Bagaimana hadapi zaman pancaroba?

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Bagaimana hadapi zaman pancaroba?


Bulan ini Mac 2009 adalah ulang tahun kepada pilihan raya umum ke-12. Tarikh itulah apa yang boleh disebut sebagai bermulanya zaman pancaroba bagi negara ini.

Sejak 8 Mac tahun lalu, negara dilihat sedang melalui zaman peralihan. Ia berada pada era pancaroba yang belum dipastikan bagaimana kesudahannya. Lihatlah betapa banyaknya orang yang marah-marah. ketamakan ketara juga dapat diperhatikan. Itu semua kerana nafsu keinginan untuk kuasa, wang dan kedudukan. Sifat-sifat ini dapat dilihat bukan saja dalam pertembungan antara parti yang berkuasa dengan pembangkang tetapi juga rebutan dalam parti yang memegang kuasa.

Maka rakyat pun menjadi bingung. Bagi mereka yang terpinggir dan kalah, tentunya timbul rasa iri hati. Sememangnya rakyat akan tertanya-tanya bilakah zaman pancaroba ini akan berakhir?

Ada pihak yang mengharapkan bahawa setelah berlaku peralihan kuasa dengan UMNO memiliki presiden baru dan Malaysia mempunyai seorang perdana menteri baru, keadaan akan menjadi tenteram dan stabil. Jika itu berlaku, maka berakhirlah zaman pancaroba ini. Musim pancaroba tidak akan kekal selama-lamanya. Ribut taufan akan berakhir dan laut kembali tenang. Kapal akan dapat membongkar sauh untuk belayar.

Tetapi itu adalah harapan rakyat jika apa yang dikehendaki adalah seorang pemimpin baru. Bagaimanapun, kalau apa yang dikehendaki adalah lebih daripada itu dan tidak mampu untuk dipenuhi oleh mana-mana pemimpin, maka era pancaroba ini akan berterusan.

Apakah yang boleh rakyat negara ini lakukan untuk menghadapi pancaroba ini? Cuba bayangkan kalau sebahagian besar boleh bersabar dan kurangkan rasa marah. Juga kendurkan nafsu keinginan dan kurangkan tamak haloba, tetapkan fikiran supaya jangan bingung dan ketepikan iri hati, mungkin kesan buruk daripada pancaroba ini dapat dikurangkan.

Tetapi adalah sukar untuk melakukan perubahan terhadap apa yang ada dalam diri seseorang. Apabila melakukan perubahan, adalah mudah untuk melaksanakannya terhadap perkara-perkara berbentuk luaran, umpamanya mengubah sistem, undang-undang dan infrastruktur. Tetapi untuk mengubah sesuatu yang ada dalam jiwa seseorang, tentunya amat sukar, kalau tidak pun mustahil.

Sempena ulang tahun tsunami politik pertama ini mungkin ada rakyat negara ini patut duduk di rumah saja, menyepi. Kena pula hari ini hari Ahad. Tidak usah berkumpul atau berbicara politik. Sebaliknya duduk saja di rumah dengan keluarga dan melihat ke dalam diri. Berfikir atau membaca buku sastera.

Kalau disedari bahawa korupsi merupakan punca kepada tercetusnya zaman pancaroba ini, maka wajar juga pembersihan bermula dari dalam diri masing-masing. Jujurkan diri sendiri dengan sifat berintegriti. Apakah dia integriti? Cakap serupa bikin.

Kalau tidak berupaya untuk melakukan sesuatu, maka mungkin sewajarnya berdiam diri saja. Kurangkan bercakap dan lebihkan berfikir. Dan lakukanlah sesuatu yang hanya boleh mendatangkan kesan baik.

0 comments: