Insiden 66-63: Satu ingatan

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Insiden 66-63: Satu ingatan


Apa yang terjadi di Parlimen kelmarin ketika meluluskan Bajet 2010 patut menjadi ingatan paling serius kepada ahli Parlimen Barisan Nasional dan mereka mesti bertanggungjawab jika bajet tersebut gagal diluluskan.

Perangkap pembangkang hampir berjaya menolak Bajet 2010 apabila pengundian belah bahagian dilakukan dan BN bernasib baik mendapat lebihan tiga undi (66-63). Baik juga Perdana Menteri dan timbalannya hadir.

Benarlah lebih satu undi pun boleh dianggap menang tetapi seperti kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, kita tidak boleh selamanya bergantung pada 'nasib baik'. Ini soal maruah kerjaan.

Bayangkan jika bajet berkenaan gagal diluluskan, apa akan jadi kepada kerajaan? Perbahasan bajet yang memakan masa panjang menjadi sia-sia dan pentadbiran negara terjejas ketiadaan belanjawan.

Apa yang terjadi sungguh memalukan. Kita tidak fikir ada ahli Parlimen BN yang tidak tahu pentingnya perkara ini. Tetapi mungkin kerana sikap sambil lewa menyebabkan mereka terlepas pandang.

Apa pun hakikatnya mereka tidak ada alasan untuk memastikan kehadiran mereka pada sidang Parlimen itu sebagai wajib dan kewajipan. Terpulang kepada Perdana Menteri untuk mengambil sebarang tindakan sama ada memberi surat tunjuk sebab atau menyenarai hitam nama mereka.

Ini bukan sahaja satu iktibar tetapi ingatan bahawa kehadiran mereka di Parlimen membawa mandat rakyat. Dalam erti kata lain, jika bajet gagal diluluskan maka kerajaan tiada peruntukan untuk membantu rakyat.

Maka sebaiknya ahli Parlimen perlu bijak mengurus masa antara tugas di Parlimen dengan tugas di luar sebagai wakil rakyat. Walhal sidang Parlimen hanya berlangsung lima hari seminggu.

Soalnya, dalam keadaan segenting kelmarin Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri boleh hadir di Parlimen untuk mengundi, mana perginya 71 lagi ahli Parlimen BN. Jumlah ini amat besar. Mustahil semua ada urusan penting.

Saya hanya melahirkan rasa kecewa terhadap mereka kerana mereka diberikan amanah oleh rakyat. Tepuk dada tanyalah diri sendiri apa akan jadi jika kerajaan tiada peruntukan untuk pentadbiran. Hendak bayar gaji ahli Parlimen pun tiada wang. Macam mana?

0 comments: