Menjayakan transformasi baru

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Menjayakan transformasi baru


Perubahan kepemimpinan negara baru sahaja selesai dan kini seluruh rakyat menaruh harapan tinggi pada laungan transformasi baru oleh Perdana Menteri ke-6, Datuk Seri Najib Tun Razak: Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Apabila melihat kepada ucapan sulung beliau pada hari pertama sebagai Perdana Menteri Malaysia, beliau ingin menyatukan seluruh rakyat di bawah payung Satu Malaysia. Perpaduan rakyat merupakan agenda paling utama bagi memastikan kestabilan dan keamanan negara.

Atas dasar ini, kepentingan rakyat haruslah didahulukan daripada perkara-perkara lain. Tiada kamus bulan madu bagi beliau. Oleh itu, sebagai pemimpin No.1 negara, Najib bukan sahaja seorang pemimpin tetapi beliau juga seharusnya mendahulukan rakyat dan seterusnya berani membela nasib setiap rakyat tidak kira di bandar atau pun di ceruk-ceruk pendalaman.

Beliau akhiri slogan transformasi besar dengan Pencapaian Diutamakan. Membaca maksud tersurat dan tersirat Pencapaian Diutamakan sudah tentu beliau mempunyai tugas amat berat sekali untuk memastikan segala tindakan dapat memperolehi pencapaian terbaik agar rakyat memperolehi manfaatnya. Pencapaian ini bukan sahaja daripada sudut ekonomi semata-mata tetapi juga melibatkan seluruh aspek kehidupan rakyat termasuklah sosial, agama, politik dan pendidikan.

Cabaran Najib selepas ini ialah mempunyai ahli-ahli Kabinet yang benar-benar berwibawa, bijaksana, diyakini rakyat, bersih, progresif, pragmatik serta sanggup mendahulukan rakyat.

Dengan barisan Kabinet yang mempunyai ciri-ciri sebegini barulah dapat menjalankan tanggungjawab untuk rakyat secara cekap dan berkesan. Beliau sudah tentu memerlukan barisan kabinet yang benar-benar terbaik. Hanya tinggal 11 tahun lagi negara akan mencapai wawasan 2020.

Dalam keadaan ekonomi yang semakin meruncing kini, barisan Kabinet seharusnya terdiri daripada saf yang ampuh yang sudah tentu menjadi 'pekerja' kepada rakyat dan bukannya 'bos'. Pandangan rakyat tidak kira golongan muda dan tua haruslah

Langkah untuk memperkenalkan ekonomi berasaskan ekonomi bernilai tinggi, inovatif, produktiviti dan kreatif patut diperluaskan di seluruh negara agar dapat direbut oleh rakyat Malaysia di samping tidak meminggirkan ekonomi nilai tambah dan ekonomi tradisional negara yang selama ini amat berjasa kepada rakyat dan negara. Peluang untuk memperoleh manfaat dari ekonomi baru ini seharusnya dikongsi di kalangan rakyat Malaysia, tidak kira di bandar atau luar bandar.

Walau apa pun bentuk badai dan ombak yang bakal menimpa, ia pasti dapat diharungi dengan tenang jika mempunyai iltizam yang kuat tanpa mengenal erti putus asa serta mempunyai keberanian yang cukup tinggi dalam menghadapinya.

Akhirnya satu transformasi yang amat besar yang dicita-citakan bakal menjelma untuk dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia.

0 comments: