Erti kemerdekaan berkurangan

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Erti kemerdekaan berkurangan

Sewajarnya sambutan kemerdekaan kali ke-52 tahun ini, kita raikan dengan penuh keinsafan dan kesyukuran berbanding tahun-tahun sebelumnya kerana 31 Ogos 2009 jatuh pada bulan Ramadan yang mulia.

Saban tahun, tarikh keramat ini datang dan pergi sebagai memenuhi takwim - tanpa kita sedar berapa ramai rakyat Malaysia yang benar-benar mengerti nilai kemerdekaan yang kita nikmati sekarang.

Tahun ini misalnya, bilangan kenderaan dan bangunan yang mengibarkan Jalur Gemilang boleh dikatakan berkurangan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Memang betul persoalan yang mengatakan adakah dengan hanya mengibar Jalur Gemilang sahaja kita dianggap patriotik. Malah banyak lagi cara dan kaedah untuk kita menterjemahkan rasa sayang kita pada negara ini.

Namun berapa ramai daripada kita yang menghayati erti kemerdekaan ini dan sedar akan kepentingan untuk mempertahankannya.

Tahun ini kita menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-52 dalam suasana ekonomi, politik dan sosial yang agak bercelaru dan merisaukan, baik di peringkat global mahupun di peringkat nasional.

Masalah kegawatan ekonomi terus menghantui dunia termasuk negara kita, bilangan pekerjaan yang masih terhad, masalah kenaikan harga barang serta kekurangan bekalan terus menjadi satu persoalan yang sukar untuk dijawab oleh kita semua.

Kekalutan pentas politik negara juga semakin hari semakin merisaukan semua pihak. Bilangan pilihan raya kecil yang semakin bertambah, ahli politik yang begitu mudah dan gemar untuk keluar parti dan isytihar bebas serta isu syurga dan neraka semakin menghimpit dan menghantui masyarakat Malaysia.

Ini ditambah lagi dengan isu kontrak sosial dan perpaduan kaum yang makin hangat diperdebatkan sana sini.

Dari segi sosial pula, isu kadar jenayah yang semakin meningkat, masalah sosial remaja yang makin menjadi-jadi dan pengakuan terbuka wanita Islam minum arak dan rela disebat di khalayak ramai, seolah-olah terus menghiris nilai-nilai ketimuran masyarakat kita.

Apakah contoh-contoh di atas (sekadar beberapa contoh) mencerminkan budaya masyarakat kita yang boleh dianggap sudah benar-benar memahami erti kemerdekaan yang kita nikmati sekarang.

Secara ikhlas saya katakan, bilangan rakyat Malaysia yang memahami erti dan nilai kemerdekaan semakin berkurangan.

Apakah tindakan mempersoalkan hak istimewa orang Melayu, ikatan kontrak sosial yang telah terbentuk sekian lama, berdemonstrasi secara haram, membangkitkan isu syurga dan neraka serta budaya keluar parti dan lompat parti boleh dijadikan kayu pengukur untuk menilai erti kemerdekaan kita yang ke-52?

Tema tahun ini cukup sinonim dengan hasrat Perdana Menteri iaitu ‘1Malaysia Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan’ namun sejauh mana kita menghayati tema dan erti kemerdekaan yang kita kecapi selama ini.

Tema yang hebat ini seharusnya dihayati, disemai dan dipupuk bersama-sama dengan rasa sayang kepada negara ini dalam sanubari setiap warga Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

Atau apakah perlu kita memperkenalkan satu lagi slogan baru demi memupuk erti kemerdekaan dan rasa sayangkan negara di kalangan masyarakat misalnya Rakyat Bersatu Negara Diutamakan.

Sekali lagi pilihan di tangan kita, yang mana tidak mustahil kemerdekaan ini diragut suatu hari nanti jika kita tidak mengerti, menghayati dan mempertahankannya.

Sampai bila mahu beri muka?

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Sampai bila mahu beri muka?


Amaran demi amaran diberi, tindakan demi tindakan dibuat. Namun mereka yang bertujuan merosakkan imej negara dengan apa cara sekali pun masih berleluasa. Adakah amaran dan tindakan itu telah memberi apa-apa kesan dalam melestarikan keamanan dan kemakmuran di negara kita?

Kejadian yang berlaku sepanjang dua tahun lepas menunjukkan tindakan tersebut tidak memberi apa- apa kesan. Setiap kali dirancangkan demonstrasi haram, polis telah memberi amaran keras supaya jangan diadakan. Adakah polis telah dapat mencegah dalam apa cara supaya ia tidak berlaku lagi? Tidak! Kenapa? Kerana dalang-dalang yang merancang dan penunjuk perasaan itu sendiri tahu hanya beberapa orang sahaja yang akan ditangkap dan kemudiannya dibebaskan dalam sehari dua. Mereka akan bebas dan dianggap sebagai ‘wira’ oleh komuniti mereka, dikalungkan bunga malai dan diberi penghormatan!

Perkara ini tidak berlaku di negara jiran selatan kita. Kenapa? Kerana kerajaan itu tegas dan tidak melayan perkara-perkara karut-marut seperti itu. Mereka akan ditangani dengan tindakan yang paling tegas. Kerajaan mereka tidak bersusah payah memberi amaran, bahkan akan bertindak terus, dengan penuh ketegasan.

Mereka juga tidak melayan rengek-bengek daripada kumpulan ‘hak asasi manusia’ atau apa-apa kumpulan dari mana-mana. Jawapan yang diberi hanyalah, ‘‘Kami tahu apa yang baik untuk negara kami!’’

Masalahnya, kita terlalu memberi muka dan menghiraukan ‘apa orang lain kata’ meski pun daripada badan-badan yang tidak relevan seperti Majlis Peguam dan lain-lain. Kerajaan jangan melayan kehendak karut mereka.

Berapa banyak kaunseling atau amaran atau hukuman ringan seperti yang dilakukan sekarang pun tidak boleh mencegah mereka daripada mengulangi membuat angkara di masa depan. Orang awam yang tidak bersalah akan dipengaruhi untuk merancang dan menyertai demonstrasi liar yang menyalahi undang-undang. Dengan tindakan mereka ini, terang-terang menunjukkan betapa beraninya mereka menentang pasukan polis dan undang-undang.

Tindakan yang perlu dibuat untuk mencegah dan memberhentikan tindakan pengacau-pengacau ini ialah dengan memberi amaran yang terang dan keras: ‘‘Sesiapa yang didapati bertanggung jawab mendalangi aktiviti yang menyalahi undang-undang ini, akan segera dilucutkan kerakyatannya, dan dibuang ke negara asal usulnya’’ bagi yang bukan Melayu.

Bagi yang Melayu pula ‘‘dibuang ke sebuah pulau yang terpencil’’, seperti yang dilakukan oleh British kepada penjenayah-penjenayah dari India yang dibuang ke Kepulauan Andaman. Yang lainnya hendaklah dikenakan hukuman berat, termasuk denda serta sebatan rotan di khalayak ramai. Jika ini dilakukan, semua demonstrasi jalanan boleh dihapuskan.

Nampaknya orang bukan Islam telah menjadi terlalu berani untuk cuba menghancurkan Islam tanpa sebarang ketakutan. Jika kementerian bertanggungjawab tidak mengambil tindakan yang keras (bukan hanya amaran yang tidak memberi kesan) maka sensitiviti orang Islam yang merupakan 60 peratus penduduk negara akan terbakar. Ini akan mendatangkan akibat yang tidak diingini dan berbahaya. ‘‘Ingat sebelum kena, jimat sebelum habis’’. Adalah senang mengetip pucuknya sebelum menjadi pohon yang susah ditebang.

Dapat dilihat dengan terang, orang yang mengkritik Islam dan pemerintah negeri ini tidak menerima perlembagaan negara, yang menegaskan, ‘Islam ialah agama rasmi Persekutuan’. Juga tidak menerima hak-hak keistimewaan Raja-raja Melayu dan hak-hak bumiputera.

Jika mereka tidak menerima Perlembagaan Negara ini, mereka tidak mempunyai hak untuk tinggal bermastautin di sini. Kewarganegaraan mereka patut dimansuhkan dan mereka patut dihantar balik ke negara asal usul mereka. Kita tidak memerlukan mereka yang tidak taat kepada Perlembagaan dan sebaliknya hanya bertujuan membangkitkan kekacauan.

Jika kita masih membiarkan orang seperti ini tinggal di sini, berapa banyak tindakan (walaupun ISA) tidak dapat mencegah mereka daripada melakukan rancangan putar-belit untuk mencetus huru-hara dan perseteruan antara kaum. Mereka akan sentiasa mencari jalan untuk mewujudkan keretakan kaum dan agama, bagi mencetuskan kacau-bilau dan bencana.

Lucutkan kerakyatan jika hina raja Melayu

Filed under: by: Pejuang orang melayu


Lucutkan kerakyatan jika hina raja Melayu


Saya menyokong penuh apa yang disarankan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, agar mereka yang menghina Kedaulatan Raja Melayu dilucutkan dari kerakyatan, termasuk orang Melayu.

Akhir-akhir ini banyak pemimpin-pemimpin terutama DAP kerap melontarkan kemarahan terhadap Institusi Kesultanan Melayu, bahkan berjaya memesongkan pemikiran sebilangan rakyat Malaysia, termasuk golongan orang Melayu.

Itu tidak mengambil kira dengan menjadi dalang kebanyakan perhimpunan haram dengan tujuan yang saya rasa amat jahat dan berbahaya kepada generasi masa kini, terutama golong orang Melayu. Sedar atau tidak, mereka sering membaling batu tapi sembunyi tangan.

Sedarlah wahai orang Melayu, tanpa institusi raja yang menjaga golongan majoriti orang Melayu, siapakah kita. Imbaulah sedikit kisah sejarah kesultanan Melaka, jadikanlah iktibar untuk kita semua. Fikirlah sedalam-dalam demi generasi kita masa hadapan.

7 Wasiat Raja Melayu

Filed under: by: Pejuang orang melayu

7 Wasiat Raja Melayu


Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah hari ini mengingatkan rakyat khususnya orang Melayu mengenai tujuh wasiat raja-raja Melayu yang menjanjikan kesejahteraan, kedamaian dan keamanan jika mereka bersatu dan berpegang teguh kepadanya.

Wasiat yang disampaikan semasa raja-raja Melayu menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957 itu ialah:

1. Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu (sekarang dikenali dengan nama Malaysia)

2. Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain

3. Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kami serta harta milik kamu, kami tubuhkan Rejiman Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara

4. Kami kekalkan dan kami jamin kerajaan dan kedaulatan raja-raja Melayu memerintah negara ini

5. Kami isytiharkan Islam adalah agama Persekutuan

6. Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu

7. Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada raja-raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain (kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak)

ISA: Apabila Melayu jadi balaci

Filed under: by: Pejuang orang melayu

ISA: Apabila Melayu jadi balaci


Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun

Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara
Malangnya Melayu itu kuat bersorak

Terlalu ghairah pesta temasya
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual

Itulah antara bait-bait puitis sajak Sasterawan Negara, Allahyarham Usman Awang, merungkai sikap bangsa Melayu sedangkan kampung telah tergadai, negara mahu dijualnya.

Mungkin juga sajak itu paling sesuai dalam memperkatakan mengenai tindakan segolongan kecil penderhaka bangsa bertempik, bersorak, berpesta melaungkan kononnya ‘Mansuhkan ISA’. Mereka lupa akta itulah yang telah menjadikan negara kita selamat, aman dan makmur sejak 52 tahun kemerdekaan negara.

Malu, marah, geram, kesal, muak, mual semua perasaan itu timbul apabila melihat wajah-wajah pengkhianat bangsa Melayu, kebanyakan berkopiah serta bertudung, yang sanggup menjadi balaci atau orang suruhan hanya untuk menganggu-gugat keamanan dan kestabilan negara yang telah kita kecapi selama ini.

Kenapa dalam zaman moden ini dan kebanyakannya berpelajaran sanggup diperkudakan hanya untuk kepentingan politik golongan tertentu sahaja yang berhasrat mengalih perhatian masyarakat terhadap masalah dalaman yang melanda pembangkang dan isu peribadi yang dihadapi.

Sekalung tahniah kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang tegas dan berjaya memastikan golongan teramai tidak menjadi mangsa demonstrasi berkenaan.

Beliau berjaya memastikan pihak polis menjalankan tugas dari awal dengan menyekat laluan utama ke kawasan yang dirancang dan menahan mereka serta mendakwa sesiapa sahaja yang menyebabkan ia berlaku. Jelas dalam dirinya, yang salah tetap salah dan yang haram tetap haram.

Dakwaan pembangkang perhimpunan itu berjaya nyata meleset apabila sasaran 100,000 akan hadir tetapi hanya sekitar 5,000 dan 7,000 sahaja yang hadir.

Sedarkah orang Melayu, daripada 589 orang yang ditangkap 99 peratus atau 583 orang adalah Melayu dan 27 orang daripadanya pelajar, termasuk 20 orang pelajar sekolah di bawah 17 tahun.

Apabila polis menjalankan undang-undang dengan tegas, pembangkang mulalah mencanangkan ke seluruh dunia mendakwa polis zalim dan mengikut telunjuk UMNO. Ada juga kenyataan mereka yang sanggup berkata, polis sengaja berbuat demikian sebagai membalas dendam hasrat pembangkang yang mahukan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, meletak jawatan dan tidak disambung perkhidmatannya.

Persoalannya, bukankah polis dan menteri berkaitan sudah acap kali memberi amaran.

Bukankah perhimpunan itu tidak mempunyai permit. Yang haram tetap haram. Mana boleh yang hitam hendak diputihkan.

Bukankah sejak hari pertama Datuk Seri Najib Tun Razak memegang tampuk pemerintahan negara, beliau sudah memberi jaminan ISA akan dikaji semula. Jadi tunggulah kajian, janganlah lebih sudu daripada kuahnya.

Mereka yang bertanggungjawab dan menjadi dalang di sebalik perhimpunan itu patut didakwa dan dikenakan hukuman yang berat bagi menjadi contoh bagi rakyat lain agar tidak melakukan kesilapan yang serupa.

Kepada mereka yang mengikuti demonstrasi berkenaan, bacalah akta berkenaan sebelum meminta ia dibubarkan. Janganlah hanya mahu menang sorak sedangkan kampung dan negara menjadi galang gantinya.

Bayangkanlah sekiranya tanpa akta seumpama itu. Walaupun kerajaan sudah tahu seseorang mahu menghancurkan negara, tetapi tidak boleh bertindak awal kerana mahu menunggu ia melakukan kesalahan baru hendak ditangkap. Kehancuran sudah berlaku baru boleh bertindak.

Saya harap mereka bersembahyang istiharah sebelum melakukan perbuatan seumpama itu. Mintalah petunjuk daripada Allah SWT sama ada betul atau tidak tindakan yang telah menimbulkan kekacauan, kerosakan dan kehancuran kepada negara.

Janganlah hanya pandai memakai baju yang tertulis perkataan ‘ISA Bukan Cara Islam’ tetapi lupa tindakan mereka itu lebih jauh tidak Islam.