Buat pilihan betul pada 7 April

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Buat pilihan betul pada 7 April


Episod penghinaan terhadap Raja-raja Melayu dan orang Melayu khususnya di Perak, telah mengguris seluruh umat Melayu di negara ini.

Walaupun kini Barisan Nasional (BN) kembali menguasai kerajaan negeri Perak dan pasti episod yang memilukan itu tidak akan berulang, hirisan luka di hati orang-orang Melayu sukar untuk disembuhkan!

Ramai merasakan , meluat menyaksikan ADUN Pakatan Rakyat (PR) Perak berkelakuan seperti "budak belum baligh". Apa yang ditunjukkan oleh mereka jelas mencerminkan bahawa mereka amat terdesak untuk terus mempertahankan habuan yang pernah mereka nikmati selama setahun.

Justeru demi untuk meneruskan kesenangan yang mereka kecapi selama ini, mereka bukan sahaja sanggup menderhaka kepada DYMM Sultan Perak malah sanggup membiarkan rakyat Perak hidup dalam ketidaktentuan.

Kepada seluruh orang Melayu amnya dan orang Melayu Perak khususnya, sedarkah anda segala tindakan Speaker DUN Perak selama ini adalah satu penghinaan yang amat sangat kepada orang-orang Melayu! Mencabar kuasa sultan boleh diibaratkan seolah-olah memijak-mijak kepala bapa seluruh orang Melayu!

Nampaknya telah menjadi satu tradisi ekstremis bukan Melayu untuk cuba menggugat segala apa yang menjadi hak milik orang Melayu. Percubaan demi percubaan dalam segala segi baik dari ekonomi, hak istimewa, politik, agama dan sebagainya sedang 'digoncang' dengan tujuan menduga sejauh mana daya tahan orang-orang Melayu.

Sekiranya orang Melayu mampu berdiri teguh menangani 'gurauan-gurauan nakal' tersebut, orang Melayu akan terus menjadi ketua di negara sendiri. Sebaliknya jika orang Melayu tenggelam punca dengan 'serangan-serangan' tersebut, ketuanan Melayu akan terkubur dan bangsa Melayu akan menjadi bangsa yang dipandang rendah.

Buktinya walaupun hanya baru menguasai beberapa negeri, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat bukan Melayu terus menunjukkan taring mereka. Dengan mengambil tingkah laku Speaker DUN Perak sebagai iktibar, beliau cuba menunjukkan bahawa kedudukan beliau lebih tinggi daripada Sultan Perak.

Sesungguhnya Allah SWT Maha Berkuasa. Allah memberi peringatan kepada seluruh umat Melayu yang beragama Islam bahawa senario yang berlaku di Perak khususnya hanyalah secebis dari gambaran yang bakal berlaku pada masa hadapan.

Bayangkanlah apa yang akan berlaku sekiranya Pakatan Rakyat dapat menguasai majoriti dua pertiga kerusi di Parlimen kelak! Tidak mustahil kuasa Speaker DUN Perak akan seperti maharaja, lebih tinggi mengatasi kuasa raja-raja Melayu.

Persoalannya sekarang, adakah pada 7 April 2009 nanti, Melayu Bukit Selambau dan Melayu Bukit Gantang akan terus menghadiahkan 'nasib bangsanya' kepada Pakatan Rakyat untuk dicaturkan agar berterusan dihina, dicerca dan dipijak-pijak! Dengan apa yang berlaku sepanjang Pakatan Rakyat memiliki sedikit kuasa, tidak sedarkah dan tidak serikkah Melayu melihat bangsanya terus diperkecil dan dikotak-katikkan

Beri peranan Tun Mahathir, Pak Lah

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Beri peranan Tun Mahathir, Pak Lah


Perhimpunan Agung UMNO yang paling mencabar dalam sejarah negara tamat kelmarin. Peralihan kuasa kepada Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak sebagai Presiden UMNO merupakan tradisi yang amat bermakna dan menyumbang kepada perpaduan di kalangan ahli-ahli UMNO.

Malah saat yang dinantikan oleh pejuang dan ahli UMNO untuk melihat Tun Dr Mahathir kembali ke pangkuan UMNO semakin menjadi realiti. Kehadiran beliau semasa ucapan penggulungan menyemarakan semangat ahli UMNO yang berada di Dewan Merdeka PWTC. Malah ada yang menitiskan air mata melihat negarawan tersohor itu disambut dan diraikan oleh barisan kepimpinan UMNO.

Secara peribadi saya mengharapkan kepulangan Tun Dr Mahathir menyertai UMNO sebagai satu hikmah besar yang harus disyukuri oleh pendokong parti keramat ini.

Malah segala pandangan Tun Dr Mahathir muktahir ini amat perlu diberikan perhatian serius oleh semua ahli UMNO khususnya para perwakilan, pemimpin UMNO dan yang paling utama Presiden UMNO yang baru, Datuk Seri Mohd Najib.

Malah dalam menentukan kepimpinan setiap peringkat, walaupun pandangan beliau agak keras dan tidak disukai, tetapi itulah Tun Dr Mahathir yang kita tahu mempunyai 'pandangan hati' yang selalunya betul dan bernas.

Keluarnya Tun Dr Mahathir daripada UMNO tidak mendatangkan keuntungan malah memberikan impak yang amat besar kepada UMNO dan kerajaan. Dengan kembalinya beliau, kita amat berharap beliau akan sentiasa memberikan pandangan dan nasihat berguna kepada kepimpinan Datuk Seri Najib nanti.

Banyak yang perlu dipelajari daripada Tun Dr Mahathir. Selain sumbangan besarnya kepada agama, bangsa dan negara, beliau seorang yang sangat memegang prinsip dan mengotakan apa yang dikata. Malah saya secara peribadi mengatakan beliau adalah seorang yang amat peka kepada sesiapa sahaja.

Kita berharap agar dalam era kepimpinan Datuk Seri Najib, Tun Dr Mahathir akan terus memberikan pandangan dan nasihat seperti yang sedang dilakukan sekarang. Inilah masa yang amat getir untuk Datuk Seri Najib mengemudi UMNO dan negara selepas peralihan kuasa.

Sebagai bekas Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir seharusnya diberikan tempat sejak dahulu lagi untuk menyampaikan pandangan bagi membantu UMNO dan Barisan Nasional.

Ramai anggota dan kepimpinan UMNO tidak dapat menilai dari mata hati akan kata-kata Tun Dr Mahathir yang dianggap seolah-olah mencampuri urusan kerajaan dan UMNO selepas persaraannya.

Jauh di sudut hati kita berasa amat kesal apabila terdapat usaha meminggirkan Tun Dr Mahathir selepas meninggalkan tampuk pemerintahan selama 22 tahun.

Beliau tidak lagi dilihat penting dan berharga oleh UMNO dan Barisan Nasional dalam banyak keadaan dan keputusan. Cadangan dan pandangannya tidak pernah diambil peduli oleh kepimpinan kerajaan hingga ada yang sanggup mencemuhnya.

Beliau terlalu dilukai selepas melepaskan jawatan. Bagi saya Tun Dr Mahathir bukan sebarang orang dan pandangannya selalunya lahir dari keikhlasan dan sayangkan bangsanya.

Sanjungan untuk Tun Dr Mahathir tidak pernah luntur dari kebanyakan rakyat Malaysia. Malah pembangkang sendiri telah mengakui kehebatan beliau dalam menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun.

Pengalaman yang lama sebagai seorang negarawan yang ikhlas jiwanya tidak seharusnya diketepikan. Malanglah bagi UMNO jika Parti Keramat ini meminggirkannya dalam pelbagai perkara. Dengan Keramat UMNO dan keikhlasan Tun Dr Mahathir pasti kita dapat memulihkan UMNO yang berjasa ini.

Pandangan Tun Dr Mahathir bukan sekadar ucapan biasa kerana setiap lontaran ucapannya mengandungi azimat yang beliau nampak daripada firasatnya sebagai bekas pemimpin ulung bangsa Melayu dan dalam masa yang sama mementingkan semua kaum di negara ini.

Fikirkan sejenak wahai ahli dan pemimpin UMNO. Tun Dr Mahathir bukan calang-calang orang kerana beliau ialah seorang pemikir, penulis, pengkaji, penelaah, tidak tamak kuasa, memiliki daya intuitif yang sangat tinggi, tidak mudah percaya dan menerima segala maklumat melainkan dengan membuat kajian, tidak mudah berjanji tetapi jika berjanji akan ditepati.

Tentunya cadangan Datuk Seri Najib untuk bertemu dan berbincang dengan Pak Lah dan Tun Dr Mahathir berhubung masa depan parti dan negara, merupakan penghargaan yang sangat wajar kerana pengalaman yang dimiliki kedua-dua tokoh tersebut.

Ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Justeru sebagai Presiden UMNO dan bakal Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib akan lebih dihormati jika mengambil kira pandangan kedua-dua tokoh ini dan mencontohi apa sahaja sikap terpuji yang dimiliki oleh kedua-duanya dalam mentadbir negara.

Majlis Tertinggi UMNO 2008-2011

Filed under: by: Pejuang orang melayu



Majlis Tertinggi UMNO 2008-2011



Pengerusi Tetap
Datuk Paduka Badruddin Amiruldin – 2272 undi

Timbalan Pengerusi Tetap
Datuk Mohamad Haji Aziz


Presiden
Datuk Seri Najib Razak (menang tanpa bertanding)

Timbalan Presiden
Tan Sri Muhyiddin Yassin - 1,575 undi

Naib Presiden
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi - 1,592 undi
Datuk Seri Hishammuddin Hussein - 1,515 undi
Datuk Seri Mohd Shafie Apdal - 1,445 undi

Majlis Tertinggi
Datuk Mustapa Mohamed (2,259 undi)
Datuk Noh Omar (2,084)
Datuk Seri Musa Aman (2,084)
Datuk Azian Osman (2,060)
Datuk Zainal Abidin Osman (2,054)
Datuk Mohd Zin Mohamed ( 1,854)
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (1,838)
Datuk Lajim Ukin (1,804)
Datuk Shaziman Abu Mansor (1,705)
Dr Mohd Puad Zarkashi (1,700)
Datuk Tajuddin Abdul Rahman (1,685)
Datuk Idris Haron (1,658)
Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (1,624)
Datuk Seri Jamaludin Mohd Jarjis (1,622)
Datuk Saifuddin Abdullah (1,619)
Datuk Dr Norraesah Mohamad (1,611)
Datuk Seri Mahadzir Khalid (1,580)
Datuk Ahmad Husni Mohd Hanadzlah (1,529)
Datuk Hamzah Zainuddin (1,518)
Datuk Bung Mokhtar Radin (1,517)
Datuk Dr Awang Adek Hussin (1,481)
Datuk Zulhasnan Rafique (1,431)
Datuk Ahmad Shabery Cheek (1,377)
Datuk Seri Idris Jusoh (1,275)
Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim (1,265)

Rakyat tunggu idea penyelesaian masalah Melayu

Filed under: by: Pejuang orang melayu


Rakyat tunggu idea penyelesaian masalah Melayu



Sekali lagi Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) akan menjadi tumpuan seluruh masyarakat Malaysia amnya dan orang Melayu khususnya.


Selain itu, Perhimpunan Agung UMNO menarik perhatian media seluruh dunia untuk menyaksikan satu-satunya organisasi politik yang terus kukuh, masih kekal berkuasa di dunia ini, yang terus relevan memperjuangkan aspirasi rakyat!


Berdasarkan senario politik semasa pasti banyak perkara akan diperkatakan dalam Perhimpunan Agung UMNO kali ini.


Justeru orang Melayu terutamanya pasti mengharapkan lebih banyak agenda untuk memajukan negara dan bangsa bakal dibangkitkan oleh perwakilan-perwakilan UMNO nanti.


Kepada seluruh perwakilan UMNO, seluruh dunia memandang ke arah anda dan anda membawa imej UMNO.

Masyarakat semakin bijak menilai sesebuah organisasi terutama organisasi politik yang begitu sensasi seperti UMNO.


Sehubungan itu, para perwakilan hendaklah bersedia dengan hujah-hujah mantap dan yang lebih penting lagi ialah muncul bersama idea-idea penyelesaian kepada permasalahan rakyat bukan sekadar menciplak idea-idea lama dan telah berkarat yang tiada penyelesaiannya.


Masyarakat ingin melihat pemimpin-pemimpin UMNO memperjuangkan hak rakyat seperti menangani isu kenaikan harga barangan keperluan yang terus melambung walaupun harga minyak telah turun, isu kemiskinan yang terus menyelubungi rakyat terutama orang Melayu yang semakin ramai menduduki tanah rezab sungai, tanah rezab kubur malahan ada yang tinggal di atas kubur, perencanaan untuk memajukan orang Melayu dan banyak lagi!


Itulah perkara yang ingin didengar oleh seluruh rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu, cetusan idea bernas pemimpin-pemimpin yang bakal menerajui negara.


Masyarakat kini tidak mahu lagi mendengar idea-idea hebat yang sekadar hanya retorik-retorik pembelaan rakyat seperti dalam persidangan-persidangan sebelumnya namun seperti biasa selepas persidangan 'habuk pun tarak'.

Pemilihan UMNO 2009

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Pemilihan UMNO 2009


Hakikatnya
, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih kepemimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam keadaan parti yang lemah dan penuh cabaran.
Apa yang beliau hadapi sama seperti yang dialami bapanya, Tun Abdul Razak kira-kira 40 tahun lalu. Ketika itu berlaku Peristiwa 13 Mei 1969. Tidak banyak bezanya antara apa yang berlaku waktu itu dengan sekarang.

Bagi menghadapi situasi yang cukup mencabar itu, Tun Razak mengambil 'singa politik' dari Johor, Tun Ismail sebagai timbalannya. Gandingan dua singa ini telah menjadikan kepemimpinan UMNO menjadi mantap. Tun Razak dan Tun Ismail telah menangani kegawatan politik dan sosial dengan jayanya.

Kini sesudah 40 tahun, sejarah itu berlalu, waris Tun Razak, Datuk Sri Najib yang bakal ditabalkan sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri keenam akan menerajui UMNO dan negara pada April 2009. Tidak mudah bagi Najib berseorangan menangani krisis politik dan ekonomi yang dihadapi oleh UMNO dan negara sekarang.

Justeru, selain beliau memerlukan regu kepemimpinan, beliau juga memerlukan satu team (pasukan) kepemimpinan yang kuat. Regu dan pasukan yang Najib perlukan tentunya daripada mereka yang berpengalaman dan berkebolehan dalam politik dan kerajaan. Tidak ada lagi selepas ini pemimpin tangkap muat dan hanya sekadar bergantung pada populariti semata-mata.

Najib dalam wawancara dengan akhbar arus perdana Ahad lalu sudah membayangkan ciri-ciri pemimpin yang beliau mahukan sama ada sebagai regu mahu pun anggota team kepemimpinannya. Ini kerana apa yang bakal beliau hadapi memerlukan satu kebijaksanaan tindakan terutama bagi memulihkan kekuatan UMNO dan mengatasi kegawatan ekonomi negara.

Najib sudah tentu mahu membawa lebih banyak singa dan harimau di atas gunung bagi mendepani cabaran yang ada. Pemimpin yang hanya mahu menjadi pak turut atau pengampu sudah tidak sesuai lagi sekarang. Kita perlukan pemimpin yang berani dan lantang sesuai dengan kehendak rakyat terbanyak.

Sebab itulah Najib mahukan mereka yang bakal dipilih dalam Perhimpunan Agung UMNO pada 24 hingga 28 Mac ini, mereka yang bukan saja diterima oleh UMNO tetapi juga rakyat. Inilah yang perlu difikirkan oleh lebih 2,500 perwakilan dalam pemilihan kali ini.

Pemilihan kali ini berbeza sama sekali dengan pemilihan sebelumnya. Ini kerana UMNO mendapat presiden baru dan berlaku pemilihan untuk timbalannya. Setiap mereka yang bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden, Naib Presiden, Ahli Majlis Tertinggi dan Ketua Pemuda, Wanita, Puteri serta exconya tentu sudah 'mengukur baju di badan sendiri'.

Satu keazaman yang perlu ada pada perwakilan, jika mereka mahu UMNO menjadi bersih dan kelihatan bersih, tolaklah mereka yang rasuah. Pilihlah mereka yang benar-benar berkebolehan dan berpengalaman.

Jangan tersalah pilih dengan memilih mereka yang berkepentingan dan hanya mengejar kedudukan. Ingatlah, kini UMNO sudah berada di penghujung jalan. Hanya tinggal empat tahun saja lagi untuk membuktikan UMNO masih relevan dan diterima rakyat.

Seluruh rakyat sedang memerhati siapa yang bakal menerajui UMNO. Tersalah pilih, mereka akan mengajar kita pada pilihan raya ke-13 nanti.

Sebab itu Najib menyebutkan tiga ciri pemimpin yang beliau kehendaki iaitu pertama pemimpin yang komited kepada perjuangan UMNO lebih daripada diri atau kelompok.

Kedua, bersikap terbuka melakukan perubahan, dan ketiga mesti pemimpin yang mencerminkan apa yang baik di sisi rakyat. Maksudnya, apa yang rakyat pandang baik yang harus ada pada pemimpin, maka pemimpin itu sebaik-baiknya dipilih.

Najib telah berlaku jujur kepada perwakilan UMNO, dengan mengatakan beliau mahukan satu pasukan yang berwibawa memandangkan UMNO dan kerajaan menghadapi keadaan yang begitu mencabar.

Jika ahli-ahli UMNO telah memberi kepercayaan kepada Najib untuk menerajui parti, maka adalah wajar mereka memberikan Najib sebuah pasukan yang dimahukannya dengan memilih pemimpin yang berintegriti dan berwibawa bagi masa depan UMNO dan negara.

Bersatulah Melayu Pas, UMNO, PKR

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Bersatulah Melayu Pas, UMNO, PKR


Baru-baru ini, ada berita sebuah akhbar tabloid bertajuk Melayu diperkuda oleh pihak pihak tertentu baru-baru ini. Ia berkisar kepada ucapan Tuanku Sultan Selangor yang kesal dengan sikap sesetengah orang Melayu yang rela membiarkan diri mereka diperkuda dan diperalat pihak tertentu sehingga sanggup mempersoalkan kedudukan orang Melayu sendiri dan juga institusi raja-raja Melayu.

Walaupun keesokan harinya Menteri Besar Selangor memperjelaskan bahawa teguran Tuanku Sultan itu tidak terbatas kepada rakyat di negeri baginda semata-mata, namun sebagai tunggak kepimpinan kerajaan negeri di bawah Tuanku, adalah lebih bertepatan jika Menteri Besar memulakan langkah perintis menterjemahkan apa yang Tuanku titahkan itu.

Baginda sebagai payung mahkota rakyat Selangor bernaung dan berteduh selama ini seharusnya sentiasa didaulatkan dengan lafaz sumpah taat setia yang tidak berbelah-bahagi oleh Menteri Besar, para Exco dan kesemua barisan pemimpin negeri.

Kita tidak mahu terus melihat orang Melayu yang berlainan ideologi politik di Selangor terus bercakaran pada saban waktu. Bak kata pepatah 'pengayuh sudah ada di tangan dan perahu sudah ada di air'.

Dalam pada itu, kemelut politik di salah sebuah negeri di Malaysia yang sehingga kini belum lagi terlerai kekusutannya akibat perbezaan tafsiran mengenai peruntukan undang-undang tubuh kerajaan negeri tersebut.

Pelantikan seorang Menteri Besar baru telah menambahkan lagi kebuntuan sehingga timbul isu saman-menyaman di mahkamah. Maka wujudlah dua kem yang diketuai oleh kepimpinan Melayu yang tidak sehaluan yang masing- masing mendakwa sebagai ketua kerajaan negeri yang sah.

Sekali lagi pihak istana turut dikaitkan dengan pergeseran politik kepartian ini dan yang menyedihkan orang Melayu kian terpisah dek perbezaan pendapat, cita rasa dan kehendak politik mereka.

Sebagai kepimpinan Melayu tulen yang tidak lupa asal-usul dan akar umbinya, kita sebagai teraju kepimpinan sama ada di pihak pemerintah mahupun pembangkang haruslah menasihatkan kepimpinan bukan Melayu dalam barisan kepimpinan kita agar tidak memperlekehkan maruah dan kedudukan orang Melayu dan Islam serta kedudukan raja-raja Melayu.

Dengan membuka ruang yang ada, kita sebenarnya telah meletakkan satu krisis keyakinan terhadap institusi Melayu, Islam dan raja-raja yang lambat-laun akan menghakis dan melenyapkan kehebatan umat Melayu Islam selama ini.

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata dan tindakan buruk natijahnya terhadap masa depan orang Melayu dan Islam di tanah tumpah darah sendiri.

Jika kita sebagai orang Melayu tidak mahu menghormati dan menegakkan institusi raja-raja Melayu dan memperjuangkan hak Melayu dan Islam maka janganlah pula kita mengharapkan kaum lain untuk memperjuangkan sepenuhnya hak kita itu kerana mereka juga harus memperjuangkan hak kaum mereka dalam pelbagai bidang.

Akhirnya, harapan kita adalah orang Melayu dalam UMNO, Pas dan PKR akan mencari titik persamaan dan persetujuan dalam masa terdekat bagi menyatupadukan kembali umat Melayu Islam agar kebimbangan Tuanku Sultan Selangor dan raja-raja Melayu seluruhnya tidak akan terus berpanjangan.

Rasuah dari kaca mata agama

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Rasuah dari kaca mata agama


Ketika mana rasuah itu berlaku? Jenayah rasuah itu benar-benar berlaku apabila ada orang yang memberi wang atau habuan lain dan ada pula orang yang mahu menerimanya dengan tujuan tertentu untuk kepentingan orang yang memberinya. Umpamanya si A memberi sejumlah wang kepada si B dengan tujuan si B mengundi si A. Apabila tiba masa mengundi, si B benar-benar mengundi si A. Mengikut hukum adat yang memberi itu bersalah dan dijatuhkan hukuman.

Proses menjatuhkan hukum di dunia ini melalui perbicaraan di mahkamah atau di kamar yang diberi kuasa untuk membicarakannya. Dalam perbicaraan itu mesti ada bukti dan saksi. Saksi dan bukti itulah menjadi asas hakim membuat keputusan mengikut undang-undang yang ada dalam negeri itu atau undang-undang dan peraturan yang ada dalam parti itu. Kadang-kadang orang yang bersalah itu boleh terlepas daripada hukuman kerana bukti tidak cukup atau kerana sebab teknikal.

Rasuah tidak berlaku, jika wang suapan itu tidak sampai kepada tujuan orang yang memberi. Umpamanya si A memberi wang suapan kepada si B tetapi si B tidak juga mengundi si A. Si B beranggapan wang yang diberi itu sebagai derma atau sedekah jariah sahaja kepadanya. Wang yang diberi itu diambil tetapi apabila sampai pada hari mengundi, si B akan mengundi sesiapa sahaja yang layak menduduki tempat yang terpilih itu.

Dalam minggu ini, ramai orang yang hendak mengetahui siapakah pemimpin UMNO yang terlibat dengan politik wang. Yang hendak mengetahui itu bukan sahaja ahli UMNO tetapi juga orang yang berada di luar UMNO sama ada pembangkang atau orang atas pagar. Perkara ini berlaku kerana BN yang bertunggakkan UMNO masih kuat dan sukar ditumbangkan.

Bolehkah UMNO yang bertunggakkan BN itu boleh ditumbangkan kerana gejala politik wang? Inilah perkara yang sangat dibimbangkan oleh bangsa Melayu hari ini. Jika ini berlaku, orang Melayu harus menerima hakikat bahawa Melayu akan hilang kuasanya di dunia ini kerana dipengaruhi oleh politik wang.

Jika UMNO mahu terus berkongsi kuasa dengan komponen parti dalam BN, maka gejala rasuah itu hendaklah dihalang dan disekat oleh mereka yang mewakili Bahagian UMNO dalam perhimpunan agung UMNO akhir bulan ini. Jika ada apa-apa usaha untuk menggagalkan lembaga disiplin UMNO menjalankan tugasnya, maka usaha itu hendaklah dicegah melalui nasihat yang baik dan berhikmah.

Apalah yang untung dengan satu ribu, jika selepas ini anda tidak lagi dipilih sebagai perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO? Perkara ini boleh berlaku kerana anda menjadi pengkhianat kepada bangsa dan negara. Perbuatan khianat itu boleh menghilangkan Melayu di dunia ini.

Perkara ini termasuk dalam Rukun Iman. Percaya kepada hari akhirat dan percaya kepada syurga dan neraka adalah sebahagian daripada Rukun Iman. Mengapa kita mahu menggadaikan segala amalan kita dalam solat lima waktu dan solat Jumaat tetapi akhirnya dicampak ke dalam neraka kerana menerima suapan rasuah politik?


Datuk Abd. Manaf Ahmad
Ketua Penerangan
Mubarak Malaysia.

Perpaduan penting untuk kelangsungan Melayu, Islam

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Perpaduan penting untuk kelangsungan Melayu, Islam


Umat Islam perlu melihat kembali kemelut politik, sosial dan ekonomi sekarang dengan bermuhasabah diri sempena sambutan Maulidur Rasul yang disambut di seluruh negara. Dengan tema sambutan 'Wahdah Pemangkin Khaira Ummah', umat Islam perlu kembali menghayati kesatuan dan perpaduan yang kini semakin menipis di kalangan mereka akibat pelbagai pertelagahan kerana perbezaan fahaman politik dan percanggahan pendapat.

Kemelut ini semakin jelas melebar kebelakangan ini sehingga menimbulkan kebimbangan semua pihak termasuk Raja-Raja Melayu. Sekiranya ia terus dibiarkan, umat Islam di negara ini bukan saja gagal mewujudkan perpaduan seperti dituntut agama malah bakal melemahkan lagi kedudukan mereka di negara ini.

Sudah tiba waktunya kita kembali menghayati sejarah kehidupan dan perjuangan Nabi Muhammad SAW yang berusaha keras untuk membentuk masyarakat melalui akidah Islamiah sehingga mampu mewujudkan kesatuan yang dikagumi.

Rasulullah SAW berdepan dengan cabaran getir, terutama ketika awal penyebaran Islam di Makkah sehingga Baginda terpaksa berhijrah ke Madinah dan berjaya membentuk kesatuan ummah yang akhirnya mencatat sejarah penting dalam perkembangan Islam di seluruh dunia. Kemelut yang dihadapi umat Islam kini perlu dirujuk kembali kepada sejarah perjuangan Rasulullah SAW sekiranya mereka ingin kembali menjadi masyarakat dan bangsa yang dihormati.

Seperti titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin , Rasulullah SAW amat mementingkan kesatuan dan perpaduan sehingga membolehkan Islam menjadi agama yang berpengaruh sehingga kini. Malangnya, sebahagian umat dijangkiti sikap tamak dan mementingkan diri serta tidak lagi mempedulikan nilai mulia dalam mengejar kepentingan duniawi, maka tercetus pelbagai bentuk malapetaka dan kemusnahan yang menimpa manusia lantaran kemurkaan Allah.

Jelas sekali masyarakat Islam kini bukan saja berdepan dengan perbezaan aliran politik dan pendapat, malah budaya buruk fitnah-memfitnah dan benci-membenci mulai menghancurkan ummah. Sehubungan itu, pemimpin Islam dari semua peringkat perlu duduk semeja untuk berbincang bagi menangani masalah dihadapi kini. Keadaan yang berlaku cukup gawat dan membimbangkan semua pihak, terutama mereka yang cintakan perpaduan.

Kita tidak boleh membiarkan masalah umat Islam ini berterusan sehingga menjejaskan keselamatan dan kemakmuran negara. Selepas 1,430 tahun Nabi Muhammad SAW membina kesatuan ummah yang teguh, kita perlu bermuhasabah diri bukan saja untuk mencari jawapan kenapa kita berpecah belah tetapi kembali bersatu. Ini penting bagi meneruskan kelangsungan Melayu dan Islam di negara tercinta ini.

Bagaimana hadapi zaman pancaroba?

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Bagaimana hadapi zaman pancaroba?


Bulan ini Mac 2009 adalah ulang tahun kepada pilihan raya umum ke-12. Tarikh itulah apa yang boleh disebut sebagai bermulanya zaman pancaroba bagi negara ini.

Sejak 8 Mac tahun lalu, negara dilihat sedang melalui zaman peralihan. Ia berada pada era pancaroba yang belum dipastikan bagaimana kesudahannya. Lihatlah betapa banyaknya orang yang marah-marah. ketamakan ketara juga dapat diperhatikan. Itu semua kerana nafsu keinginan untuk kuasa, wang dan kedudukan. Sifat-sifat ini dapat dilihat bukan saja dalam pertembungan antara parti yang berkuasa dengan pembangkang tetapi juga rebutan dalam parti yang memegang kuasa.

Maka rakyat pun menjadi bingung. Bagi mereka yang terpinggir dan kalah, tentunya timbul rasa iri hati. Sememangnya rakyat akan tertanya-tanya bilakah zaman pancaroba ini akan berakhir?

Ada pihak yang mengharapkan bahawa setelah berlaku peralihan kuasa dengan UMNO memiliki presiden baru dan Malaysia mempunyai seorang perdana menteri baru, keadaan akan menjadi tenteram dan stabil. Jika itu berlaku, maka berakhirlah zaman pancaroba ini. Musim pancaroba tidak akan kekal selama-lamanya. Ribut taufan akan berakhir dan laut kembali tenang. Kapal akan dapat membongkar sauh untuk belayar.

Tetapi itu adalah harapan rakyat jika apa yang dikehendaki adalah seorang pemimpin baru. Bagaimanapun, kalau apa yang dikehendaki adalah lebih daripada itu dan tidak mampu untuk dipenuhi oleh mana-mana pemimpin, maka era pancaroba ini akan berterusan.

Apakah yang boleh rakyat negara ini lakukan untuk menghadapi pancaroba ini? Cuba bayangkan kalau sebahagian besar boleh bersabar dan kurangkan rasa marah. Juga kendurkan nafsu keinginan dan kurangkan tamak haloba, tetapkan fikiran supaya jangan bingung dan ketepikan iri hati, mungkin kesan buruk daripada pancaroba ini dapat dikurangkan.

Tetapi adalah sukar untuk melakukan perubahan terhadap apa yang ada dalam diri seseorang. Apabila melakukan perubahan, adalah mudah untuk melaksanakannya terhadap perkara-perkara berbentuk luaran, umpamanya mengubah sistem, undang-undang dan infrastruktur. Tetapi untuk mengubah sesuatu yang ada dalam jiwa seseorang, tentunya amat sukar, kalau tidak pun mustahil.

Sempena ulang tahun tsunami politik pertama ini mungkin ada rakyat negara ini patut duduk di rumah saja, menyepi. Kena pula hari ini hari Ahad. Tidak usah berkumpul atau berbicara politik. Sebaliknya duduk saja di rumah dengan keluarga dan melihat ke dalam diri. Berfikir atau membaca buku sastera.

Kalau disedari bahawa korupsi merupakan punca kepada tercetusnya zaman pancaroba ini, maka wajar juga pembersihan bermula dari dalam diri masing-masing. Jujurkan diri sendiri dengan sifat berintegriti. Apakah dia integriti? Cakap serupa bikin.

Kalau tidak berupaya untuk melakukan sesuatu, maka mungkin sewajarnya berdiam diri saja. Kurangkan bercakap dan lebihkan berfikir. Dan lakukanlah sesuatu yang hanya boleh mendatangkan kesan baik.

Penjelasan Prof. Madya Mohammad Agus Yussoff

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Penjelasan Prof. Madya Mohammad Agus Yussoff


Pertama sekali, perlu saya nyatakan bahawa saya tidak ingat kepada wartawan dari akhbar atau stesen TV manakah yang saya katakan bahawa sah sidang DUN diadakan di atas pokok. Ini kerana pada hari itu, terlalu ramai wartawan yang menghubungi saya untuk bertanyakan pelbagai persoalan berkaitan dengan perkembangan politik semasa.

Kedua, saya mengaku saya berkata bahawa sah diadakan sidang DUN, bukan sahaja di bawah pokok, tetapi juga di atas pokok. Kepada wartawan yang sama juga saya jelaskan beberapa perkara berkaitan dengan rasa isi saya tentang politik supaya dituliskan, jika boleh, kerana saya sedih melihatkan krisis politik yang berlaku. Namun, apa yang saya katakan kepada wartawan berkenaan tidak dimasukkan secara sepenuhnya, melainkan disensasikan dengan satu kenyataan -- SIDANG DI ATAS POKOK PUN SAH.

Saya memang menyatakan sidang sah diadakan di mana-mana, tapi dengan tiga syarat utama seperti berikut: (i) sidang itu mengikuti Peraturan Tetap Dewan; (ii) sidang tersebut mengikuti undang-undang Tubuh Negeri, dan (iii) sidang berkenaan ditetapkan oleh Speaker. Malangnya, ketiga-tiga syarat yang saya nyatakan ini tidak dilaporkan oleh pihak akhbar.

Saya juga ditanya oleh pihak akhbar, adakah perkenan Sultan diperlukan? Saya jawab, perkenan Sultan adalah wajib sekiranya sidang lepas adalah prorogue (dihentikan), tetapi, tidak perlu sekiranya sidang lepas 'was adjourned' (ditangguhkan). Hal ini dilaporkan oleh media berkenaan.
Selepas itu saya ditanya, sah atau tidaknya persidangan tersebut? Saya jawab persoalan ini sukar untuk dijawab dalam bentuk afirmatif kerana ia sudah menjadi satu krisis politik dan bukan lagi undang-undang. Jadi, payah untuk diselesaikan secara undang-undang, melainkan melalui penyelesaian politik. Alasan saya ialah, sekiranya melalui tindakan undang-undang, kedua-dua pihak yang bertelagah sukar untuk menerima keputusan mahkamah. Maksudnya, jika mahkamah memutuskan PR yang menang, maka BN sudah tentu tidak puas hati dengan keputusan tersebut. Sekiranya mahkamah memutuskan BN menang, PR pula sudah tentu tidak puas hati dengan keputusan tersebut. Maka konflik ini berterusan. Dan ini tidak baik untuk mahkamah, untuk rakyat dan untuk kestabilan politik negara.

Atas alasan itu, saya pun menyatakan rayuan saya supaya kedua-dua pihak yang bertikai dalam krisis ini mengambil dua pendekatan utama (kenyataan saya ini langsung tidak dilaporkan). Pertama, berunding dan bersedia untuk berkompromi dengan apa cara sekalipun untuk membentuk kerajaan gabungan dengan melupakan segala sejarah pahit antara hubungan mereka. Kedua, menyatakan bahawa pemimpin politik perlu berjiwa besar, berunding bersama-sama dan kedua-duanya sekali -- YAB Dr Zambry dan YAB Ir Nizar mengadap Tuanku Sultan memohon perkenan baginda untuk memperkenankan pembubaran Dewan.

Dalam percakapan telefon dengan pihak akhbar tersebut juga, saya tegaskan apapun keputusan DUN dan perundingan antara BN dan PR, DUN tidak akan terbubar kecuali dengan perkenan Tuanku Sultan atau telah tamat tempohnya selama lima tahun.

Begitulah antara lain, inti percakapan telefon saya dengan wartawan tentang krisis di Perak ini. Apapun, kesannya tentu tidak baik kepada saya. Tidak baik kerana ia tidak menggambarkan hasrat sebenar saya untuk memberi pendidikan politik kepada rakyat. Tidak baik kerana ia tidak melaporkan pandangan sebenar saya supaya pemimpin politik kita -- sama ada dari BN atau PR -- berunding bagi membincangkan pendekatan terbaik bagi menyelesaikan krisis ini.

Jadi, apa yang perlu saya buat? Saya memilih untuk tidak berkata apa-apa, melainkan tadi pagi saya bercakap dengan wartawan NST untuk menagdu hal tentang statement saya yang dikeluarkan secara tidak lengkap. Saya juga memberitahu kepada dua kenalan rapat saya (orang politik) mengadu hal tentang isu ini yang sudah terlalu banyak dikupas oleh pemerhati, ahli akademik, peguam dan orang politik sehingga ia sudah menjadi semakin kompleks.

Sebenarnya, saya berbuat demikian kerana saya bimbang sekiranya krisis ini berlanjutan, ahli politik akan lupa untuk memberikan keutamaan kepada krisis ekonomi yang kita hadapi. Saya bimbang sekiranya kita terus berpolitik mempertahankan pandangan parti masing-masing, rakyat akan terabai dan kesejahteraan negara terjejas. Saya cukup bimbang tentang hal ini sekiranya ia boleh menjejaskan kestabilan yang kita nikmati.

Menariknya, apabila pandangan 'atas pokok saya' disiarkan, sesetengah blog -- ada yang memuji dan ada mengeji saya -- memetik dan menyiarkan kenyataan saya ini. Dengan itu, saya dapati bahawa hasrat asal saya untuk memberikan pandangan 'to educate' orang kita tentang politik supaya 'berbaik dan bertenang' sudah menjadi sebaliknya.

Saya juga tidak berhasrat untuk menjadi orang politik, dan seboleh mungkin sehingga ke tahap ini, saya hanya mahu menjadi pengulas politik yang memberikan pandangan politik berdasarkan ilmu yang saya punyai.

Satu perkara yang perlu kita ingati ialah pesanan Voltaire, ahli falsafah Perancis yang terkenal. Kata beliau, kesilapan kita ialah kerana "kita tidak belajar dari sejarah (baca: pengalaman)."

Sekian, terima kasih.


Prof. Madya Mohammad Agus Yussoff
Pensyarah Sains Politik
Universiti Kebangsaan Malaysia

Persidangan DUN di bawah pokok jadi bahan jenaka

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Persidangan DUN di bawah pokok jadi bahan jenaka


Sejarah baru tercatat di Perak semalam apabila sidang tergempar Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipanggil oleh Speaker DUN, V Sivakumar, diadakan di bawah pokok, 100 meter dari Bangunan Perak Darul Ridzuan yang menempatkan Dewan Undangan Negeri Perak, di Ipoh.

Ketika pelbagai pihak masih berbalah mengenai kesahihan sidang berkenaan, Mahkamah Tinggi Ipoh petang semalam mengeluarkan perintah melarang Sivakumar daripada mengadakan sebarang sidang DUN yang tidak mengikut undang-undang.

Apapun, sidang di bawah pokok itu kini sudah menjadi bahan jenaka sehingga ada yang menyamakannya dengan kerajaan 'Pasir Berdengung' dalam filem Laksamana Do Re Mi lakonan Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Kita tidak pasti apa motif sebenar kumpulan terbabit terus berbuat demikian setelah pihak berkuasa tidak membenarkan mereka memasuki kawasan Bangunan Perak Darul Ridzuan, melainkan bermotif politik bagi meraih simpati orang ramai.

Walaupun dalam Perlembagaan tidak menyebut yang sidang Dewan perlu diadakan di dalam bangunan Dewan atau di tempat khusus, tindakan mengadakannya di bawah pokok adalah luar biasa, aneh dan sesuatu yang memalukan. Malah, ia mungkin ditertawakan oleh generasi akan datang apabila mereka membaca sejarah perundangan negeri Perak. Persidangan DUN bukan perkara yang boleh dipermainkan untuk gimik politik, apatah lagi mengadakannya di bawah pokok yang menggambarkan satu penghinaan terhadap DUN itu sendiri.

Tidak hairanlah apabila pelbagai pihak menganggap tindakan Speaker DUN berbuat demikian sebagai sesuatu yang memalukan institusi tertinggi pada peringkat negeri itu.

Kita juga berpendapat tindakan Pengurusan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak menutup Bangunan Perak Darul Ridzuan bagi menghalang sidang tergempar DUN Perak yang dipanggil Sivakumar itu sebagai wajar.

Tidak mungkin sidang tergempar DUN boleh dilangsungkan tanpa perkenan Sultan Perak. Dengan itu juga, sidang yang dihadiri 27 Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat dan meluluskan usul menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar, walaupun tampuk pemerintahan negeri itu sudah diambil alih Barisan Nasional (BN), dianggap tidak sah meskipun ada pihak mendakwa sebaliknya.

Selain undi percaya dan menyokong Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar yang sah, sidang tergempar itu juga meluluskan usul untuk mengesyorkan kepada Sultan Perak supaya membubarkan DUN dan melulus serta mengesahkan keputusan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN menggantung Menteri Besar, Datuk Dr Zambry Abd Kadir dan enam Exconya daripada menghadiri sidang DUN selama 18 dan 12 bulan.

Bagaimanapun, pakar undang-undang perlembagaan berpendapat walaupun sudah mendapat kelulusan Dewan untuk membubarkan DUN, ia masih perlu mendapatkan perkenan Sultan Perak seperti yang diperuntukkan mengikut Perkara 18(2)(b) Undang-Undang Tubuh Negeri Perak. Begitu juga dengan usul mengekalkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar, perlu mendapat perkenan Sultan.

Kita berharap sesuatu dapat dilakukan segera untuk menyelesaikan kemelut politik yang berlarutan ini.

Apa sebenarnya mereka mahu?

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Apa sebenarnya mereka mahu?


Dikalangan kia, ramai yang terlalu geram dan kecewa dengan sesetengah pihak terutamanya ahli politik yang semakin biadab dan tidak menghormati hak yang telah diberikan kepada bumiputera dan orang Melayu khususnya.

Golongan ini telah lupa dan tidak sedar sejarah negara ini. Jika kita kaji sejarah yang tidak sampai pun 100 tahun ini, sememangnya orang bukan Melayu seperti yang berasal dari tanah besar Cina dan juga India yang berhijrah ke negara inilah yang paling beruntung sekali kerana diberikan peluang untuk tinggal dan menetap di negara serta mendapat kerakyatan sama seperti kaum bumiputera.

Mereka harus sedar, kaum Cina dan India di Malaysia diterima dengan hati terbuka oleh penduduk pribumi negara ini khususnya orang Melayu.

Fikirkanlah semula dan bersyukurlah bahawa kaum bukan bumiputera di negara ini telah diberikan layanan yang sebaiknya oleh kerajaan.

Jadi, mengapa harus dipertikaikan hak keistimewaan bumiputera yang hanya sekelumit ini bagi menjaga kepentingan bangsa Melayu khususnya yang masih jauh ketinggalan di belakang berbanding kaum-kaum lain.

Dari segi ekonomi, cuba kita lihat siapakah yang menguasai pasaran sebenarnya?

Dengan kuota yang hanya beberapa peratus yang diberikan golongan bumiputera di dalam ekonomi ini pun ingin 'dicantas' oleh sesetengah pihak yang tidak pernah bersyukur dengan apa yang dinikmati mereka selama ini.

Saya amat tertarik dengan ceramah yang pernah disampaikan oleh ustaz mualaf di jabatan saya baru-baru ini, apabila beliau sendiri menyatakan rasa kecewa dengan sikap bangsanya itu yang tidak pernah bersyukur dengan apa yang dinikmati di negara ini selama ini.

Beliau menyatakan bahawa kaum bukan bumiputera harus sedar tentang kontrak sosial yang telah termaktub di dalam Perlembagaan negara dan mereka juga harus merenung sejarah dan mengakui bahawa orang Melayu ini harus diberi keistimewaan.

Baru-baru ini, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Dr. Boo Cheng Hau juga telah bersikap biadap dengan mendakwa 'bumiputeraisme' sama dengan dasar aparteid.

Ini sama sekali telah mengguris perasaan orang Melayu khususnya kerana hak-hak mereka telah dicabar oleh orang bukan Melayu. Saya juga hairan adakah hak-hak yang diberikan kepada bumiputera ini mengganggu periuk nasi dan kehidupan orang bukan bumiputera?

Bukan bumiputera telah diberikan hak yang lebih daripada sepatutnya. Walaupun banyak pertikaian yang ditimbulkan oleh golongan ini tentang hak bumiputera, orang Melayu masih bersabar dan tenang menghadapi cabaran.

Kita setuju dengan pendapat bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mahu kaum Melayu lebih agresif mencabar tindakan golongan-golongan yang cuba menyentuh isu hak bumiputera ini.

Tun Dr. Mahathir juga berpendapat sikap berdiam diri inilah yang membuatkan golongan-golongan ini semakin berani mencabar hak bumiputera di negara ini.

Kita berharap pendapat saya sebagai anak Melayu dan sebagai seorang Islam ini dapat diambil secara positif terutamanya golongan pemimpin yang akan memacu negara ini ke arah lebih maju dan majmuk.