Solat Istiqarah mohon petunjuk

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Solat Istiqarah mohon petunjuk




KEGAWATAN politik di Perak adalah amat mendukacitakan orang Melayu dan umat Islam. Ia kini mencapai satu tahap yang semakin memalukan dan menakutkan. Orang Melayu dan umat Islam mula berbalah atas faktor politik dan kepartian.

Sedangkan sudah jelas dalam firman Allah dan hadis Nabi SAW yang mengharamkan penderhakaan kepada pemerintah khususnya kepada raja. Malah ulama politik mula mengemukakan 'nas-nas' mereka untuk meraih sokongan pengikut yang fanatik dan dikuasai nafsu amarah.

Di dalam situasi dan keadaan kedaulatan raja-raja dipermainkan apakah orang Melayu khususnya pendokong parti politik masih boleh bersandiwara lagi. Keputusan yang adil bagi menyelamatkan negeri atau negara juga dianggap sebagai menyebelahi pihak yang lain. Malah untuk duduk semeja demi agama Islam dan orang Melayu tidak lagi perlu dan kedegilan lebih diutamakan demi pengaruh dan kuasa masing-masing. Fungsi raja-raja dalam hal seperti ini juga sudah tidak mampu merungkai permasalahan yang semakin gawat.

Siapakah kita sebagai rakyat biasa untuk bertindak dalam mengajak pemimpin politik Melayu sama ada UMNO, Pas atau PKR untuk duduk semeja dalam menentukan agenda umat Islam dan kaum Melayu terus terpelihara, sedangkan kaum lain berseronok dengan percakaran antara kita kerana menguntungkan mereka.

Para alim ulama atau mufti juga sudah tidak mampu melakukan apa-apa kecuali melontarkan pandangan tanpa mahu diikuti oleh pemimpin politik yang semakin angkuh dan sombong dengan kemenangan mereka. Dalam situasi politik di Perak pula, pandangan mufti diperlekehkan oleh sesetengah pihak yang kononnya arif dalam soal agama dan mengaku mereka lebih Islamik berbanding orang lain.

Justeru dalam keadaan kita semakin tidak tentu arah dan pelbagai dakwaan yang mengundang kekeliruan, saya menyeru dan memohon agar para mufti dan alim ulama menganjurkan solat sunat istiqarah di setiap masjid dan surau dalam negara kita pada hari-hari mendatang atau secara serentak pada hari Jumaat.

Dengan mengadakan solat ini, semua umat Islam diminta untuk memohon ke hadrat Allah agar menunjukkan yang mana benar dan yang mana salah.

Saya memohon agar Jabatan Agama Islam Negeri Perak mengeluarkan arahan kepada setiap masjid melaksanakan solat sunat istiqarah ini. Dan inilah senjata terakhir yang kita ada, jika kita tidak menggunakan solat dan doa ini maka adakah kita rela membiarkan keadaan ini berterusan dan kita terus terpedaya.

Insya-Allah bantuanNya pasti datang untuk memperlihatkan kita akan kebenaran atau kebatilan yang tersembunyi dari pandangan mata hati kita. Apa yang baik datangnya dari rahmat Allah dan kekuasaanNya, sebaliknya segala yang buruk itu ada dalam hasutan iblis dan kelemahan diri kita sendiri.

1 comments:

On 13 Februari 2009 pada 12:25 PTG , Pejuang orang melayu berkata...

Salam... terima kasih kepada semua sahabat yg sudi singgah ke blog yg tak seberapa ini... harap sahabat semua dapat membantu..