Kabinet perlu lebih matang

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Kabinet perlu lebih matang


Tahniah atas tindakan berani Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam proses membentuk Kabinet baru beliau. Langkah beliau mengekalkan menteri lama yang berkebolehan, menjadikan barisan pelapis sebagai menteri penuh serta mewujudkan muka baru sebagai pelapis memberi suntikan tepat ke arah pengukuhan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ketegasan beliau dalam membuat keputusan perlu dihormati oleh semua pihak termasuk parti-parti komponen BN yang lain. eliau juga berani menolak tuntutan tertentu yang kurang munasabah seperti jawatan Timbalan Perdana Menteri kedua oleh parti MCA.

Jika jawatan Timbalan Perdana Menteri kedua diwujudkan untuk MCA, bagaimana pula dengan MIC atau parti-parti lain di Sabah dan Sarawak? Semua parti komponen perlu melihat keikhlasan Perdana Menteri dalam membawa negara ke mercu kejayaan yang baharu, sekali gus mengetepikan isu-isu ranting.

Lagipun sekali lagi UMNO membuat pengorbanan terbesar apabila sejumlah tujuh menteri dari UMNO digugurkan. Ini bukan satu langkah popular namun demi masa depan BN, ia terpaksa dilakukan.

Penggunaan kaedah Indeks Prestasi Utama (KPI) termasuk kepada pegawai-pegawai tertinggi sektor awam merupakan satu langkah pro-aktif ke arah menjamin pencapaian aspirasi "Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan."

Ini akan menjadi stimulus kepada prestasi sektor awam yang lebih menegak. Ini amat praktikal terutamanya apabila kini rakyat mengharapkan sistem penyampaian sektor awam yang lebih cekap serta setara dengan sektor swasta.

Mekanisme menangani insiden ketirisan salah laku oleh mana-mana ahli Kabinet juga perlu diwujudkan seperti menubuhkan badan siasatan bebas dengan kadar segera. Sekiranya terbukti wujud bukti maka tindakan melucutkan serta-merta segala jawatan termasuk di dalam parti perlu dilaksanakan.

Sebaliknya jika ia berbentuk tohmahan dan tidak berasas, badan siasatan bebas tersebut perlu membuat penjelasan dan membersihkan nama menteri terbabit. Kita lihat pada waktu-waktu yang lepas, kerajaan bertindak terlampau perlahan dalam menangani kes-kes sebegini, menyebabkan ia dibicarakan secara terbuka di dada akhbar-akhbar serta laman-laman web.

Malah kadang kala berlaku perang mulut terbuka antara menteri berkenaan dengan pihak tertentu seperti wartawan dan pembangkang mengenai tuduhan tersebut. Insiden sebegini mencemarkan nama baik bukan sahaja menteri berkenaan, malahan keseluruhan kepimpinan negara.

Perselisihan faham terbuka di antara menteri-menteri Kabinet juga tidak sepatutnya berlaku. Seharusnya apa jua isu dibincangkan secara bertamadun di dalam bilik mesyuarat, bukannya dihebahkan di khalayak umum.

Mereka juga harus diingatkan bahawa setiap tindak tanduk, tutur bicara mereka di dalam dan luar mesyuarat akan sentiasa dinilai. Mereka tidak sepatutnya memberi kenyataan sesuka hati tanpa menyelidiki terlebih dahulu latar belakang isu yang diulas. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

Sikap terbuka dan positif yang ditunjukkan oleh mereka yang tidak terpilih serta yang digugurkan juga amat terpuji. Sikap merajuk kini bukan lagi budaya pemimpin BN. Mereka kini faham bahawa rajuk beberapa kerat pemimpin tidaklah penting mana berbanding dengan rajuk berjuta-juta pengundi.

Pilihan oleh Perdana Menteri itu merupakan yang terbaik demi menjamin kejayaan BN menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti. Semoga pembentukan Kabinet berintegriti ini akan mengembalikan semula Malaysia ke landasan betul ke arah pencapaian Wawasan 2020, insyaAllah.

0 comments: