Bersatulah Melayu Pas, UMNO, PKR

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Bersatulah Melayu Pas, UMNO, PKR


Baru-baru ini, ada berita sebuah akhbar tabloid bertajuk Melayu diperkuda oleh pihak pihak tertentu baru-baru ini. Ia berkisar kepada ucapan Tuanku Sultan Selangor yang kesal dengan sikap sesetengah orang Melayu yang rela membiarkan diri mereka diperkuda dan diperalat pihak tertentu sehingga sanggup mempersoalkan kedudukan orang Melayu sendiri dan juga institusi raja-raja Melayu.

Walaupun keesokan harinya Menteri Besar Selangor memperjelaskan bahawa teguran Tuanku Sultan itu tidak terbatas kepada rakyat di negeri baginda semata-mata, namun sebagai tunggak kepimpinan kerajaan negeri di bawah Tuanku, adalah lebih bertepatan jika Menteri Besar memulakan langkah perintis menterjemahkan apa yang Tuanku titahkan itu.

Baginda sebagai payung mahkota rakyat Selangor bernaung dan berteduh selama ini seharusnya sentiasa didaulatkan dengan lafaz sumpah taat setia yang tidak berbelah-bahagi oleh Menteri Besar, para Exco dan kesemua barisan pemimpin negeri.

Kita tidak mahu terus melihat orang Melayu yang berlainan ideologi politik di Selangor terus bercakaran pada saban waktu. Bak kata pepatah 'pengayuh sudah ada di tangan dan perahu sudah ada di air'.

Dalam pada itu, kemelut politik di salah sebuah negeri di Malaysia yang sehingga kini belum lagi terlerai kekusutannya akibat perbezaan tafsiran mengenai peruntukan undang-undang tubuh kerajaan negeri tersebut.

Pelantikan seorang Menteri Besar baru telah menambahkan lagi kebuntuan sehingga timbul isu saman-menyaman di mahkamah. Maka wujudlah dua kem yang diketuai oleh kepimpinan Melayu yang tidak sehaluan yang masing- masing mendakwa sebagai ketua kerajaan negeri yang sah.

Sekali lagi pihak istana turut dikaitkan dengan pergeseran politik kepartian ini dan yang menyedihkan orang Melayu kian terpisah dek perbezaan pendapat, cita rasa dan kehendak politik mereka.

Sebagai kepimpinan Melayu tulen yang tidak lupa asal-usul dan akar umbinya, kita sebagai teraju kepimpinan sama ada di pihak pemerintah mahupun pembangkang haruslah menasihatkan kepimpinan bukan Melayu dalam barisan kepimpinan kita agar tidak memperlekehkan maruah dan kedudukan orang Melayu dan Islam serta kedudukan raja-raja Melayu.

Dengan membuka ruang yang ada, kita sebenarnya telah meletakkan satu krisis keyakinan terhadap institusi Melayu, Islam dan raja-raja yang lambat-laun akan menghakis dan melenyapkan kehebatan umat Melayu Islam selama ini.

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata dan tindakan buruk natijahnya terhadap masa depan orang Melayu dan Islam di tanah tumpah darah sendiri.

Jika kita sebagai orang Melayu tidak mahu menghormati dan menegakkan institusi raja-raja Melayu dan memperjuangkan hak Melayu dan Islam maka janganlah pula kita mengharapkan kaum lain untuk memperjuangkan sepenuhnya hak kita itu kerana mereka juga harus memperjuangkan hak kaum mereka dalam pelbagai bidang.

Akhirnya, harapan kita adalah orang Melayu dalam UMNO, Pas dan PKR akan mencari titik persamaan dan persetujuan dalam masa terdekat bagi menyatupadukan kembali umat Melayu Islam agar kebimbangan Tuanku Sultan Selangor dan raja-raja Melayu seluruhnya tidak akan terus berpanjangan.

0 comments: