Ucapkan ‘Terima Kasih Malaysia’

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Ucapkan ‘Terima Kasih Malaysia’


Terima kasih Malaysia. Itulah ungkapan yang paling wajar dan sesuai diucapkan oleh seluruh rakyat negara tercinta ini kerana diberi ruang dan peluang untuk hidup dan menetap di bumi bertuah yang sungguh unik dan istimewa, yang suatu ketika dahulu dikenali sebagai ‘swarnabumi’ ataupun ‘bumi emas’.

Bulan Syawal yang baru sahaja menggamit kita menjadi saksi dan bukti yang mendokong ungkapan terima kasih tersebut.

Buktinya, seperti biasa kita dapat lihat rakyat pelbagai keturunan saling mengunjungi ke rumah rakan-rakan mereka yang beragama Islam. Jelas ini menunjukkan, baik orang politik mahupun rakyat biasa, masing-masing boleh melupakan sejenak persengketaan antara mereka dan bersatu atas nama pemuafakatan dan kekitaan.

Apa lagi kita boleh rumuskan apabila melihat ribuan rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum dan agama membanjiri majlis rumah terbuka Perdana Menteri dan Kabinetnya di Sri Perdana pada hari raya pertama, kalau bukan suatu bukti kuat yang mendokong perpaduan kita selama ini.

Tradisi rumah terbuka, saling mengunjungi dan budaya bermaafan ini sekali lagi membuktikan bahawa kita masih boleh bersatu hati walaupun ada sedikit perselisihan faham. Kemeriahan perayaan jelas dapat menenggelamkan kemarahan dan persengketaan yang wujud.

Warisan nenek moyang inilah yang telah menjadi benteng kita selama ini dalam mempertahankan jambatan perpaduan antara kaum. Ia juga dapat mengelak dan menangkis segala prasangka buruk antara satu sama lain.

Gagasan 1Malaysia juga dapat direalisasikan jika kita terus memupuk budaya sebegini dalam sanubari generasi masa depan negara ini.

Semoga kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri dapat diteruskan dan dimantapkan lagi pada musim perayaan lain seperti Tahun Baru Cina, Deepavali, Hari Natal dan sebagainya. Ternyata masyarakat kita kaya dengan pelbagai adat dan budaya yang unik dan istimewa.

Keunikan ini jugalah telah menjadi kebanggaan kita selama ini. Masyarakat dunia melihat kemajmukan kita sebagai suatu yang pelik dan mustahil tetapi selama ini kita berjaya buktikan bahawa kita boleh maju dan membangun sebagai satu bangsa dan satu suara.

Bukan mudah untuk mempertahankan warisan turun-temurun ini. Dewasa ini terlalu banyak cabaran dan dugaan yang terpaksa kita tempuhi dalam mempertahankan perpaduan dan keharmonian kaum tersebut.

Ini kerana sudah ada golongan tertentu yang sengaja cuba bermain dengan api di mana mereka mengapi-apikan sentimen perkauman di kalangan kita demi untuk mengejar cita-cita kotor mereka.

Kontrak sosial yang kita meterai dan warisi mula dipersoalkan. Malah ada yang cuba untuk merobeknya sama sekali tanpa memikirkan kesan dan akibat yang bakal menimpa.

Kita merdeka, kita maju dan terkenal serta aman dan makmur selama ini kerana kita berjaya memelihara keunikan persefahaman antara pelbagai kaum yang ada. Kita juga bangga dengan tradisi yang kita amalkan selama ini.

Justeru kita wajar berterima kasih di atas keunikan yang telah negara ini anugerahkan kepada kita. Kita adalah insan terpilih yang diberi peluang untuk menikmatinya. Sebagai rakyat Malaysia marilah kita berkongsi bersama kenikmatan ini agar ia dapat terus dipelihara sehingga ke anak cucu kita.

Usahlah kita derhaka kepada ibu pertiwi ini. Syukurilah nikmat yang dipinjamkannya kepada kita. Ucapkanlah terima kasih Malaysia.

Jangan jadi seperti kacang lupakan kulit

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Jangan jadi seperti kacang lupakan kulit


Biadap dan perlu pohon maaf secara terbuka itulah yang perlu dilakukan oleh MIC kerana menggunakan perhimpunan Agung MIC untuk mengecam bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Sebagai anak Malaysia yang mengecapi kemerdekaan dan merasai nikmat di bawah kepimpinan mantan Perdana Menteri itu amat dukacita dan berharap semua pihak bangun untuk menyedarkan kalangan ahli MIC bahawa tindakan perwakilan dalam MIC kali ini keterlaluan.

Mereka seharusnya sedar dan insaf tanpa sokongan BN terutama mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir pastinya golongan India di negara ini tertinggal ke belakang.
Dari estet mereka kini boleh menarik nafas lega kerana dapat menjadi usahawan dan dari gerai makan hingga ke hotel-hotel besar atau syarikat.

Kalangan ahli MIC yang taksub dengan presiden mereka yang telah memegang jawatan itu selama 29 tahun harus mengikut jejak kalangan ahli komponen BN lain yang sanggup melepaskan jawatan mereka. Ingatlah wahai perwakilan MIC terbabit, anda tidak boleh bergerak berseorangan sekiranya tanpa restu daripada rakyat Malaysia berbilang kaum apatah lagi kalangan ahli Barisan Nasional.

Walaupun ada yang tidak menyukai Tun namun kepemimpinan beliau memang tidak dapat ditandingi. Negarawan, seperti seni kata lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee:
Di mana akan ku cari ganti, memang tidak dapat dicari seperti Tun Dr. Mahathir.

Persoalannya kenapa semasa Datuk Seri S. Samy Vellu, perkara itu semua tidak boleh dilakukan. Samy Vellu pernah berkata, Tun Mahathir semasa pemerintahannya tidak melakukan apa-apa untuk kaum India. Adakah semasa pemerintahan Tun Mahathir, sokongan kaum India terhadap Barisan Nasional berkurangan seperti pada waktu sekarang? Jika beliau tidak melakukan apa-apa untuk kaum India, kenapakah sokongan kepada Barisan Nasional tidak berkurangan malah sentiasa bertambah?

Bahawa MIC mestilah memohon maaf kepada UMNO dan Tun Mahathir di atas cadangan yang melampau ini. Jangan seperti kacang lupakan kulit. Sedarlah diri anda wahai perwakilan MIC. Malaysia tidak mungkin berada seperti mana yang kita kecapi sekarang tanpa jasa Tun Mahathir.

Pembangkang Perak sedarlah diri

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Pembangkang Perak sedarlah diri!


Keputusan mahkamah sudah mengesahkan siapa berkuasa di Perak. Perkenan Sultan tidak ada, tapi masih juga bertindak keras kepala. Peraturan mana yang mereka pakai. Bahasa apa lagi yang perlu digunakan supaya benar-benar faham. Kami rakyat Perak, sudah bosan dengan politik yang berunsurkan keganasan. Tidak habis-habis melanggar undang-undang. Tidak sudah-sudah menimbulkan masalah dalam negeri yang kami cintai ini. Kami mahu hidup aman dan dapat melaksanakan ibadat puasa dengan aman tanpa keresahan tentang kestabilan negeri.

Janganlah isu sensitif di Selangor hendak dibawa dan dilepaskan dendam dan marah kepada kami di Perak, terutama untuk perhatian Sivakumar. Anda bukan lagi speaker DUN kami. Kalau anda rasa anda ada penyokong, BN juga ramai penyokong. Jadi jangan kerana sikap keras kepala anda, antara penyokong juga bermusuhan atau saling benci-membenci. Kami ingin mengekalkan suasana harmoni sedia ada dan kami sesama Islam dapat merayakan hari raya puasa ini dengan lebih meriah.

Kepada DAP, jika terus juga berdegil dengan perlakuan ini, anda sebenarnya tidak menghormati raja kami. Sejarah membuktikan kami rakyat Perak akan berbuat apa sahaja demi kedaulatan raja kami. Patuhilah rukun negara kedua jika anda adalah benar-benar rakyat Malaysia yang cintakan tanah air ini. Selama 52 tahun, belum ada lagi kumpulan yang berani mencabul prinsip-prinsip rukun negara. Tindakan anda sebenarnya membuatkan rakyat Malaysia yang cinta pada negaranya, amat benci dan marah.

Hentikanlah, kerana perbuatan ADUN-ADUN begini sebenarnya mencabuli semua lima prinsip rukun negara dan memang layak dikenakan lucut kerakyatan.

Ingatlah, kami mahu keamanan agar dapat beribadat sempurna di negeri kami, hidup dan mati kami kerana Allah untuk agama, bangsa dan negara.

Nizar hanya mahu perhatian

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Nizar hanya mahu perhatian


Seperti yang telah dijangkakan, Pakatan Rakyat sekali lagi membuat kontroversi dengan mengadakan ‘sidang ADUN’ tergempar untuk mengambil tindakan kepada Speaker dan timbalan yang sah di atas kesalahan daripada acuan mereka sendiri.

Sekali pandang seperti sebuah filem jenaka atau mungkin mereka merasakan mereka mempunyai bakat dalam bidang lakonan untuk dipertontonkan kepada rakyat negeri Perak, Malaysia dan dunia.

Saya ingin mencadangkan kepada Datuk Seri Nizar untuk membuat sebuah filem kung fu yang paling sesuai buat dirinya dan beliau merupakan pelakon utama.

Kontroversi terbaru ini telah menampakkan kegelisahan di kalangan mereka yang saya percaya ketika ini, orang Melayu khususnya di Perak sudah mula sedar dan insaf, sudah bangun daripada diulit mimpi yang indah, sudah tahu mana kaca dan permata dan yang nyata sekali, bibit-bibit penyatuan sudah mula dilihat di mana-mana sahaja di negeri Perak.

Alhamdulillah. Bersatunya orang- orang Melayu Perak amatlah tidak disenangi dan digeruni oleh Pakatan Rakyat.

Mereka tidak takut dengan kaum lain sebab mereka rasakan kaum lain sudah dalam genggaman mereka mungkin di atas janji-janji yang mempesonakan.

Selepas ini pastinya akan timbul lagi cerita terbaru daripada mereka. Mereka inginkan cerita itu menjadi topik perbualan.

Tanpa cerita terbaru, mereka takut populariti mereka merudum dan sejuk seperti artis yang inginkan gosip, begitu jugalah mereka ini.

Mereka amat takut dengan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry di atas kejayaan beliau mentadbir negeri.

Gesaan daripada mereka untuk membubar ADUN ialah disebabkan sekiranya ADUN tidak dibubarkan dan ia berlanjutan sehingga pilihan raya umum akan datang, pastinya impian mereka untuk memerintah semula Perak akan hancur.

Tambahan pula, Datuk Seri Dr. Zambry mentadbir negeri Perak dengan baik, pastinya rakyat Perak akan memberi sokongan penuh kepada beliau terutama orang Melayu. Itulah kenyataannya.

Kepada semua orang Melayu Perak, marilah kita bersatu, lupakan persengketaan politik yang tidak menguntungkan yang pasti merugikan kaum kita sendiri.

Kita beri peluang sekali lagi kepada UMNO untuk mentadbir negeri tanah tumpah darah kita yang kita sayangi.

Bersatulah kita di atas nama Islam dan Melayu. Jangan kita ‘menang sorak, kampung tergadai’. Ini adalah tanah tumpah darah kita, peninggalan daripada datuk nenek moyang kita dahulu. Jangan kita ditertawakan oleh orang lain di atas perpecahan kita.

Kepada Dr. Zambry dan pemimpin-pemimpin UMNO negeri, buktikanlah kepada orang Melayu di negeri Perak, berjuanglah demi agama dan bangsa.

Kepada pemimpin-pemimpin di kalangan bukan Melayu, anda mempunyai tugas untuk memastikan bangsa anda bersama-sama dengan kerajaan negeri demi keamanan dan kejayaan negeri Perak.

Kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Perak, patik merayu di atas perkenan Tuanku untuk melucutkan gelaran Datuk Seri yang diberikan kepada Nizar dan konco-konconya.

13 Mei 1969 boleh berulangkah?

Filed under: by: Pejuang orang melayu

13 Mei 1969 boleh berulangkah?


Sejak kebelakangan ini, hampir setiap hari kita disajikan dengan pelbagai peristiwa yang berlaku dalam negara yang mula menggugat perpaduan dan keharmonian kaum yang dibanggakan selama ini.

Senarainya semakin hari semakin panjang yang sekali gus mengundang seribu satu persoalan apakah peristiwa 13 Mei 1969 bakal berulang.

Walaupun tahun ini genap 40 tahun tragedi malang itu menimpa negara kita, namun saya pasti masih ramai di kalangan kita yang boleh terbayang-bayang apa yang berlaku pada tarikh keramat tersebut yang sekali gus menjadi titik hitam yang sukar untuk dipadamkan daripada lipatan sejarah negara ini dan ia tidak mustahil berulang jika tidak diambil langkah yang sewajarnya.

Satu demi satu peristiwa yang menyentap perpaduan kaum mula diperagakan untuk tatapan umum oleh pihak-pihak yang jelas mempunyai agenda dan kepentingan peribadi masing-masing.

Dalang-dalang ini begitu licik memainkan peranan tanpa kita sedari akan rupa bentuknya dan natijah yang bakal dibawanya bersama.

Mahu tidak mahu kita perlu akui bahawa antara punca utama soal perpaduan kaum menjadi bahan perbualan dan perdebatan adalah akibat daripada keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU 12) pada Mac 2008 yang jelas menukar landskap politik tanah air kita. Kesannya cukup mendalam dan meninggalkan implikasi yang sangat besar kepada kita semua.

Akibatnya juga sudah ada pihak yang begitu berani menyuarakan hak dan pelbagai tuntutan yang jelas tidak berasas dan boleh menimbulkan rasa tidak puas hati pihak yang lain.

Mereka yang sebelum ini tidak langsung dikenali oleh masyarakat sudah mula menjadi hero dan pejuang golongan tertentu. Mereka muncul umpama cendawan yang tumbuh selepas hujan iaitu selepas PRU 12.

Mempersoalkan apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan, mengadakan demonstrasi haram, mencabar pihak berkuasa dengan sengaja, menyebar pelbagai fitnah dan khabar angin yang boleh merobek perpaduan kaum serta meniup api kemarahan terhadap pihak kerajaan telah menjadi intipati dan agenda tetap perjuangan golongan ini.

Satu persoalan yang sukar untuk dirungkai adalah apakah tujuan sebenar golongan ini yang cuba melaga-lagakan rakyat kita yang hidup aman dan damai.

Tidak cukupkah dengan apa yang berlaku pada 13 Mei 1969. Kenapa mereka perlu bermain dengan api. Wajarkah keamanan yang kita nikmati selama ini dikorbankan demi untuk memuaskan hawa nafsu golongan yang mengejar kedudukan, kuasa dan pengaruh semata-mata.

Peristiwa bantahan penduduk terhadap pembinaan kuil di Selangor baru-baru ini yang melibatkan perarakan dengan kepala lembu merupakan antara insiden yang sepatutnya tidak berlaku. Ia jelas mengguris hati dan perasaan rakan-rakan kita dari kalangan penganut agama Hindu.

Kita percaya penduduk yang membuat bantahan ini tidak sedikitpun berniat untuk menghina agama rakan mereka namun ia jelas telah dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan seterusnya mengambil kesempatan untuk bertindak sedemikian rupa.

Akhirnya para penduduk itu secara khususnya dan umat Islam secara amnya dipandang serong kerana dikatakan telah menghina agama lain. Kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

Insiden sedemikian rupa tidak boleh dipandang ringan dan diambil mudah. Ia tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Andai kita leka maka dikhuatiri ia akan menular dengan cepat seperti wabak selesema babi Influenza A (H1N1) yang semakin sukar untuk dibendung kelak. Sudah semestinya kita tidak rela dan sanggup melihat peristiwa 13 Mei berulang kembali.

Justeru, besarlah harapan semua agar pihak berkuasa dapat membawa pihak yang bertanggungjawab ini ke muka pengadilan sekali gus menjernihkan kembali hubungan antara kedua-dua pihak yang terlibat dan seterusnya membersihkan juga nama baik umat Islam secara keseluruhannya.

Adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat Malaysia untuk terus memerangi golongan yang sebegini yang cuba mengganggu-gugat keamanan dan kestabilan negara kita. Janganlah esok kita menyesal. Bak kata pepatah, menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya.

Malaysia adalah rumah kita. Sebagai penghuni rumah ini kita wajib menjaga dan memelihara keselamatannya dan melindunginya sepanjang masa.

Usahlah kita membenarkan anasir-anasir liar ini bermaharajalela dan mengambil kesempatan kerana akhirnya mereka akan merobohkan rumah kita suatu hari nanti. Jelas itulah tujuan dan matlamat utama mereka selama ini.

Rakyat Malaysia seharusnya menghayati konsep 1Malaysia dengan sepenuh jiwa dan raga jika mahu melihat perpaduan dan keharmonian kaum terus subur di bumi bertuah ini. Gagasan ini merupakan ramuan yang cukup lengkap dan sempurna untuk kita jadikan sebagai panduan dan pedoman bagi membina negara dan bangsa yang dicita-citakan.

Ingatlah bahawasanya kita wajib mempertahankan kontrak sosial yang telah diwariskan kepada kita oleh generasi terdahulu agar kita dapat membekalkannya dalam keadaan yang sedia ada kepada generasi yang akan datang. Itu adalah tanggungjawab kita bersama.

Enam pemimpin perkukuhkan perpaduan kekal kemerdekaan

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Enam pemimpin perkukuhkan perpaduan kekal kemerdekaan


Bapa Kemerdekaan negara, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, dengan lantang dan bersemangat melaungkan kalimah ‘Merdeka’ di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 31Ogos 1957. Ini secara tidak langsung memperlihatkan bahawa kemerdekaan negara kita penuh dengan kedaulatan dan kemuliaan, ditambah dengan jasa dan pengorbanan pejuang kemerdekaan yang mengorbankan apa saja demi memerdekakan negara.

Negara kian hari kian bertambah maju dan berjaya. Selepas Tunku tidak lagi bergelar Perdana Menteri, Tunku tidak teragak-agak untuk memberi jawatan itu kepada Tun Abdul Razak Hussein sebagai Perdana Menteri kedua.

Tun Razak menerima jawatan berat itu dengan penuh semangat kebangsaan kerana beliau tahu bukan mudah untuk negara ini mencapai kemerdekaan. Tun Razak memacu negara dengan menekankan atau mengutamakan rakyat jelata agar kemerdekaan negara terus terbela.

Selepas kematian mengejut Tun Razak di luar negara, kemerdekaan negara dipelihara oleh Tun Hussein Onn selaku Perdana Menteri ketiga. Tun Hussein tahu hanya dengan perpaduan rakyat kemerdekaan sesebuah negara itu kukuh sampai bila-bila.

Oleh demikian, Tun Hussein memacu Malaysia dengan menekankan konsep perpaduan antara kaum agar kemerdekaan negara yang dicapai, tidak akan diperbodohkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Tun Hussein menaikkan semangat penghayatan kemerdekaan agar Malaysia negara merdeka dengan penuh kedaulatan ini tidak akan dimusnahkan atau dipermainkan.

Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri keempat menggantikan Tun Hussein. Dr Mahathir adalah seorang negarawan Malaysia yang cukup dikagumi kawan dan lawan sama ada dari dalam atau luar negara kerana pemikiran serta strategi beliau dalam memacu negara tercinta.

Dr Mahathir sedar kemerdekaan negara bukan suatu perkara yang mudah untuk dikecapi dan oleh itu, beliau mengagaskan Wawasan 2020 sebagai hala tuju Malaysia demi memelihara kemerdekaan dan kemakmuran negara.

Selama 23 tahun bergelar Perdana Menteri, Dr Mahathir ‘membina’ Malaysia mengikut acuan sendiri dan membina benteng kemerdekaan negara daripada diceroboh oleh bangsa asing yang sudah semestinya kurang senang dengan kemerdekaan serta perpaduan rakyat Malaysia sehingga kini.

Dr Mahathir berundur dan digantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri kelima yang banyak menumpukan kepada keterbukaan dan integriti di Malaysia. Abdullah sedar bahawa dengan wujudnya keterbukaan dan integriti yang baik di negara ini, sesebuah kemerdekaan negara itu akan boleh dikuatkan melalui rakyatnya yang diberi beberapa ‘kuasa’ dalam sistem demokrasi dan keterbukaan.

Datuk Seri Najib Razak adalah Perdana Menteri keenam yang mengambil tampuk pemerintahan negara April lalu. Najib adalah seorang yang genius dan berpandangan jauh. Beliau mengakui bahawa kemerdekaan negara suatu yang mudah untuk dikecapi tetapi amat sukar untuk dikekalkan.

Oleh itu, Najib menggagaskan ‘1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ sebagai suatu konsep negara ke arah memelihara kemerdekaan negara melalui tiga petunjuk utama iaitu perpaduan rakyat, kepentingan kepada rakyat dan kualiti kerja yang cemerlang.

Najib melihat tiga petunjuk ini mampu untuk memelihara kemerdekaan negara daripada diperdajalkan oleh pihak asing yang tidak bertanggungjawab.