmuran negara kita.

Pilihan raya kecil hanya menyusahkan rakyat

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Pilihan raya kecil hanya menyusahkan rakyat


Pengundi merasakan pilihan raya kecil bagi DUN Penanti, Pulau Pinang, tidak perlu kerana ia hanya akan menyusahkan rakyat. Bayangkan bagi pengundi DUN Penanti yang tinggal di luar Pulau Pinang, ia adalah sesuatu yang menyusahkan kerana terpaksa balik kampung semata-mata untuk mengundi.

Bukan hendak menafikan hak kami sebagai pengundi, tetapi cuba fikir bagi yang tinggal di Kuala Lumpur terpaksa balik ke kampung. Fikirkan kos yang terpaksa ditanggung oleh pengundi seperti tambang, petrol dan tol, dalam kegawatan ekonomi sekarang.

ADUN Penanti tidak perlu letak jawatan kerana sebabnya tidak munasabah. Rakyat pun sudah muak dengan permainan politik seperti ini. Terlalu kerap pilihan raya kecil diadakan sejak akhir-akhir ini. Rasanya rakyat macam diperbodoh-bodohkan. Janganlah sampai menyusahkan rakyat, sebaliknya tumpukan sahaja pada agenda untuk kepentingan rakyat.

Cukuplah pilihan raya hanya dibuat lima tahun sekali, kecuali ADUN atau Ahli Parlimen tertentu meninggal dunia. Tidak perlu diadakan pilihan raya kecil setiap kali ADUN meletak jawatan.

Setiap kali pilihan raya kecil kerajaan membelanjakan wang berjuta-juta ringgit. Elok wang tersebut diagihkan kepada orang-orang miskin atau disumbangkan untuk pembangunan sesuatu projek rakyat, sekurang-kurangnya ia bermanfaat untuk kepentingan rakyat.

Ingatlah ADUN dan Ahli Parlimen dipilh oleh rakyat untuk membawa masalah rakyat di Dewan Undangan Negeri atau di Parlimen. Rakyat bukan memilih mereka untuk menunjukkan siapa yang lebih berkuasa tetapi untuk memikirkan kepentingan rakyat.

Janganlah terlalu sibuk untuk berpolitik hanya untuk kepentingan diri, pangkat kedudukan dan jawatan. Sebaliknya fikrkanlah masalah yang dihadapi oleh rakyat dan sumbangkanlah sesuatu yang bermanfaat untuk rakyat. Semoga apa yang kita lakukan mendapat keberkatan

Penanti: Muslihat PKR terserlah

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Penanti: Muslihat PKR terserlah


RUPA-rupanya ada 'cerita' di sebalik dua insiden membabitkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kebelakangan ini.

Sikap berlengah-lengah mengemukakan calon untuk mengisi jawatan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang dan peletakan jawatan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin semalam, menggambarkan parti itu benar-benar ketandusan pemimpin yang berkaliber untuk rakyat.

Dengan beberapa insiden yang berlaku tahun ini sahaja antaranya peletakan jawatan ADUN Bukit Selambau, V.Arumuggam termasuk terbaru dari Penanti semalam serta 'dilema' penyebaran gambar bogel ADUN Bukit Lanjan, Elizabeth Wong - jelas memperlihatkan mereka yang ditampilkan pada pilihan raya umum lepas hanya sekadar 'tangkap muat'.

Penganalisis, Prof. Mohamed Mustapha Ishak tidak menolak rumusan ini. Baginya, kepimpinan PKR sengaja tidak mahu menamakan calon TKM 1 kerana sedang tercari-cari individu yang hampir atau kalau tidakpun setanding dengan Mohammad Fairus dan TKM II, P. Ramasamy.

''Kalaupun tidak setanding dengan Ketua Menteri, Lim Guan Eng, PKR menganggap kewibawaan calon TKM I ini penting untuk 'menutup' isu-isu yang menyelubungi ADUN-ADUN mereka.

''Dan pucuk dicita ulam mendatang apabila Mohammad Fairus mengosongkan kerusi ADUNnya," katanya kepada Utusan Malaysia.

Kerana itu, kata beliau, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih enggan menamakan calon TKM I sehingga semalam, walaupun dikatakan ada beberapa nama yang layak dipertimbangkan. Bagi Mohamed Mustapha, setakat ini calon TKM I dan barangkali calon PKR untuk Pilihan Raya Kecil DUN Penanti yang dilihat mendapat tempat - berdasarkan rating tertinggi tinjauan terkini blog Anwar - tidak lain tidak bukan Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff, 35. Beliau berkelulusan Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA), yakni universiti sama dengan Mohammad Fairus, 33, yang mengikuti jurusan Sains Politik dan Hubungan Antarabangsa.

Selain mahu memulihkan imej sebilangan ADUN PKR yang 'tercalar', Anwar juga mahu menggunakan Pilihan Raya Kecil Penanti itu nanti sebagai medan untuk menghentam kerajaan. Memaklumi bahawa Penanti yang dimenangi mereka lebih 2,000 majoriti undi tahun lepas sebagai kubu kuat, Anwar dikatakan tidak gusar sebaliknya pilihan raya kecil itu dianggap muncul pada saat yang tepat untuk menyekat momentum perhatian rakyat terhadap kepimpinan baru dinamik kerajaan Datuk Seri Najib Tun Razak.

''Namun di pihak Barisan Nasional (BN) seperti biasa akan bertanding tetapi perlu berusaha dengan kuat untuk memenanginya. Lagipun pilihan raya kecil ini diadakan kerana PKR sendiri 'terpaksa mengadakannya' ekoran tidak teliti memilih calonnya pada pilihan raya umum lepas," katanya.

Begitupun, Mohamed Mustapha mengingatkan bahawa rakyat ketika ini semakin bijak dan tidak mahu pilihan-pilihan raya kecil ketika cabaran ekonomi yang semakin menghimpit negara.

''Di Pulau Pinang, ribuan pekerja kilang diberhentikan kerja. Sepatutnya Anwar dan kepimpinan negeri membela nasib pekerja yang terjejas teruk ini dan bukannya berterusan menggunakan pentas politik dengan ghairahnya untuk meraih sokongan ramai," katanya.

Kabinet harus dengar suara rakyat

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Kabinet harus dengar suara rakyat


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah berjanji untuk menjadikan Kabinet barunya itu berupaya menunjukkan prestasi dan menyampaikan perkhidmatan dengan mengadakan petunjuk prestasi utama (KPI) yang menitik beratkan tentang impak dan status penyampaian perkhidmatan tersebut.

Penekanan ke atas prestasi dan komitmen Perdana Menteri untuk memantau secara peribadi kemajuan semua Menteri sekali dalam enam bulan adalah suatu langkah penting memandangkan wujudnya ketidakpuasan rakyat di masa lalu tentang prestasi menteri dan beberapa penjawat awam.

Nyata sekali kini masa telah tiba untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang berorientasikan rakyat dan tindakan dimulakan dengan Kabinet yang mempunyai kepekaan dan sensitif terhadap keperluan rakyat dan negara terutamanya ketika saat kegawatan ini.

Tidak boleh dinafikan bahawa harapan rakyat terhadap pentadbiran Najib ini adalah sangat tinggi dan adalah menjadi suatu kewajipan bagi pentadbiran baru ini untuk menunjukkan prestasi dan menghasilkan perkhidmatan efisien berasaskan budaya penuh integriti dan kecemerlangan.

Ini bermakna setiap anggota Kabinet benar-benar menanggung tugasan berat dalam merealisasikan jaminan dan komitmen pentadbiran baru.

Anggota pentadbiran Najib harus mendampingi rakyat untuk memahami rintihan serta keperluan dan kehendak mereka diikuti dengan bertindak melakukan segala perubahan yang perlu untuk memulihkan kembali keyakinan rakyat.

Kabinet perlu lebih matang

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Kabinet perlu lebih matang


Tahniah atas tindakan berani Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam proses membentuk Kabinet baru beliau. Langkah beliau mengekalkan menteri lama yang berkebolehan, menjadikan barisan pelapis sebagai menteri penuh serta mewujudkan muka baru sebagai pelapis memberi suntikan tepat ke arah pengukuhan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ketegasan beliau dalam membuat keputusan perlu dihormati oleh semua pihak termasuk parti-parti komponen BN yang lain. eliau juga berani menolak tuntutan tertentu yang kurang munasabah seperti jawatan Timbalan Perdana Menteri kedua oleh parti MCA.

Jika jawatan Timbalan Perdana Menteri kedua diwujudkan untuk MCA, bagaimana pula dengan MIC atau parti-parti lain di Sabah dan Sarawak? Semua parti komponen perlu melihat keikhlasan Perdana Menteri dalam membawa negara ke mercu kejayaan yang baharu, sekali gus mengetepikan isu-isu ranting.

Lagipun sekali lagi UMNO membuat pengorbanan terbesar apabila sejumlah tujuh menteri dari UMNO digugurkan. Ini bukan satu langkah popular namun demi masa depan BN, ia terpaksa dilakukan.

Penggunaan kaedah Indeks Prestasi Utama (KPI) termasuk kepada pegawai-pegawai tertinggi sektor awam merupakan satu langkah pro-aktif ke arah menjamin pencapaian aspirasi "Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan."

Ini akan menjadi stimulus kepada prestasi sektor awam yang lebih menegak. Ini amat praktikal terutamanya apabila kini rakyat mengharapkan sistem penyampaian sektor awam yang lebih cekap serta setara dengan sektor swasta.

Mekanisme menangani insiden ketirisan salah laku oleh mana-mana ahli Kabinet juga perlu diwujudkan seperti menubuhkan badan siasatan bebas dengan kadar segera. Sekiranya terbukti wujud bukti maka tindakan melucutkan serta-merta segala jawatan termasuk di dalam parti perlu dilaksanakan.

Sebaliknya jika ia berbentuk tohmahan dan tidak berasas, badan siasatan bebas tersebut perlu membuat penjelasan dan membersihkan nama menteri terbabit. Kita lihat pada waktu-waktu yang lepas, kerajaan bertindak terlampau perlahan dalam menangani kes-kes sebegini, menyebabkan ia dibicarakan secara terbuka di dada akhbar-akhbar serta laman-laman web.

Malah kadang kala berlaku perang mulut terbuka antara menteri berkenaan dengan pihak tertentu seperti wartawan dan pembangkang mengenai tuduhan tersebut. Insiden sebegini mencemarkan nama baik bukan sahaja menteri berkenaan, malahan keseluruhan kepimpinan negara.

Perselisihan faham terbuka di antara menteri-menteri Kabinet juga tidak sepatutnya berlaku. Seharusnya apa jua isu dibincangkan secara bertamadun di dalam bilik mesyuarat, bukannya dihebahkan di khalayak umum.

Mereka juga harus diingatkan bahawa setiap tindak tanduk, tutur bicara mereka di dalam dan luar mesyuarat akan sentiasa dinilai. Mereka tidak sepatutnya memberi kenyataan sesuka hati tanpa menyelidiki terlebih dahulu latar belakang isu yang diulas. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

Sikap terbuka dan positif yang ditunjukkan oleh mereka yang tidak terpilih serta yang digugurkan juga amat terpuji. Sikap merajuk kini bukan lagi budaya pemimpin BN. Mereka kini faham bahawa rajuk beberapa kerat pemimpin tidaklah penting mana berbanding dengan rajuk berjuta-juta pengundi.

Pilihan oleh Perdana Menteri itu merupakan yang terbaik demi menjamin kejayaan BN menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti. Semoga pembentukan Kabinet berintegriti ini akan mengembalikan semula Malaysia ke landasan betul ke arah pencapaian Wawasan 2020, insyaAllah.

Ubah kaedah berkempen mencaci dan sengketa

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Ubah kaedah berkempen mencaci dan sengketa


Pilihanraya kecil di tiga kawasan di DUN Batang Air, Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau sudah berakhir.

Tetapi apa yang dikesali ialah sikap orang Melayu sama ada di pihak kerajaan mahupun pembangkang yang masih tandus. Mereka sering kali menjadikan kaedah tohmahan, cacian, persengketaan sebagai cara berkempen.

Bukankah Malaysia mengamalkan sistem demokrasi yang adil dan saksama? Setiap pengundi berpeluang keluar mengundi dan setiap parti diberikan peluang berkempen.

Jika sikap kita sesama Melayu-Islam ini masih belum berubah, kita akan melihat persengketaan dan pergaduhan sesama kita pada masa-masa mendatang akan terus berlaku.

Kita masih mempunyai masa untuk memperbaiki kaedah itu bagi memastikan sikap kita dipimpin oleh akhlak seorang Muslim.

Gadai agama untuk menang

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Gadai agama untuk menang

Pertama sekali tahniah diucapkan di atas kemenangan pakatan pembangkang di Bukit Gantang, Perak dan Bukit Selambau, Kedah. Juga tidak lupa tahniah kepada BN atas kemenangan di Batang Air, Sarawak.

Sebagai seorang Melayu yang prihatin dengan situasi politik terkini, risau melihatkan betapa Melayu kini tidak lagi segan silu menggadai maruah bangsa dan agama semata-mata untuk beroleh kemenangan. Melihatkan ADUN Pantai Remis membaca surah yang menurut beliau Surah Aura, yang tidak pernah wujud pun di dalam al-Quran, dan dengan bacaan yang sama sekali salah dan memalukan dalam satu majlis kempen di Bukit Gantang, begitu memilukan hati. Pilu apabila tiada seorang pun ahli Pas yang tampil untuk membetulkan kesalahan ADUN DAP itu sebaliknya bertepuk tangan tanda gembira kalam Allah dipermainkan.

Pemimpin pakatan pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula ketika berkempen di Batang Air tanpa segan silu 'membenarkan' nama Allah digunakan oleh penganut agama lain selain agama Islam. Beliau menegaskan, selama ini larangan wujud kerana UMNO. Sedarkah beliau implikasi yang bakal berlaku? Sedarkah beliau agenda tersembunyi puak Nasrani terhadap penganut Islam di negara ini? Berbaloikah kemenangan dengan menggadaikan agama?

Situasi politik di negara ini pada hemat saya semakin buruk dan membimbangkan. Bukan Melayu semakin berani mempersoalkan hak keistimewaan bangsa Melayu, sesuatu yang jarang berlaku sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12. Malahan kedudukan Islam sebagai agama rasmi juga berani diganyang oleh pihak-pihak tertentu. Malang sekali apabila tindakan ini turut didalangi bangsa Melayu beragama Islam.

Adakah bangsa Melayu Islam sudah bersedia untuk kehilangan hak dan keistimewaan? Isu ini amat membimbangkan, apatah lagi melihat rakan pakatan DAP, iaitu Pas, sebagai Parti Islam menikus apabila berhadapan dengan DAP mengenai isu Islam dan hak Melayu.

Kebimbangan semakin terbukti apabila melihat kesediaan Datuk Seri Nizar Jamaludin dipergunakan oleh DAP untuk menderhakai Sultan Perak dalam peristiwa hitam baru lalu. Nizar bukan saja dipuji oleh ahli Pas, malah dianggap hero yang memperjuangkan keadilan oleh rakan sekutu mereka, DAP.

Drama di Perak memperlihatkan 'ketaksuban sehingga membutakan mata' orang Melayu yang menyokong pembangkang, sehingga tidak mampu lagi berfikir secara waras, malah hingga sanggup berbaring di tengah jalan.

Ramai tertanya-tanya, tidak mampukah mereka mengira berapa ramaikah Exco DAP yang menguasai pentadbiran Perak,dan berapa ramaikah exco Pas? Ternyata, minda mereka tidak mampu lagi berfikir siapa sebenarnya yang menguasai Perak semasa pemerintahan pakatan pembangkang sebelum BN mengambil alih kuasa di Perak dua bulan lalu.

Kekalahan BN di Bukit Gantang dan Bukit Selambau sebenarnya menggambarkan bahawa undi bukan Melayu sentiasa bersatu, kerana mereka jelas dengan matlamat dan agenda mereka. Undi Melayu pula dipecahkan oleh emosi dan kedangkalan pemikiran sesetengah Melayu yang gagal menafsir agenda tersembunyi parti serpihan PAP dari Singapura, DAP, yang sentiasa membayangi Pas dalam kempen di Bukit Gantang.

Ingatlah Singapura yang sudah tergadai dan nasib yang menimpa warga Melayu Singapura. Fikirlah untung nasib anak-anak kita di kemudian hari. Jangan pula mereka yang menjadi mangsa kesilapan kita yang gagal berfikir

Menjayakan transformasi baru

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Menjayakan transformasi baru


Perubahan kepemimpinan negara baru sahaja selesai dan kini seluruh rakyat menaruh harapan tinggi pada laungan transformasi baru oleh Perdana Menteri ke-6, Datuk Seri Najib Tun Razak: Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Apabila melihat kepada ucapan sulung beliau pada hari pertama sebagai Perdana Menteri Malaysia, beliau ingin menyatukan seluruh rakyat di bawah payung Satu Malaysia. Perpaduan rakyat merupakan agenda paling utama bagi memastikan kestabilan dan keamanan negara.

Atas dasar ini, kepentingan rakyat haruslah didahulukan daripada perkara-perkara lain. Tiada kamus bulan madu bagi beliau. Oleh itu, sebagai pemimpin No.1 negara, Najib bukan sahaja seorang pemimpin tetapi beliau juga seharusnya mendahulukan rakyat dan seterusnya berani membela nasib setiap rakyat tidak kira di bandar atau pun di ceruk-ceruk pendalaman.

Beliau akhiri slogan transformasi besar dengan Pencapaian Diutamakan. Membaca maksud tersurat dan tersirat Pencapaian Diutamakan sudah tentu beliau mempunyai tugas amat berat sekali untuk memastikan segala tindakan dapat memperolehi pencapaian terbaik agar rakyat memperolehi manfaatnya. Pencapaian ini bukan sahaja daripada sudut ekonomi semata-mata tetapi juga melibatkan seluruh aspek kehidupan rakyat termasuklah sosial, agama, politik dan pendidikan.

Cabaran Najib selepas ini ialah mempunyai ahli-ahli Kabinet yang benar-benar berwibawa, bijaksana, diyakini rakyat, bersih, progresif, pragmatik serta sanggup mendahulukan rakyat.

Dengan barisan Kabinet yang mempunyai ciri-ciri sebegini barulah dapat menjalankan tanggungjawab untuk rakyat secara cekap dan berkesan. Beliau sudah tentu memerlukan barisan kabinet yang benar-benar terbaik. Hanya tinggal 11 tahun lagi negara akan mencapai wawasan 2020.

Dalam keadaan ekonomi yang semakin meruncing kini, barisan Kabinet seharusnya terdiri daripada saf yang ampuh yang sudah tentu menjadi 'pekerja' kepada rakyat dan bukannya 'bos'. Pandangan rakyat tidak kira golongan muda dan tua haruslah

Langkah untuk memperkenalkan ekonomi berasaskan ekonomi bernilai tinggi, inovatif, produktiviti dan kreatif patut diperluaskan di seluruh negara agar dapat direbut oleh rakyat Malaysia di samping tidak meminggirkan ekonomi nilai tambah dan ekonomi tradisional negara yang selama ini amat berjasa kepada rakyat dan negara. Peluang untuk memperoleh manfaat dari ekonomi baru ini seharusnya dikongsi di kalangan rakyat Malaysia, tidak kira di bandar atau luar bandar.

Walau apa pun bentuk badai dan ombak yang bakal menimpa, ia pasti dapat diharungi dengan tenang jika mempunyai iltizam yang kuat tanpa mengenal erti putus asa serta mempunyai keberanian yang cukup tinggi dalam menghadapinya.

Akhirnya satu transformasi yang amat besar yang dicita-citakan bakal menjelma untuk dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia.

Jangan gadai masa depan agama, bangsa dan negara

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Jangan gadai masa depan agama, bangsa dan negara


Demi untuk berkuasa mereka telah sanggup menggadaikan maruah agama, bangsa dan negara sendiri. Walaupun mereka ini mengakui berpegang kepada 'kalimah syahadah' tetapi mereka sanggup terus-menerus berbohong dan melemparkan segala macam fitnah kepada 'saudara' mereka sendiri.

Mereka terlalu payah untuk duduk bermusyawarah dengan bangsa yang seagama dan sebangsa untuk mencari titik penyelesaian bagi sebarang masalah rakyat. Malah rakyat jelata telah dihasut membenci pemerintah atau raja serta ulama yang tidak sehaluan dengan mereka.

Mereka ini juga lebih senang bekerjasama dengan bangsa asing yang tidak seagama dengan mereka walaupun kelompok tersebut bersifat lebih racist atau chauvinist daripada mereka. Malah mereka boleh bekerjasama dengan 'syaitan' sekalipun asalkan jangan bersatu dengan saudara yang sebangsa dan seagama yang memegang pada syahadah yang sama.

Tidak hairanlah mereka ini sangat berkompromi dalam semua hal termasuklah mempermainkan hukum dan nama Allah sekalipun. Mereka juga dengan 'berselera' melemparkan segala bentuk fitnah kepada saudara mereka sendiri asalkan cita-cita tercapai.

Mereka menganggap diri mereka terlalu kebal daripada segala dosa dan lebih 'maksum' daripada Rasulullah SAW. Sedangkan makhluk terakhir yang telah dijanjikan Allah 'maksum' di dunia ini hanya Nabi Muhammad SAW sahaja.

Ingatlah, sekiranya Allah mengizinkan kita berkuasa maka telah lama kita berkuasa kerana semuanya atas kehendakNya jua. Kepada kaum bukan Melayu, janganlah berharap anda akan 'lebih kuat' daripada biasa sekiranya umat Melayu telah lemah.

Amalkan sikap, 'di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung'. Marilah kita bersyukur kerana dilahirkan di bumi Malaysia yang makmur ini. Jadilah manusia yang sentiasa bersyukur kepada nikmat Tuhan sebelum nikmat itu hilang dan lenyap di atas perbuatan kita sendiri. Ingatlah nasib masa depan anak cucu kita.

Oleh itu, seluruh rakyat Malaysia marilah kita bersatu padu dalam aman dan harmoni. Ayuhlah kita berpaut kepada pohon yang rendang untuk sama-sama berteduh supaya Malaysia lebih maju, aman dan makmur!

Nasihat Tun Dr Mahathir masih diperlukan

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Nasihat Tun Dr Mahathir masih diperlukan


Kehadiran Tun di hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO hujung minggu lalu amat mengharukan dan sedikit mengejutkan. Ahli UMNO yang turut berada di Dewan Merdeka ketika itu dapat merasakan suatu suasana yang begitu sensasi dan penuh emosi.

Perwakilan yang pada mulanya agak terkejut dengan pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin tentang ketibaan Tun telah berdiri bertepuk tangan tunjuk hormat secara beramai-ramai.
Tepukan itu amat gemuruh dan diulang berkali-kali dengan jeritan 'Hidup Tun' yang begitu bersemangat.

Itulah dia Tun Dr. Mahathir. Beliau seorang Mahaguru politik yang mempunyai personaliti dan kehebatan bertindak pada masa dan keadaan yang sesuai dan tepat.

Seperti kata Nixon seize the moment! itulah sebenarnya yang dilakukan oleh Tun pada hari keramat tersebut. Jelas sekali, beliau masih amat sayang dan rindukan UMNO.

Seperti kata Presiden baru UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan penggulungannya, "darah yang mengalir dalam tubuh badan Tun ialah darah UMNO".

Siapa sahaja yang hadir ataupun menonton televisyen di rumah ketika peristiwa itu ditayangkan secara langsung pasti bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Presiden parti. Ketika beliau melangkah ke arah pentas untuk bersalaman dengan saf kepimpinan UMNO yang baru dipilih, dunia seakan berhenti sejenak.

Kini Tun akan kembali ke pangkuan UMNO. Kita yakin, sebagai seorang negarawan yang cintakan perjuangan agama dan bangsanya, beliau akan terus mencurahkan pengalaman dan pandangan. Kekuatan minda Tun amat diperlukan dalam membantu Presiden parti menentukan hala-tuju kebangkitan parti.

Kemunculan beliau di hari terakhir perhimpunan telah memberi satu harapan dan impak yang mendalam kepada para perwakilan UMNO yang hadir. Laungan 'Hidup Mahathir' yang dilaungkan bertalu-talu oleh perwakilan ke arah Tun mencerminkan perasaan hormat dan penghargaan yang amat mendalam terhadap kepimpinannya yang lalu.

Mereka begitu teruja dengan penampilan Tun di Dewan Merdeka sehari sebelumnya.
Pada mereka, alangkah baiknya kalau Tun dapat menjejakkan kakinya ke Bukit Gantang dan Bukit Selambau barang seketika, bagi membantu menyuburkan semangat jentera BN.
Sesungguhnya, rakyat amat merindui nasihat dan kata-kata hikmat Tun dalam menentukan masa depan cucu-cicit Melayu.

Berikan saf padu kepada Najib

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Berikan saf padu kepada Najib


"Berikan saya saf yang padu" itulah bait ucapan Datuk Seri Najib Tun Razak kepada ahli-ahli UMNO pada Perhimpunan Agung parti itu minggu lalu.

Sekarang sudah tiba masanya kita menunjukkan kesetiaan kepada Najib yang bakal menggantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Melihat kepada lakaran sejarah yang dibina pada Perhimpunan Agung UMNO itu dengan kehadiran Tun Dr. Mahathir Mohamad dan penyertaan untuk kembali ke dalam UMNO tidak perlu dijadikan alasan kepada ahli UMNO dan seluruh orang Melayu serta rakyat Malaysia untuk memberikan sokongan kepada Barisan Nasional.

Yang pasti kembalinya Tun Mahathir ke dalam UMNO diharapkan mampu menarik kembali orang muda yang menjadikan beliau sebagai idola untuk mengukuhkan parti ini.

Bermula dari saat dan ketika ini juga ahli UMNO perlu menginsafkan diri dan memikir apa yang perlu dibuat bagi mengukuhkan kembali parti setelah ia dilihat seperti ditolak golongan muda masa kini.

Dengarlah suara mereka, hargailah pendapat mereka kerana bukan semua pendapat mereka itu tidak boleh diterima.

Kembalilah mendekati rakyat seperti mana janji yang pernah diberikan kepada rakyat semasa pilihan raya dahulu.

Perkukuhkan apa yang sudah longgar. Dengan bersatunya negarawan kita iaitu Tun Mahathir dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Najib.

Ia sepatutnya menjadikan contoh kepada rakyat dan juga orang Melayu supaya bersatu seperti mereka.

Tukarlah sifat tidur satu bantal tetapi mimpi berlainan kepada tidur berlainan bantal tetapi mimpi kita adalah sama.

Kepada Najib, sokongan daripada kami akan terus diberikan seperti mana kami setia kepada Perdana Menteri yang sebelumnya. Walaupun kami lahir pada era Tun Mahathir, tetapi sokongan kami tetap sama kepada Abdullah mahupun Najib.

Kami pohon kekuatan Najib dalam memastikan kelangsungan ketuanan Melayu. Kami juga pohon sokongan daripada kaum Cina dan India bagi bersama-sama menyokong Najib kerana percayalah setelah hampir 52 tahun kita merdeka belum pernah kaum lain disisihkan.

Walaupun hadir seorang pemimpin yang terhebat sekalipun, tiada maknanya seandai rakyat sendiri tidak mahu berubah dan bersama-sama menyumbang kepada negara.

Berikan saf yang padu kepada Najib sebagai Perdana Menteri yang keenam. Ketepikan perbezaan fahaman dan bersatulah di bawah satu barisan.