Penanti: Muslihat PKR terserlah

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Penanti: Muslihat PKR terserlah


RUPA-rupanya ada 'cerita' di sebalik dua insiden membabitkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kebelakangan ini.

Sikap berlengah-lengah mengemukakan calon untuk mengisi jawatan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang dan peletakan jawatan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin semalam, menggambarkan parti itu benar-benar ketandusan pemimpin yang berkaliber untuk rakyat.

Dengan beberapa insiden yang berlaku tahun ini sahaja antaranya peletakan jawatan ADUN Bukit Selambau, V.Arumuggam termasuk terbaru dari Penanti semalam serta 'dilema' penyebaran gambar bogel ADUN Bukit Lanjan, Elizabeth Wong - jelas memperlihatkan mereka yang ditampilkan pada pilihan raya umum lepas hanya sekadar 'tangkap muat'.

Penganalisis, Prof. Mohamed Mustapha Ishak tidak menolak rumusan ini. Baginya, kepimpinan PKR sengaja tidak mahu menamakan calon TKM 1 kerana sedang tercari-cari individu yang hampir atau kalau tidakpun setanding dengan Mohammad Fairus dan TKM II, P. Ramasamy.

''Kalaupun tidak setanding dengan Ketua Menteri, Lim Guan Eng, PKR menganggap kewibawaan calon TKM I ini penting untuk 'menutup' isu-isu yang menyelubungi ADUN-ADUN mereka.

''Dan pucuk dicita ulam mendatang apabila Mohammad Fairus mengosongkan kerusi ADUNnya," katanya kepada Utusan Malaysia.

Kerana itu, kata beliau, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih enggan menamakan calon TKM I sehingga semalam, walaupun dikatakan ada beberapa nama yang layak dipertimbangkan. Bagi Mohamed Mustapha, setakat ini calon TKM I dan barangkali calon PKR untuk Pilihan Raya Kecil DUN Penanti yang dilihat mendapat tempat - berdasarkan rating tertinggi tinjauan terkini blog Anwar - tidak lain tidak bukan Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff, 35. Beliau berkelulusan Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA), yakni universiti sama dengan Mohammad Fairus, 33, yang mengikuti jurusan Sains Politik dan Hubungan Antarabangsa.

Selain mahu memulihkan imej sebilangan ADUN PKR yang 'tercalar', Anwar juga mahu menggunakan Pilihan Raya Kecil Penanti itu nanti sebagai medan untuk menghentam kerajaan. Memaklumi bahawa Penanti yang dimenangi mereka lebih 2,000 majoriti undi tahun lepas sebagai kubu kuat, Anwar dikatakan tidak gusar sebaliknya pilihan raya kecil itu dianggap muncul pada saat yang tepat untuk menyekat momentum perhatian rakyat terhadap kepimpinan baru dinamik kerajaan Datuk Seri Najib Tun Razak.

''Namun di pihak Barisan Nasional (BN) seperti biasa akan bertanding tetapi perlu berusaha dengan kuat untuk memenanginya. Lagipun pilihan raya kecil ini diadakan kerana PKR sendiri 'terpaksa mengadakannya' ekoran tidak teliti memilih calonnya pada pilihan raya umum lepas," katanya.

Begitupun, Mohamed Mustapha mengingatkan bahawa rakyat ketika ini semakin bijak dan tidak mahu pilihan-pilihan raya kecil ketika cabaran ekonomi yang semakin menghimpit negara.

''Di Pulau Pinang, ribuan pekerja kilang diberhentikan kerja. Sepatutnya Anwar dan kepimpinan negeri membela nasib pekerja yang terjejas teruk ini dan bukannya berterusan menggunakan pentas politik dengan ghairahnya untuk meraih sokongan ramai," katanya.

0 comments: