DAP Kedah dedah niat sebenar perjuangan

Filed under: by: Pejuang orang melayu

DAP Kedah dedah niat sebenar perjuangan


Tindakan DAP keluar dari pakatan rakyat (PR) di Kedah bukanlah sesuatu yang memeranjatkan. Melihat kepada keadaan politik semasa, tindakan tersebut hanya menyerlahkan lagi 'sisi lain' parti cauvinis itu terhadap PR dan juga dalam senario politik negara ini.

Menggunakan alasan bahawa kerajaan PR di bawah pimpinan Pas di negeri ini tidak memerintah dengan adil apabila didakwa gagal menjaga kepentingan kaum bukan Melayu adalah sesuatu yang agak klise.

Ini kerana isu yang membabitkan sensitiviti kaum bukan Melayu di negeri ini adalah terlalu kecil dan terpinggir sedangkan beberapa keputusan yang diambil oleh kerajaan Pas di negeri Kedah adalah untuk kepentingan secara kolektif.

DAP menyatakan bahawa kerajaan negeri di bawah Pas tidak adil setelah mereka gagal mempertahankan rumah penyembelihan babi di Kampung Berjaya, Alor Setar itu daripada dirobohkan.

Malah mereka juga turut mendakwa bahawa kerajaan negeri tidak adil apabila berkeras untuk menaikkan kouta 50 peratus kepada pembeli rumah bumiputera di negeri ini.

Melihat kepada dua isu tersebut, apakah muslihat DAP apabila mempertikaikan keputusan kerajaan negeri dan mendakwa kerajaan negeri tidak adil?

Jelas sekali, tindakan mereka ini lebih dilihat sebagai tanda 'kecewa' apabila gagal untuk 'menguasai' kerajaan negeri ini seperti yang mereka lakukan di negeri Perak.

Dengan hanya satu kerusi DUN dimenangi pada pilihan raya umum lepas, secara terang-terangan DAP merasakan mereka tidak dapat untuk 'berkuasa' secara proksi di negeri ini.

Pas seharusnya semakin sedar bahawa mereka sebenarnya telah dijadikan 'barua' oleh DAP dan PKR dalam PR. Ini jelas dilihat apabila idea kerajaan perpaduan yang dikemukakan oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, telah ditolak mentah-mentah oleh PR yang dimonopoli oleh PKR dan DAP.

Mereka dapat merasakan seandainya idea tersebut benar-benar dilaksanakan, cita-cita pemimpin mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang untuk menjadi Perdana Menteri tidak akan tercapai.

Justeru, mereka perlu bertindak cepat dengan 'membunuh' idea tersebut dan menjadikan UMNO sebagai 'kambing hitam' dengan menuduh bahawa idea asal itu datangnya daripada UMNO sendiri.

Saudara-saudara sekalian lihatlah sendiri bagaimana 'wira' yang diagung-agungkan ini menjadi pengkhianat bangsa sendiri yang tidak mahu bangsa Melayu bersatu.

Pada beliau seolah-olah hanya dengan perpecahan Melayu beliau akan dapat memenuhi cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri.

Justeru, Pas sebagai parti Islam terbesar di negara ini perlulah memainkan peranan yang seimbang bersama parti Melayu terbesar iaitu UMNO untuk kembali meletakkan kedudukan orang Melayu di arena politik tanah air.

Kepada ulama-ulama dalam Pas perlu ingat bahawa Allah membenci mereka yang memusuhi sesama saudara sendiri.

Janganlah kita berasa terlalu takbur dan ujub dengan ilmu yang dimiliki sehinggakan terlalu senang untuk menjatuhkan hukum tanpa melihat kesannya kepada anak bangsa sendiri.

Contohi Rasullullah SAW yang sanggup dilihat untuk 'beralah' kepada kaum musyrikin Mekah sewaktu perjanjian Hudaibiyah dimeterai. Baginda sanggup kembali ke Madinah dengan tangan kosong dahulu kerana baginda yakin telah membuat satu keputusan yang betul untuk orang Islam.

Orang Melayu kini semakin dahagakan perpaduan dan penyatuan antara satu sama lain setelah melihat ia semakin lemah. Namun melihat kepada situasi semasa kini, harapan hanya tinggal harapan.

Tak mungkin orang Melayu akan bersatu dalam tempoh terdekat ini. Mungkin sehingga saat tertindasnya orang Melayu di bumi Malaysia ini barulah kita akan bangkit untuk bersatu?

Pada saat itu kita hanyalah tidak lebih daripada seorang pemberontak yang tiada nilai nyawanya berbanding sekarang, di mana kita masih mempunyai kuasa untuk membuat dasar-dasar kerajaan secara adil dan saksama.

Oleh itu gunakanlah kesempatan ini dengan sebaik mungkin, bukan untuk memerangi mana-mana kaum tetapi untuk menjaga perpaduan sesama bangsa Melayu.

0 comments: