Marilah bersatu wahai bangsaku

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Marilah bersatu wahai bangsaku


Alhamdulilah, syukur ke hadrat Allah di atas keputusan Mahkamah Persekutuan semalam di mana kelima-lima hakim sebulat suara membuat keputusan bahawa Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir ialah Menteri Besar Perak yang sah.

Keputusan ini memang dinantikan oleh rakyat seluruh Malaysia, khususnya rakyat Negeri Perak.

Saya hadir di perkarangan mahkamah lebih kurang pukul 8.30 pagi untuk menyaksikan secara dekat suasana dan pengumuman yang bakal dibuat oleh pihak yang menang. Keadaan secara keseluruhannya terkawal walau pun pelbagai gelagat dipertontonkan oleh penyokong kedua-dua belah pihak.

Tahniah kepada pihak polis di atas kawalan keselamatan yang diberikan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku. Kehadiran penyokong kedua-dua belah pihak agak seimbang di mana hampir 95% yang hadir adalah bangsaku, iaitu bangsa Melayu.

Seperti yang dijangka, ketika pengumuman kemenangan oleh wakil daripada Barisan Nasional kepada penyokong mereka, dan diikuti dengan bacaan doa selamat, maka bergemalah sorakan dan pekikan oleh kedua-dua belah pihak.

Pelbagai ragam dan gelagat dilihat. Ada yang gembira, sedih dan marah yang penuh dengan emosi disertai dengan kata-kata yang tidak menyenangkan untuk didengar.

Perasaan saya ketika itu bercampur aduk, hiba dan sedih melihatkan gelagat-gelagat yang dipamerkan oleh bangsa saya sendiri. Satu perkara yang bermain di fikiran saya, adakah persengketaan sesama bangsa ini akan berakhir atau mungkin ada lagi episod baru.

Alhamdulillah dengan kecekapan pihak polis keadaan terkawal. Itulah serba sedikit suasana yang dapat saya gambarkan kepada pembaca ketika di perkarangan Mahkamah Persekutuan, Putrajaya. Keputusan telah pun dibuat, maka krisis politik di Perak seharusnya berakhir di sini.

Kepada pihak yang menang perbanyakkanlah bersyukur kepada Allah manakala pihak yang kalah terimalah keputusan dengan hati terbuka. Ini adalah ketentuan dari yang Maha Esa.

Saya menyeru kepada bangsa saya yang saya sayangi, tidak kira anda dari puak mana asalkan anda adalah orang Melayu yang beragama Islam, ayuh mari kita bermaafan dan bersatu hati di atas nama agama dan bangsa.

Lupakan persengketaan ini yang pastinya tidak menguntungkan kita. Kita buka lembaran baru dan biarkan persengketaan yang berlaku sebelum ini hanya tinggal sejarah hitam yang pastinya tidak akan diulangi, juga diwarisi oleh generasi akan datang. Kita tentang segala bentuk provokasi dari anasir-anasir jahat yang inginkan bangsa kita berpecah-belah.

Kepada pihak yang menang iaitu UMNO, khususnya kepada wakil-wakil rakyat negeri Perak, anda mempunyai satu tanggungjawab besar yang perlu dilaksanakan iaitu menyatukan semula bangsa kita, tidak kira mereka dari parti mana. Berikan layanan dengan seadil-adilnya.

Perbanyakkan program kemasyarakatan. Jangan anda leka dengan kemenangan ini. Lihatlah rakan-rakan di sekeliling anda, adakah mereka berjuang bersama-sama dengan anda demi agama dan bangsa atau sebaliknya.

Jangan sesekali terlena dengan pujian-pujian manis daripada mereka yang akhirnya memakan diri anda sendiri.

Akhir kalam daripada saya, ikatan sesama kita perlu diperkuatkan demi agama dan bangsa. Tidak perlu kita berada di puak yang inginkan persengketaan. Pastikan kita berada di puak yang inginkan perdamaian juga persaudaraan.

Marilah kita bersama-sama menyatukan semula puak yang bersengketa. Semoga usaha ini dapat digerakkan dan dipermudahkan oleh Allah. Amin.

1 comments:

On 10 Februari 2010 pada 11:11 PG , Tanpa Nama berkata...

Tahniah DR. Zambry. Saya pun sedih dengan orang melayu sekarang.2 atau 3 tahun ni rasanya orang melayu masih boleh bernafas.20 tahun akan datang, entahlah. Waktu tu mungkin saya dah tak ada. Dah tak perlu risau tentang orang melayu lagi. Cuma sekarang ni risau tentang anak cucu cicit saya. Adakah mereka akan jadi pengemis/pelarian di tanahair sendiri. fikirkan.