Pilihan raya bukan medan tunjuk kekuatan

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Pilihan raya bukan medan tunjuk kekuatan


Pendirian bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin yang tetap dengan keputusannya meletak jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penanti, walaupun siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tiada asas untuk mendakwanya atas tuduhan rasuah, bermakna pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti perlu diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-12, tahun lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadualkan mengadakan mesyuaratnya hari ini bagi menetapkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi bagi kawasan DUN yang terletak dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh dan kubu kuat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

Peletakan jawatan Mohammad Fairus, yang berbuat demikian dengan alasan membersih namanya daripada segala tohmahan dan untuk melanjutkan pelajaran, dari satu segi memperlihatkan beliau menjadi mangsa pergolakan dalam PKR Pulau Pinang supaya kepemimpinan parti dapat meletakkan calon pilihannya sebagai Adun dan seterusnya dilantik Timbalan Ketua Menteri 1.

Malah sebelum Mohammad Fairuz meletakkan jawatan sebagai Adun Penanti, sudah kedengaran nama bakal pengganti beliau di kalangan pemimpin kanan parti itu untuk jawatan Timbalan Ketua Menteri. Hakikat bahawa PKR belum lagi menyerahkan nama calonnya untuk mengisi kekosongan itu kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng, mengukuhkan lagi andaian bahawa calon PKR bagi pilihan raya kecil Penanti nanti, jika menang, turut dicadangkan sebagai orang nombor dua dalam kerajaan negeri itu.

Pengosongan kerusi Penanti juga, turut membayangkan pembangkang khususnya PKR, semakin angkuh dan terlalu yakin selepas mereka memenangi tiga daripada empat pilihan raya kecil sebelum ini. Atas keyakinan dapat memenangi kerusi di kubu kuat mereka dengan mudah, PKR seolah-olah menjadikan pilihan raya kecil sebagai wadah memperlekehkan parti lawan, bukannya untuk memilih seorang wakil yang benar-benar boleh berkhidmat kepada rakyat di kawasan berkenaan.

Pilihan raya kecil yang kebiasaan diadakan apabila berlaku kematian wakil rakyat atau penyandang terpaksa meletakkan jawatan kerana kes mahkamah, kini bertukar menjadi medan menunjukkan kekuatan dan populariti.

Malah bagi pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh Ogos lalu dan DUN Penanti tidak lama lagi, penyandang meletak jawatan semata-mata kerana mahu memberi laluan kepada kelompok atau kaum kerabat mereka. Bekas penyandang di Permatang Pauh, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meletak jawatan bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding, manakala Mohammad Fairuz berbuat demikian selepas menerima tekanan berterusan kerana kepemimpinan PKR mahukan orang lain.

Yang jelas pembangkang tidak boleh menjadikan isu moral sebagai alasan 'memaksa' Mohammad Fairuz meletakkan jawatan, walaupun sebelum SPRM mendapati tiada asas untuk mendakwanya atas tuduhan rasuah. Jika soal moral dijadikan alasan, tentu kepemimpinan PKR tidak memujuk Adun Bukit Lanjan, Elizabeth Wong, yang mahu meletak jawatan atas alasan peribadi selepas isu gambarnya disiarkan menerusi internet, baru-baru ini.

Ternyata PKR mengamalkan 'double standard' dalam hal ini. Mereka cepat menerima peletakan jawatan Mohammad Fairus kerana mahu menggantikannya dengan orang lain dan Penanti pula kubu kuat mereka, manakala Elizabeth Wong terpaksa dipujuk kerana pengundi Bukit Lanjan berbeza dengan pemilih di Penanti.

Tindakan mengosongkan kerusi tanpa sebab munasabah dan semata-mata untuk menguji populariti seperti itu, sama ada oleh parti pembangkang atau parti kerajaan tidak harus dibiarkan menjadi amalan di negara ini. Walaupun ia dibenarkan dalam sistem demokrasi, kos untuk mengendalikan pilihan raya kecil datangnya daripada poket rakyat dan dalam keadaan ekonomi sekarang, setiap wang rakyat harus dibelanjakan untuk manfaat mereka.

Kekerapan pilihan raya kecil juga bermakna perhatian terus diberikan kepada politik sehingga menenggelamkan isu-isu pokok membabitkan kepentingan rakyat yang perlu ditangani sama ada oleh kerajaan atau pembangkang.

Kepada sebahagian besar rakyat, politik di negara ini, terutama sejak pilihan raya umum lalu, sudah cukup memualkan. Sementara pada pihak parti kerajaan, perhatian sudah mula diberikan kepada isu-isu rakyat, pembangkang nampaknya masih belum kebah daripada demam kemenangan mereka dan berpolitik sepanjang masa.

Langkah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengkaji pindaan Akta Pilihan Raya untuk menghalang wakil rakyat mengosongkan kerusi tanpa sebab munasabah diharap dapat menghentikan tindakan menyalahgunakan sistem pilihan raya dan mencemarkan semangat demokrasi itu.

Peletakan jawatan sewenang-wenangnya atas alasan peribadi atau masalah dalam parti, yang tidak membabitkan kepentingan rakyat, harus dihentikan. Barangkali, pindaan akta itu nanti harus mengenakan denda atau bayaran tertentu kepada wakil rakyat yang berbuat demikian, seperti mereka perlu membayar deposit ketika mahu bertanding dulu.

0 comments: