Jangan cabar Melayu lagi

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Jangan cabar Melayu lagi

Melampau dan biadap. Itulah kenyataan yang boleh menggambarkan sikap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan apabila mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak memakai baju yang beridentitikan kemelayuan dalam sebarang majlis rasmi termasuk yang dihadiri oleh Sultan sebagai tanda protes kerana kerajaan tidak memberikan status bumiputera kepada bukan Melayu.

Ramai pihak berasa kurang senang dan berang dengan kenyataan tersebut malah memberikan pelbagai reaksi yang negatif, melambangkan betapa marahnya orang Melayu dengan isu ini. Malah ini bukan sekali Manoharan mengeluarkan kenyataan-kenyataan berunsur perkauman dan sensitif.

Malah sebelum itu juga Manoharan menuntut kerajaan agar memberikan status bumiputera kepada bukan Melayu yang lahir selepas 31 Ogos 1957. Barangkali Manoharan seorang yang pelupa, atau sengaja berbuat lupa, atau sememangnya tidak tahu bersyukur dengan apa yang beliau peroleh sekarang?

Kenapa masih ada lagi manusia yang mempertikaikan tentang hak keistimewaan orang Melayu, taraf bumiputera, malah tergamak menghina budaya orang Melayu yang sudah termaktub dalam Perlembagaan.

Apakah tidak cukup dengan apa yang telah diberikan oleh orang Melayu, ‘kerajaan Melayu’, raja-raja Melayu selama ini kepada bukan Melayu?

Apakah orang bukan Melayu di negara ini ditindas? Atau adakah masih ada orang bukan Melayu yang tidak dibenarkan belajar di universiti awam, mencari sumber pendapatan, menghimpunkan harta kekayaan, mengamalkan fahaman agama dan budaya mereka di ‘bumi orang Melayu’ ini?

Kalau hendak dibandingkan dengan kemiskinan, terdapat juga orang Melayu yang masih guna lampu pelita minyak tanah, mandi di parit, mengutip tin-tin kosong, tinggal di rumah yang besar sedikit daripada reban ayam.

Orang bukan Melayu pula bagaimana? Siapakah majoriti yang memandu Mercedes Benz atau BMW di jalan raya negara ini? Malah, dalam senarai sepuluh orang bilionair Malaysia, siapakah yang mengisi tempat pertama, kedua, ketiga dan seterusnya? Berapakah bilangan bilionair Melayu dalam senarai itu?

Apakah Manoharan tidak dapat melihat, menilai, mendengar semua kenyataan tersebut sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan yang mengundang amarah Melayu?

Orang Melayu sudah banyak berkorban demi perpaduan kaum di negara ini tetapi apa balasan yang orang Melayu terima? Yang ada hanya sekelompok manusia jahil yang terus mempertikaikan orang Melayu.

Tidakkah mereka sedar bahawa apa yang mereka peroleh sekarang ini adalah salah satu pengorbanan terbesar orang Melayu kepada mereka apabila orang Melayu sanggup beralah dan memberikan kewarganegaraan kepada bukan Melayu?

Kewarganegaraan adalah suatu hak yang amat besar. Dengan kewarganegaraan inilah orang bukan Melayu mempunyai hak istimewa apabila dibenarkan untuk mengundi, memilih pemimpin yang mereka sukai, malah turut menjadi calon dan wakil rakyat dan secara tidak langsung turut menjadi sebahagian daripada ‘warga’ yang terlibat dalam pembuatan dasar kerajaan.

Malah apa yang Manoharan peroleh sekarang ini juga adalah hasil daripada tolak ansur orang Melayu dalam ‘pakatan murni’ dahulu. Seandainya orang Melayu memilih untuk tidak menyokong dan berperang pada waktu itu, adakah kita akan dapat merasai semua ini sekarang?

Bukalah mata dan telinga wahai Manoharan dan juga sesiapa yang ingin terus menerus mempertikaikan orang Melayu. Apa yang kita miliki sekarang adalah hasil tolak ansur secara bersama. Jadi jangan dirosakkan semua itu hanya kerana ingin mengikut nafsu sahaja.

Bersyukurlah Manoharan kerana kamu adalah warganegara Malaysia. Seandainya kamu di negara asal keturunan kamu, mungkin kamu sudah diburu samseng lantaran sikap biadap dan kurang ajar kamu itu.

Orang Melayu di sini masih lagi taat dan patuh pada undang-undang dan masih mempunyai semangat kerukunan.

Justeru, usahlah cabar dan hancurkan semangat kerukunan tersebut kerana yang akan rugi adalah negara kita sendiri. Sayangilah negara kita bersama

DAP Kedah dedah niat sebenar perjuangan

Filed under: by: Pejuang orang melayu

DAP Kedah dedah niat sebenar perjuangan


Tindakan DAP keluar dari pakatan rakyat (PR) di Kedah bukanlah sesuatu yang memeranjatkan. Melihat kepada keadaan politik semasa, tindakan tersebut hanya menyerlahkan lagi 'sisi lain' parti cauvinis itu terhadap PR dan juga dalam senario politik negara ini.

Menggunakan alasan bahawa kerajaan PR di bawah pimpinan Pas di negeri ini tidak memerintah dengan adil apabila didakwa gagal menjaga kepentingan kaum bukan Melayu adalah sesuatu yang agak klise.

Ini kerana isu yang membabitkan sensitiviti kaum bukan Melayu di negeri ini adalah terlalu kecil dan terpinggir sedangkan beberapa keputusan yang diambil oleh kerajaan Pas di negeri Kedah adalah untuk kepentingan secara kolektif.

DAP menyatakan bahawa kerajaan negeri di bawah Pas tidak adil setelah mereka gagal mempertahankan rumah penyembelihan babi di Kampung Berjaya, Alor Setar itu daripada dirobohkan.

Malah mereka juga turut mendakwa bahawa kerajaan negeri tidak adil apabila berkeras untuk menaikkan kouta 50 peratus kepada pembeli rumah bumiputera di negeri ini.

Melihat kepada dua isu tersebut, apakah muslihat DAP apabila mempertikaikan keputusan kerajaan negeri dan mendakwa kerajaan negeri tidak adil?

Jelas sekali, tindakan mereka ini lebih dilihat sebagai tanda 'kecewa' apabila gagal untuk 'menguasai' kerajaan negeri ini seperti yang mereka lakukan di negeri Perak.

Dengan hanya satu kerusi DUN dimenangi pada pilihan raya umum lepas, secara terang-terangan DAP merasakan mereka tidak dapat untuk 'berkuasa' secara proksi di negeri ini.

Pas seharusnya semakin sedar bahawa mereka sebenarnya telah dijadikan 'barua' oleh DAP dan PKR dalam PR. Ini jelas dilihat apabila idea kerajaan perpaduan yang dikemukakan oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, telah ditolak mentah-mentah oleh PR yang dimonopoli oleh PKR dan DAP.

Mereka dapat merasakan seandainya idea tersebut benar-benar dilaksanakan, cita-cita pemimpin mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang untuk menjadi Perdana Menteri tidak akan tercapai.

Justeru, mereka perlu bertindak cepat dengan 'membunuh' idea tersebut dan menjadikan UMNO sebagai 'kambing hitam' dengan menuduh bahawa idea asal itu datangnya daripada UMNO sendiri.

Saudara-saudara sekalian lihatlah sendiri bagaimana 'wira' yang diagung-agungkan ini menjadi pengkhianat bangsa sendiri yang tidak mahu bangsa Melayu bersatu.

Pada beliau seolah-olah hanya dengan perpecahan Melayu beliau akan dapat memenuhi cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri.

Justeru, Pas sebagai parti Islam terbesar di negara ini perlulah memainkan peranan yang seimbang bersama parti Melayu terbesar iaitu UMNO untuk kembali meletakkan kedudukan orang Melayu di arena politik tanah air.

Kepada ulama-ulama dalam Pas perlu ingat bahawa Allah membenci mereka yang memusuhi sesama saudara sendiri.

Janganlah kita berasa terlalu takbur dan ujub dengan ilmu yang dimiliki sehinggakan terlalu senang untuk menjatuhkan hukum tanpa melihat kesannya kepada anak bangsa sendiri.

Contohi Rasullullah SAW yang sanggup dilihat untuk 'beralah' kepada kaum musyrikin Mekah sewaktu perjanjian Hudaibiyah dimeterai. Baginda sanggup kembali ke Madinah dengan tangan kosong dahulu kerana baginda yakin telah membuat satu keputusan yang betul untuk orang Islam.

Orang Melayu kini semakin dahagakan perpaduan dan penyatuan antara satu sama lain setelah melihat ia semakin lemah. Namun melihat kepada situasi semasa kini, harapan hanya tinggal harapan.

Tak mungkin orang Melayu akan bersatu dalam tempoh terdekat ini. Mungkin sehingga saat tertindasnya orang Melayu di bumi Malaysia ini barulah kita akan bangkit untuk bersatu?

Pada saat itu kita hanyalah tidak lebih daripada seorang pemberontak yang tiada nilai nyawanya berbanding sekarang, di mana kita masih mempunyai kuasa untuk membuat dasar-dasar kerajaan secara adil dan saksama.

Oleh itu gunakanlah kesempatan ini dengan sebaik mungkin, bukan untuk memerangi mana-mana kaum tetapi untuk menjaga perpaduan sesama bangsa Melayu.

Mohon Nik Aziz cermin diri

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Mohon Nik Aziz cermin diri


Kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat baru- baru ini yang menyifatkan UMNO sebagai sama dengan komunis adalah sangat keterlaluan kerana menyamakan parti yang telah banyak berjasa kepada agama, bangsa dan negara dengan pengganas yang memporak perandakan negara.

Adakah wajar UMNO, sebuah parti yang menjadi tunggak pemerintahan negara dan terbukti telah banyak menyemarakkan syiar Islam, disamakan dengan komunis yang bukan sahaja menentang Islam tetapi telah membunuh, menyiksa serta memusnahkan harta benda tanpa sekelumit rasa belas kasihan.

Komunis telah mendatangkan mala petaka kepada negara ini, menggugat kehidupan rakyat dan berusaha menghancurkan negara demi mencapai cita-cita menjadikan Parti Komunis Malaya (PKM) sebagai paksi memerintah negara ini.

Tiada apa pun kebaikan komunis walau sebesar hama, melainkan penderitaan dan kepayahan berpanjangan yang mereka semaikan kepada negara dan rakyat sehingga darurat terpaksa diisytiharkan.

Selama 12 tahun darurat dari tahun 1948 sehingga 1960, banyak usaha ditumpukan ke arah pembasmian kuncu-kuncu komunis sehingga pembanguan negara dan program-program untuk kesejahteraan rakyat serta pembangunan ekonomi tergendala.

Malah selepas darurat, bahana durjana komunis terus berpanjangan. Ramai anggota tentera dan polis, juga orang awam, terkorban akibat kekejaman komunis yang tidak berhati perut. Kekejaman komunis tidak dapat digambarkan dengan kata-kata dan perbuatan mereka tidak dapat dimaafkan.

Justeru adakah wajar UMNO sebagai sebuah parti yang didokong oleh orang Islam, dan yang telah terbukti begitu komited dengan perjuangan membangun dan meninggikan syiar Islam, memakmurkan serta membela nasib rakyat pelbagai kaum, disamakan dengan komunis yang tidak berhati perut dan tidak mengakui Islam? Ini satu penghinaan yang langsung tidak berasas.

Nik Aziz dianggap sebagai Tuan Guru dan ulama. Tetapi sayang kata-kata beliau langsung tidak mempamerkan kemuliaan sejajar dengan gelaran pada dirinya. Kata-kata beliau langsung tidak berhemah dan semata-mata berdasarkan politik serta ikut sedap mulut.

Kita sama-sama tahu bahawa Islam adalah agama rasmi negara. Kerajaan yang berteraskan UMNO telah banyak membina masjid dan syiar Islam sentiasa dipertingkatkan. Jika UMNO itu komunis adakah ini semua akan dilakukan? Adakah kita akan dapat hidup aman dan maju seperti yang kita kecapi hari ini, termasuk Nik Aziz sendiri?

Malah kemajuan dan kejayaan Malaysia sebagai negara Islam juga diakui oleh banyak negara luar, termasuk negara Islam lain. Ini membuktikan UMNO bukan sahaja telah berjaya memartabatkan negara daripada segi sosio-ekonomi, tetapi pembangunan dan kemajuan syiar Islam juga mencuri perhatian negara luar.

Perkara ini semua tidak akan berlaku jika UMNO itu seperti komunis. Fahamilah wahai Tuan Guru. UMNO sebenarnya lebih banyak membangunkan syiar Islam dibandingkan dengan Pas sendiri. UMNO lebih praktikal memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air, bukan hanya bercakap kosong seperti Pas.

Saya bermohon agar Tuan Guru dan Pas berhenti menuduh dan melabelkan UMNO semata-mata kerana kepentingan politik, semata-mata untuk menyedapkan hati penyokong yang mudah percaya dan menjadi ‘pak turut’. Berhati-hatilah berkata kerana fikir itu pelita hati.

Dulu Pas kata UMNO kafir, sekarang kata komunis. Jika Pas benar-benar parti Islam seperti yang didakwa, ia tidak harus membuat dakwaan liar terhadap insan seagama yang akibatnya meletakkan Pas pada mertabat yang rendah. Cerminlah diri.

Nik Aziz semakin melampau hina UMNO

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Nik Aziz semakin melampau hina UMNO


Pemimpin UMNO sebenarnya memang kuat sabar. Walaupun Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat dalam satu ceramah di Manek Urai Kelantan menyamakan UMNO dengan ajaran sesat yang sama tarafnya dengan ajaran sesat Ayah Pin, mereka tetap sabar. Pemuda UMNO Kelantan telah membuat laporan polis atas ucapan Nik Aziz itu.

Menyamakan UMNO dengan ajaran sesat dan Ayah Pin adalah suatu penghinaan yang keterlaluan. Dalam sejarah, perbuatan pemimpin Pas menghukum dan menghina UMNO sesuka hati bukanlah baru.

Tahun 1959 muncul seorang ahli Pas dikenali sebagai Tok Guru Haji Omar Daud dari Pasir Mas, Kelantan, mengkafirkan UMNO. Haji Omar adalah Ahli Jawatankuasa Ulama Pas dan Wakil Rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri Bandar Pasir Mas. Beliau pernah ditahan di bawah ISA kerana perbuatannya itu.

Pada tahun 1963 Dewan Ulama Pas Kelantan telah mengeluarkan fatwa menghukumkan orang Islam yang bekerjasama dengan bukan Islam sebagai kafir. Fatwa tersebut berbunyi: ‘‘Orang Islam yang berkongsi dengan orang-orang kafir untuk memerintah negara menjadi kafir atau haram.”

Tahun 1978 Dewan Ulama Pas Kelantan dalam perjumpaan di Pondok Pasir Tumbuh, Kelantan, selepas Pas keluar daripada Barisan Nasional (BN), membangkitkan semula hukum kafir terhadap UMNO. Dewan Ulama Pas Kelantan itu menuduh UMNO kafir.

Tahun 1979 Tok Guru PAS di Pondok Pasir Tumboh, Kelantan, Haji Mustafa Abu Bakar mengeluarkan fatwa semasa berceramah di sebuah surau di Hulu Besut mengkafirkan ahli UMNO.

Disebut di mahkamah bahawa beliau didapati menuduh “orang-orang UMNO dalam Barisan Nasional (BN) hukumnya murtad” dan “orang UMNO dalam Barisan Nasional tidak sah dijadikan imam sembahyang”. Juga ‘‘sembelihan orang UMNO Barisan Nasional tidak boleh dimakan”; “tidak sah akad nikah sekiranya jurunikah itu orang Barisan Nasional” dan “kalau tidak bersefahaman antara suami isteri jika salah seorang Pas yang satu Barisan Nasional nescaya hukumnya tertalaklah antara suami isteri dan jika bersetubuh juga hukumnya zina, kalau dapat anak hukumnya anak zina.”

Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang juga pernah dalam fatwanya tahun 1982 menghukum kafir kepada orang UMNO iaitu apa yang disebut sebagai ‘Amanat Hadi’. Semua orang telah maklum dan tidak perlu dijelaskan lanjut mengenai amanat dan hukum yang dibuat oleh Hadi itu.

Nik Aziz bukan sahaja suka membuat tuduhan yang bukan-bukan kepada orang UMNO bahkan beliau sendiri pernah mengeluarkan kenyataan melampau terhadap agama Islam Yang Maha Suci, seperti Tuhan juga samseng, Tuhan mencarut, sanggup bekerjasama dengan syaitan untuk kemenangan dan sebagainya.

Namun kata-katanya yang cukup menyinggung perasaan umat Islam itu tenggelam begitu sahaja dimamah zaman, walaupun ia cukup melampaui batasan ajaran Islam.

Semasa ajaran Ayah Pin berada di peringkat yang cukup kritikal, Pas yang menjadi kerajaan di Terengganu tidak mengambil tindakan tegas untuk menghapuskan ajaran sesat itu. Pelbagai binaan wujud di perkampungan Ayah Pin di Hulu Besut.

Apabila Barisan Nasional mengambil alih semula Kerajaan Terengganu barulah ‘cerek gergasi’, ‘perahu Nabi Nuh’, ‘payung kuning’ dan sebagainya yang dibina sekitar tahun 2001 hingga 2003 (di zaman pemerintahan Pas) telah dirobohkan oleh Kerajaan BN-UMNO Terengganu.

Lantaran itu wajarkah UMNO disamakan dengan ajaran sesat Ayah Pin dan Pas ajaran yang betul dan tiada cacat celanya.

Sesungguhnya Nik Aziz semakin melampau apabila merasakan tiada siapa boleh mengambil tindakan ke atasnya.