Jangan emosi pilih pemimpin

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Jangan emosi pilih pemimpin


Semua sedang tertumpu di Parlimen Hulu Selangor bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) yang dijadual pada 25 April 2010 ini. Soal siapa calon sudah terjawab, apabila Perdana Menteri mengumumkan bahawa calon untuk Parlimen Hulu Selangor ialah dari MIC.

Ada yang kecewa dengan pengumuman ini, terutamanya pembuat propaganda dan pendesak yang mahukan calon dari kalangan UMNO. Namun Perdana Menteri sangat bijak dalam menangani tuntutan tersebut.

Sentimen kerjasama dan persefahaman yang telah dijana sejak sekian lama, tidak harus dimusnahkan dalam tempoh singkat dan hanya kerana sebuah pilihan raya kecil, tetapi ada agenda lebih besar yang sedang menanti rakyat untuk dilaksanakan oleh kerajaan, kerana itu persefahaman, perpaduan dan pemahaman terhadap gagasan 1Malaysia itu mesti sentiasa menjadi pegangan setiap rakyat Malaysia.

Soal calon dari parti politik mana sudah selesai, soal siapa calon pula biar pimpinan yang menentukan. Namun siapa calon BN bukanlah menjadi isu yang besar, tetapi yang paling penting ialah kemenangan calon tersebut bakal melimpahkan berbagai-bagai nikmat pembangunan kepada seluruh warga Parlimen Hulu Selangor.

Pastinya program transformasi kerajaan yang sedang dijana sekarang bakal melimpah ruah hingga ke Hulu Selangor, jika pengundi di sana terus konsisten dan kekal memilih calon Barisan Nasional (BN) yang mampu membawa suara penduduk Hulu Selangor di Parlimen, tentunya ia bakal didengari oleh Perdana Menteri.

Para pengundi di Hulu Selangor harus ingat, bahawa mereka perlukan calon yang mampu membawa dan menyelesaikan segenap permasalahan mereka kepada pucuk pimpinan negara, bukan wakil yang sekadar tahu mencari kelemahan dan kesilapan orang lain yang hanya menjadikan rakyat bawahan sebagai batu loncatan untuk mencapai kepentingan peribadi.

Penduduk di Parlimen Hulu Selangor harus ingat, gara-gara kesilapan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 yang lalu, mereka telah kehilangan satu kerusi Parlimen yang sangat berharga. Bukan itu sahaja, bahananya juga berlarutan hingga mereka kehilangan sebuah institusi pengajian tinggi (UiTM) yang mampu membuka berbagai-bagai ruang, bukan sahaja untuk pendidikan, tetapi peluang-peluang peningkatan ekonomi.

Semua berlaku apabila ada pihak yang berkepentingan dan tidak berwibawa cuba mentadbir urus sebuah negeri dengan cara di luar kemampuan sebenar. Bayangkan segala kerugian yang terpaksa ditanggung oleh seluruh warga penduduk di Hulu Selangor. Segala-galanya mungkin kerana rasa emosi yang telah diluahkan pada PRU12 yang lalu.

Bagi penduduk di lima buah Felda yang berada di dalam kawasan Parlimen Hulu Selangor, Felda Gedangsa, Sungai Dusun, Sungai Tengi, Sungai Tengi Selatan dan Sungai Buaya, tentunya masih ingat pesanan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang mahukan peneroka mengamalkan kehidupan harmoni dan sentiasa memberikan sokongan kepada kerajaan yang berusaha memberikan sebuah kehidupan baru, melalui penubuhan Felda yang merupakan salah satu strategi pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Hari ini nikmat DEB itu sudah dirasai oleh seluruh warga Felda termasuk anak-anak mereka, maka menjadi tanggungjawab mereka pula untuk mempertahankan nikmat dan rahmat DEB itu, untuk generasi akan datang.

Percayalah, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan melupakan kepentingan Felda, kerana itulah satu-satunya wasiat penting ayahandanya untuk dipertahankan sampai bila-bila.

Maka menjadi amanah dan tanggungjawab seluruh warga di Parlimen Hulu Selangor, untuk mereka terus merenung diri dan bermuhasabah dengan mengelakkan emosi yang menguasai diri, untuk menentukan pemimpin mereka yang mampu menjadi suara dan memperjuangkan nasib mereka di Parlimen pada hari mengundi 25 April 2010 ini. Selamat Mengundi.

Marilah bersatu wahai bangsaku

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Marilah bersatu wahai bangsaku


Alhamdulilah, syukur ke hadrat Allah di atas keputusan Mahkamah Persekutuan semalam di mana kelima-lima hakim sebulat suara membuat keputusan bahawa Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir ialah Menteri Besar Perak yang sah.

Keputusan ini memang dinantikan oleh rakyat seluruh Malaysia, khususnya rakyat Negeri Perak.

Saya hadir di perkarangan mahkamah lebih kurang pukul 8.30 pagi untuk menyaksikan secara dekat suasana dan pengumuman yang bakal dibuat oleh pihak yang menang. Keadaan secara keseluruhannya terkawal walau pun pelbagai gelagat dipertontonkan oleh penyokong kedua-dua belah pihak.

Tahniah kepada pihak polis di atas kawalan keselamatan yang diberikan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku. Kehadiran penyokong kedua-dua belah pihak agak seimbang di mana hampir 95% yang hadir adalah bangsaku, iaitu bangsa Melayu.

Seperti yang dijangka, ketika pengumuman kemenangan oleh wakil daripada Barisan Nasional kepada penyokong mereka, dan diikuti dengan bacaan doa selamat, maka bergemalah sorakan dan pekikan oleh kedua-dua belah pihak.

Pelbagai ragam dan gelagat dilihat. Ada yang gembira, sedih dan marah yang penuh dengan emosi disertai dengan kata-kata yang tidak menyenangkan untuk didengar.

Perasaan saya ketika itu bercampur aduk, hiba dan sedih melihatkan gelagat-gelagat yang dipamerkan oleh bangsa saya sendiri. Satu perkara yang bermain di fikiran saya, adakah persengketaan sesama bangsa ini akan berakhir atau mungkin ada lagi episod baru.

Alhamdulillah dengan kecekapan pihak polis keadaan terkawal. Itulah serba sedikit suasana yang dapat saya gambarkan kepada pembaca ketika di perkarangan Mahkamah Persekutuan, Putrajaya. Keputusan telah pun dibuat, maka krisis politik di Perak seharusnya berakhir di sini.

Kepada pihak yang menang perbanyakkanlah bersyukur kepada Allah manakala pihak yang kalah terimalah keputusan dengan hati terbuka. Ini adalah ketentuan dari yang Maha Esa.

Saya menyeru kepada bangsa saya yang saya sayangi, tidak kira anda dari puak mana asalkan anda adalah orang Melayu yang beragama Islam, ayuh mari kita bermaafan dan bersatu hati di atas nama agama dan bangsa.

Lupakan persengketaan ini yang pastinya tidak menguntungkan kita. Kita buka lembaran baru dan biarkan persengketaan yang berlaku sebelum ini hanya tinggal sejarah hitam yang pastinya tidak akan diulangi, juga diwarisi oleh generasi akan datang. Kita tentang segala bentuk provokasi dari anasir-anasir jahat yang inginkan bangsa kita berpecah-belah.

Kepada pihak yang menang iaitu UMNO, khususnya kepada wakil-wakil rakyat negeri Perak, anda mempunyai satu tanggungjawab besar yang perlu dilaksanakan iaitu menyatukan semula bangsa kita, tidak kira mereka dari parti mana. Berikan layanan dengan seadil-adilnya.

Perbanyakkan program kemasyarakatan. Jangan anda leka dengan kemenangan ini. Lihatlah rakan-rakan di sekeliling anda, adakah mereka berjuang bersama-sama dengan anda demi agama dan bangsa atau sebaliknya.

Jangan sesekali terlena dengan pujian-pujian manis daripada mereka yang akhirnya memakan diri anda sendiri.

Akhir kalam daripada saya, ikatan sesama kita perlu diperkuatkan demi agama dan bangsa. Tidak perlu kita berada di puak yang inginkan persengketaan. Pastikan kita berada di puak yang inginkan perdamaian juga persaudaraan.

Marilah kita bersama-sama menyatukan semula puak yang bersengketa. Semoga usaha ini dapat digerakkan dan dipermudahkan oleh Allah. Amin.

Orang ramai sudah penat dengan kes liwat Anwar

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Orang ramai sudah penat dengan kes liwat Anwar


Khabarnya beribu-ribu orang dijangka memenuhi Kompleks Mahkamah, Jalan Duta, Kuala Lumpur, untuk memberi sokongan serta mengikuti perbicaraan kes liwat Penasihat Parti Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

Namun ternyata keadaannya sebaliknya apabila jumlah mereka yang datang tidak ramai seperti yang digembar-gemburkan. Jelas sekali orang ramai, malah penyokong Anwar sendiri, sudah seperti hilang minat dengan kes tersebut.

Mereka sudah bosan dan penat dengan sikap Anwar yang berterusan mempolitikkan kes tersebut serta meminta penangguhan demi penangguhan sehingga perbicaraannya sudah tertangguh lebih setahun.

Malah semalam pun beliau masih berusaha mahu meminta penangguhan. Namun Mahkamah Tinggi membuat keputusan muktamad perbicaraan akan tetap dimulakan hari ini pukul 2.30 petang.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat, yang sebelum ini tidak pernah hadir pada perbicaraan Anwar sebelum ini, hadir semalam. Biar pun mungkin untuk memberi sokongan, namun kehadirannya lebih bermotifkan politik.

Kesempatan tersebut merupakan satu peluang kepadanya untuk mengalihkan pandangan umum daripada beberapa isu yang membelenggu dirinya, malah menjejaskan imej dan kredibilitinya.

Antaranya isu melantik menantunya menerajui Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK). Akhirnya beliau mengarahkan menantunya itu meletakkan jawatan setelah menerima desakan pelbagai pihak.

Selain itu beliau juga berhadapan isu kerugian RM50 juta berhubung projek Kompleks Bazar Tok Guru serta isu royalti minyak. Ini semua membayangi Nik Aziz yang berharap kehadirannya pada perbicaraan Anwar akan mengalihkan kemelut pandangan umum terhadapnya. Namun rasanya umum tidak mudah terpengaruh.

Kita berharap selepas ini perbicaraan akan berjalan lancar. Anwar tidak perlu takut jika merasakan dirinya benar. Tunggu sahaja keputusan mahkamah

Pastikan 'Juara Rakyat' berjaya

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Pastikan 'Juara Rakyat' berjaya


Kita wajar merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang secara terus menerus memperkenalkan pelbagai program untuk mendekatkan diri dengan rakyat sejak mengambil alih jawatan Perdana Menteri.

Terkini kerajaan tampil dengan program 'Juara Rakyat' yang akan dilancarkan pada 9 Januari 2010. Walaupun program ini dilaksanakan oleh UMNO, parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) juga dikatakan akan diajak bersama bagi menjayakan program ini di peringkat bahagian.

Program ini dilaporkan akan meliputi pelbagai jenis aktiviti seperti aktiviti pendidikan, keagamaan, kerohanian, keusahawanan, perekonomian, bidang sosial dan aktiviti berkaitan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Jika diperhalusi konsep program ini, secara kasarnya ia nampak menyeluruh dan boleh memberi impak yang besar kepada rakyat, terutamanya kepada masyarakat luar bandar. Niatnya betul dan ikhlas, manakala cadangannya pula dilihat hebat. Namun yang menjadi persoalan utama adalah bagaimanakah pula aspek pelaksanaannya. Rakyat mahu tahu bagaimana pihak kerajaan akan menjayakan program ini.

Niat yang ikhlas dan program yang hebat tidak akan membawa sebarang makna jika hasil pelaksanaanya kelak tidak dirasai atau dinikmati oleh rakyat akar umbi. Pemantauan dan pengawasan terhadap program yang dianjurkan juga perlu dimantapkan.

Justeru kita harap program 'Juara Rakyat' ini yang akan menggabungkan semua parti komponen BN atau pun kita boleh katakan gabungan 1Malaysia mampu menterjemahkan hasrat Perdana Menteri yang mahu mewujudkan suasana yang mesra rakyat dapat dicapai.

Hebahkan kepada rakyat intipati program ini dengan jelas dan telus, dan seterusnya laksanakan programnya dengan berkesan supaya rakyat sedar tentang niat ikhlas pihak kerajaan. Buktikan bahawa kerajaan ini adalah kerajaan yang utamakan rakyat selaras dengan slogan 'Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan'.

Semua pihak terutamanya wakil parti komponen perlu rajin turun padang memantau pelaksanaan program tersebut secara serius dan setiap program yang dilaksanakan juga perlu ada KPInya sendiri agar dapat dipantau dan dinilai keberkesanannya kelak