Pastikan 'Juara Rakyat' berjaya

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Pastikan 'Juara Rakyat' berjaya


Kita wajar merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang secara terus menerus memperkenalkan pelbagai program untuk mendekatkan diri dengan rakyat sejak mengambil alih jawatan Perdana Menteri.

Terkini kerajaan tampil dengan program 'Juara Rakyat' yang akan dilancarkan pada 9 Januari 2010. Walaupun program ini dilaksanakan oleh UMNO, parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) juga dikatakan akan diajak bersama bagi menjayakan program ini di peringkat bahagian.

Program ini dilaporkan akan meliputi pelbagai jenis aktiviti seperti aktiviti pendidikan, keagamaan, kerohanian, keusahawanan, perekonomian, bidang sosial dan aktiviti berkaitan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Jika diperhalusi konsep program ini, secara kasarnya ia nampak menyeluruh dan boleh memberi impak yang besar kepada rakyat, terutamanya kepada masyarakat luar bandar. Niatnya betul dan ikhlas, manakala cadangannya pula dilihat hebat. Namun yang menjadi persoalan utama adalah bagaimanakah pula aspek pelaksanaannya. Rakyat mahu tahu bagaimana pihak kerajaan akan menjayakan program ini.

Niat yang ikhlas dan program yang hebat tidak akan membawa sebarang makna jika hasil pelaksanaanya kelak tidak dirasai atau dinikmati oleh rakyat akar umbi. Pemantauan dan pengawasan terhadap program yang dianjurkan juga perlu dimantapkan.

Justeru kita harap program 'Juara Rakyat' ini yang akan menggabungkan semua parti komponen BN atau pun kita boleh katakan gabungan 1Malaysia mampu menterjemahkan hasrat Perdana Menteri yang mahu mewujudkan suasana yang mesra rakyat dapat dicapai.

Hebahkan kepada rakyat intipati program ini dengan jelas dan telus, dan seterusnya laksanakan programnya dengan berkesan supaya rakyat sedar tentang niat ikhlas pihak kerajaan. Buktikan bahawa kerajaan ini adalah kerajaan yang utamakan rakyat selaras dengan slogan 'Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan'.

Semua pihak terutamanya wakil parti komponen perlu rajin turun padang memantau pelaksanaan program tersebut secara serius dan setiap program yang dilaksanakan juga perlu ada KPInya sendiri agar dapat dipantau dan dinilai keberkesanannya kelak

Insiden 66-63: Satu ingatan

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Insiden 66-63: Satu ingatan


Apa yang terjadi di Parlimen kelmarin ketika meluluskan Bajet 2010 patut menjadi ingatan paling serius kepada ahli Parlimen Barisan Nasional dan mereka mesti bertanggungjawab jika bajet tersebut gagal diluluskan.

Perangkap pembangkang hampir berjaya menolak Bajet 2010 apabila pengundian belah bahagian dilakukan dan BN bernasib baik mendapat lebihan tiga undi (66-63). Baik juga Perdana Menteri dan timbalannya hadir.

Benarlah lebih satu undi pun boleh dianggap menang tetapi seperti kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, kita tidak boleh selamanya bergantung pada 'nasib baik'. Ini soal maruah kerjaan.

Bayangkan jika bajet berkenaan gagal diluluskan, apa akan jadi kepada kerajaan? Perbahasan bajet yang memakan masa panjang menjadi sia-sia dan pentadbiran negara terjejas ketiadaan belanjawan.

Apa yang terjadi sungguh memalukan. Kita tidak fikir ada ahli Parlimen BN yang tidak tahu pentingnya perkara ini. Tetapi mungkin kerana sikap sambil lewa menyebabkan mereka terlepas pandang.

Apa pun hakikatnya mereka tidak ada alasan untuk memastikan kehadiran mereka pada sidang Parlimen itu sebagai wajib dan kewajipan. Terpulang kepada Perdana Menteri untuk mengambil sebarang tindakan sama ada memberi surat tunjuk sebab atau menyenarai hitam nama mereka.

Ini bukan sahaja satu iktibar tetapi ingatan bahawa kehadiran mereka di Parlimen membawa mandat rakyat. Dalam erti kata lain, jika bajet gagal diluluskan maka kerajaan tiada peruntukan untuk membantu rakyat.

Maka sebaiknya ahli Parlimen perlu bijak mengurus masa antara tugas di Parlimen dengan tugas di luar sebagai wakil rakyat. Walhal sidang Parlimen hanya berlangsung lima hari seminggu.

Soalnya, dalam keadaan segenting kelmarin Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri boleh hadir di Parlimen untuk mengundi, mana perginya 71 lagi ahli Parlimen BN. Jumlah ini amat besar. Mustahil semua ada urusan penting.

Saya hanya melahirkan rasa kecewa terhadap mereka kerana mereka diberikan amanah oleh rakyat. Tepuk dada tanyalah diri sendiri apa akan jadi jika kerajaan tiada peruntukan untuk pentadbiran. Hendak bayar gaji ahli Parlimen pun tiada wang. Macam mana?

Hayatilah titah Sultan Selangor

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Hayatilah titah Sultan Selangor


Pada dasarnya baginda mahu kerajaan Selangor sekarang berhenti bercakap dan berpolitik yang terlalu banyak sehingga mengabaikan agenda pembangunan rakyat.

Umum mengetahui sejak hampir dua tahun menerajui Selangor, kerajaan sekarang telah berdepan dengan pelbagai isu yang menimbulkan polemik rakyat dari mulanya hingga kini.

Antaranya, isu ladang babi mega di Tanjong Sepat; isu pemindahan kuil hindu di Seksyen 23; isu penjualan arak di kawasan majoriti Islam; isu penstrukturan semula industri air yang belum selesai; dakwaan salah guna kuasa; isu Selcat dan lain-lain lagi.

Saya sebagai rakyat Selangor sentiasa keliru dengan perkembangan semasa politik dan pentadbiran negeri yang bukan hanya berlaku antara pakatan rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) tetapi juga sesama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau pemimpin PR.

Contohnya, antara DAP dan Pas dalam isu-isu penguatkuasaan enakmen pentadbiran Islam berkaitan penjualan arak dan juga cadangan lanjutan operasi pusat hiburan. Macam manalah rakyat seperti kami tidak keliru melihat pergeseran dalaman kerajaan itu yang sepatutnya bersatu hati untuk memerintah, maka apa yang dititah baginda Sultan memang ternyata kebenarannya sebab baginda adalah payung mahkota tempat rakyat bernaung dan berteduh.

Baginda saban hari dimaklumkan dengan perkembangan pentadbiran negeri dan segala urusan yang berkaitan dengannya maka sudah pasti baginda merupakan pihak yang pertama mendapat gambaran sebenar apa yang berlaku.

Apabila kepimpinan negeri sibuk berpolitik, berceramah dan mengabaikan agenda membawa pembangunan kepada rakyat yang memerlukan pembelaan, maka rakyat akan mengeluh, kecewa dan sedih kerana tidak dibantu untuk merubah kehidupan mereka.

Warga emas dan OKU, peniaga, golongan fakir miskin, anak yatim, serta ibu tunggal tidak seharusnya mendapat pembelaan secara bermusim (di ambang Aidilfitri, Maal Hijrah), malah harus terus dibela secara berterusan agar tidak tercicir dalam arus pesat pembangunan.

Maka secara kesimpulannya, saya amat menyokong penuh titah Tuanku Sultan Selangor yang 'mengejutkan MB dan kepimpinannya' untuk bingkas bangun membawa pembangunan kepada rakyat.

Ingatlah, rakyat adalah hakim sebenar mana-mana kerajaan dan jika kebimbangan dan kesulitan hidup mereka terus berlarutan maka mereka sudah pasti akan membuat perhitungan baru dalam PRU13 yang akan datang.

Dan semua ini bakal menjadi kenyataan jika situasi di Selangor kini tetap tidak berubah pada masa akan datang.

Strategi Malaysian Malaysia

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Strategi Malaysian Malaysia


Sebenarnya dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia, kita tidak berasa dibezakan dan tidak berasa terancam tetapi apabila ada pihak yang membangkitkan soal ‘kontrak sosial’ maka apa yang selama ini diyakini sebagai nilai untuk jaminan hidup bersama telah dirasakan sebagai ancaman.

Hal ini adalah lebih merupakan soal perasaan atau emosional dan bukannya rasional.

Bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew (LKY) pernah berucap di Parlimen yang ketika itu masih dalam Malaysia dengan menimbulkan soal hak bagi setiap kaum untuk bercakap dalam bahasa ibunda di rumah masing-masing yang tidak boleh disekat oleh sesiapa pun.

Realitinya tidak ada pihak yang hendak menyekatnya, tetapi oleh kerana bahasa Melayu pada ketika itu diletakkan sebagai bahasa rasmi negara maka apabila LKY menimbulkan soal itu, timbul syak wasangka seolah-olah kerajaan akan menguatkuasakan peraturan itu di rumah.

Inilah kebijaksanaan LKY memainkan api perkauman untuk kepentingan mendapat sokongan terhadap Malaysian Malaysianya.

LKY telah dipatahkan daripada meneruskan kempen ini dengan penyingkiran Singapura dari Malaysia tetapi sekarang dari jauh beliau masih dapat memerhatikan taktik dan strategi yang sama digunakan oleh pembangkang di Malaysia termasuk anak angkatnya DAP ekoran kebebasan baru yang diberikan kepada rakyat Malaysia.

Naib Pengerusi DAP, M. Kulasegaran dan Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham telah berikrar untuk terus mempersoalkan hak ketuanan Melayu yang disifatkan tidak adil kepada semua kaum. Dalam kata-kata lain hak ketuanan itu yang disimbolkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu akan terus diungkit oleh mereka.

Kedua-dua orang kuat DAP itu tahu apa yang mereka lakukan dan mereka memang menduga dan mengharapkan reaksi kemarahan daripada orang Melayu.

Reaksi dari Melayu itu telah mempopularkan mereka dan menjadi mereka sebagai wira kepada bukan Melayu.

Reaksi orang Melayu yang meminta supaya Kulasegaran dilucutkan kerakyatan dan sebagainya tentunya akan menimbulkan simpati bukan Melayu kepadanya dan menampakkan orang Melayu sebagai perkauman.

Dengan strategi provokasi seumpama ini, DAP akan menjadi lebih popular dan malangnya orang Melayu terutamanya dari UMNO akan terus memberikan sokongan tanpa sedar kepada provokasi yang bersifat perkauman itu yang akan terus datang dalam pelbagai cara.

Ini adalah harga mahal yang terpaksa dibayar oleh UMNO akibat kebebasan yang telah diberikan kepada rakyat negara ini bermula sejak 2004.

Kemenangan besar pada 2004 bukannya digunakan untuk memperkukuhkan asas-asas perlembagaan bagi pembangunan suatu bangsa yang kuat, berdisiplin dan setia kepada negara ini, tetapi sebaliknya telah membuka ruang untuk menghancurkan nilai yang dibina sejak 50 tahun lalu yang sememang masih belum mantap.

Apa lagi yang hendak dikata. Kehancuran akan terus berlaku
.