Ketuanan Melayu

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Ketuanan Melayu


Ketua Pemuda Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) Hishammuddin Tun Hussein mengayun-ayunkan keris untuk mempertahankan Ketuanan Melayu.

Ketuanan Melayu ialah konsep perkauman yang mendakwa bahawa orang Melayu adalah tuan kepada Persekutuan Tanah Melayu (sekarang) Malaysia . Orang Cina dan India di Malaysia yang dianggap sebagai pendatang (yang dibawa masuk oleh British) disifatkan terhutang budi kepada orang Melayu kerana kesanggupan dan kesediaan orang Melayu menerima mereka sebagai warganegara Persekutuan Tanah Melayu (sekarang) Malaysia sebagai prasyarat British memberikan kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu.

Sebagai timbal balik kerana kesanggupan dan kesediaan apa yang disifatkan sebagai pengorbanan orang Melayu itu, perlembagaan memberi peruntukan khas kepada orang Melayu dalam bentuk hak istimewa dan ini dimaktubkan di dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (sekarang) Malaysia). Persetujuan quid pro quo atau saling beri-memberi ini biasanya dipanggil kontrak sosial.

Konsep Ketuanan Melayu ini sering kali dijadikan retorik ahli politik Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yang berpengaruh semenjak 50 tahun Persekutuan Tanah Melayu (sekarang Malaysia) mencapai kemerdekaannya dari British sebagai usaha meraih sokongan orang Melayu walaupun pada hakikatnya tidak ramai orang Melayu yang arif tentang konsep atau fahaman ini.

Walaupun retorik ini wujud sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan, frasa ketuanan Melayu tidak menjadi satu perkara yang disebut ramai hingga ke awal tahun 2000-an. Kebanyakan tentangan konsep ini adalah daripada parti-parti yang tidak berdasarkan kaum Melayu, seperti Parti Tindakan Demokratik (DAP), tetapi sebelum kemerdekaan orang Baba dan Nyonya juga menentang konsep ini.

Konsep keulungan kaum Melayu mendapat perhatian dalam tahun 1940-an apabila orang Melayu bersatu untuk menentang penubuhan Malayan Union dan kemudian, berjuang untuk kemerdekaan. Semasa tahun 60-an, terdapat usaha yang cukup besar untuk mencabar ketuanan Melayu, diketuai oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP) dari Singapura — yang merupakan negeri Malaysia dari 1963 hingga 1965 — dan DAP selepas pemisahan Singapura.

Walaupun begitu, sebahagian Perlembagaan berkaitan ketuanan Melayu berakar umbi selepas rusuhan kaum Mei 13, 1969 yang terjadi akibat kempen pilihan raya yang menjadikan hak-hak orang bukan Melayu dan ketuanan Melayu sebagai isu tumpuan.

Tempoh ini juga menyaksikan kebangkitan ultra yang mendesak agar kerajaan parti tunggal diketuai UMNO, dan pertambahan penekanan bahawa orang Melayu merupakan "orang asal" Malaysia — iaitu hanya orang Melayu boleh dianggap penduduk asal Malaysia.

Rusuhan kaum mengakibatkan perubahan besar dalam pendekatan kerajaan kepada isu perkauman, dan menyebabkan pengenalan Dasar Ekonomi Baru iaitu dasar tindakan pengesahan yang secara agresif menyebelahi kaum Melayu. Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang juga diperkenalkan pada tahun 1970, memberikan penekanan kepada asimilasi orang bukan Melayu ke dalam kaum Melayu.

Tetapi dalam tahun 1990-an, Perdana Menteri Mahathir bin Mohamad menolak pendekatan ini, dengan dasar Bangsa Malaysia yang menekankan bangsa Malaysia dan bukan kaum Melayu sebagai identiti negara. Dalam tahun 2000-an, ahli-ahli politik mula menekankan ketuanan Melayu semula, dan membidas secara keras menteri kerajaan yang mempersoalkan kontrak sosial.


-Dari Wikipedia Bahasa Melayu-

0 comments: