Pemuda penggerak 1Malaysia

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Pemuda penggerak 1Malaysia

Hakikat kemenangan parti politik pada pilihan raya umum atau kecil ialah sokongan pengundi. Pengundi dalam era kontemporari punyai pelbagai cita rasa, pengharapan dan aspirasi. Mereka bukan lagi pengundi era tiga dekad lalu, kini pengundi baru, saluran tiga dan empat mempunyai kelebihan berdasarkan empat aspek iaitu maklumat alternatif yang pelbagai, kebijaksanaan hasil proses pendidikan dan indoktrinasi sosial, pengaruh persekitaran dan pengalaman serta pemerhatian.

Justeru, parti politik perlu bijak mencari metodologi, kaedah dan pendekatan terbaru. Prinsip penting ‘jangan memandang rendah pada tahap intelektual pengundi’ atau mendekati mereka secara bermusim.

Ketika ini, kebanyakan parti yang bertanding lebih mementingkan program dan aktiviti, misalnya ceramah, jamuan keramaian, penyampaian bantuan sedangkan yang hadir majoritinya petugas parti berkenaan, penyokong parti dari luar bukannya pengundi setempat

Natijahnya, jadilah program dan kempen tadi ibarat syok sendiri, sasaran tidak mengena, kerana jumlah pengundi setempat yang hadir hanyalah kecil. Ini merugikan wang, masa dan membabitkan percaturan strategi yang salah. Justeru, gagasan mencari, mengenali, mendekati, mendaftar dan merayu pengundi harus dijayakan secara konsisten.

Dalam konteks Umno dan komponen Barisan Nasional (BN), peranan ini wajar disegerakan oleh barisan pemudanya. Bentuk pasukan muhibah BN, supaya lepasan pusat pengajian tinggi dan institusi kemahiran dapat didekati dan diselami perasaan mereka. Dekati mereka secara santai, cuba bebaskan mereka melalui pendekatan tanpa banyak protokol dan soal elitis untuk membuka peluang dan tempat bagi mereka meraih pekerjaan supaya mobiliti sosial diri dan keluarga mampu dianjak ke tahap lebih baik.

Segarkan budaya percambahan ilmu bersama golongan ini, jangan terlalu ditekankan soal kepartian sebaliknya ajak mereka punyai rasa bangga, sikap taddabur, penghayatan dan beri mereka makna bahawa kejayaan yang dimiliki kini hasil perjuangan kepemimpinan terdahulu.

Jangan banyak retorik atau majlis formal, segerakan usaha ini, barisan pemuda jangan lagi khayal dengan jawatan Exco, dari Ketua Pemuda baik Umno, MCA, MIC, PPP, dan Gerakan, jayakan prinsip 1Malaysia dengan bangunkan jiwa pemuda dan golongan generasi baru ini dengan kursus, latihan kepemimpinan, aktiviti jaya diri dan buka peluang seluasnya untuk mereka menzahirkan kerangka percambahan idea yang bernas.

Jika berbeza pendapat jangan anggap mereka sebagai penentang sebaliknya terima sebagai satu hikmah, jika mereka liar dengan aktiviti rempit atau masalah penyimpangan sosial, jinak dan lunak hati mereka dengan seruan hikmah, iman dan pengisian rohani.

Kepada pergerakan pemuda semua komponen, hayun langkah yang betul, jadilah ikon yang dihormati, supaya generasi dan komuniti muda akan hormatkan anda, kerana mereka adalah wajah masa depan 1Malaysia , pewaris kepemimpinan bermaruah, pelapis teknokrat dan arkitek pembangunan negara, jadilah pemimpin pemuda yang berakhlak, merendah diri, tinggi sahsiah diri, beradab dan berbudaya kelas pertama.

0 comments: