Beri peranan Tun Mahathir, Pak Lah

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Beri peranan Tun Mahathir, Pak Lah


Perhimpunan Agung UMNO yang paling mencabar dalam sejarah negara tamat kelmarin. Peralihan kuasa kepada Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak sebagai Presiden UMNO merupakan tradisi yang amat bermakna dan menyumbang kepada perpaduan di kalangan ahli-ahli UMNO.

Malah saat yang dinantikan oleh pejuang dan ahli UMNO untuk melihat Tun Dr Mahathir kembali ke pangkuan UMNO semakin menjadi realiti. Kehadiran beliau semasa ucapan penggulungan menyemarakan semangat ahli UMNO yang berada di Dewan Merdeka PWTC. Malah ada yang menitiskan air mata melihat negarawan tersohor itu disambut dan diraikan oleh barisan kepimpinan UMNO.

Secara peribadi saya mengharapkan kepulangan Tun Dr Mahathir menyertai UMNO sebagai satu hikmah besar yang harus disyukuri oleh pendokong parti keramat ini.

Malah segala pandangan Tun Dr Mahathir muktahir ini amat perlu diberikan perhatian serius oleh semua ahli UMNO khususnya para perwakilan, pemimpin UMNO dan yang paling utama Presiden UMNO yang baru, Datuk Seri Mohd Najib.

Malah dalam menentukan kepimpinan setiap peringkat, walaupun pandangan beliau agak keras dan tidak disukai, tetapi itulah Tun Dr Mahathir yang kita tahu mempunyai 'pandangan hati' yang selalunya betul dan bernas.

Keluarnya Tun Dr Mahathir daripada UMNO tidak mendatangkan keuntungan malah memberikan impak yang amat besar kepada UMNO dan kerajaan. Dengan kembalinya beliau, kita amat berharap beliau akan sentiasa memberikan pandangan dan nasihat berguna kepada kepimpinan Datuk Seri Najib nanti.

Banyak yang perlu dipelajari daripada Tun Dr Mahathir. Selain sumbangan besarnya kepada agama, bangsa dan negara, beliau seorang yang sangat memegang prinsip dan mengotakan apa yang dikata. Malah saya secara peribadi mengatakan beliau adalah seorang yang amat peka kepada sesiapa sahaja.

Kita berharap agar dalam era kepimpinan Datuk Seri Najib, Tun Dr Mahathir akan terus memberikan pandangan dan nasihat seperti yang sedang dilakukan sekarang. Inilah masa yang amat getir untuk Datuk Seri Najib mengemudi UMNO dan negara selepas peralihan kuasa.

Sebagai bekas Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir seharusnya diberikan tempat sejak dahulu lagi untuk menyampaikan pandangan bagi membantu UMNO dan Barisan Nasional.

Ramai anggota dan kepimpinan UMNO tidak dapat menilai dari mata hati akan kata-kata Tun Dr Mahathir yang dianggap seolah-olah mencampuri urusan kerajaan dan UMNO selepas persaraannya.

Jauh di sudut hati kita berasa amat kesal apabila terdapat usaha meminggirkan Tun Dr Mahathir selepas meninggalkan tampuk pemerintahan selama 22 tahun.

Beliau tidak lagi dilihat penting dan berharga oleh UMNO dan Barisan Nasional dalam banyak keadaan dan keputusan. Cadangan dan pandangannya tidak pernah diambil peduli oleh kepimpinan kerajaan hingga ada yang sanggup mencemuhnya.

Beliau terlalu dilukai selepas melepaskan jawatan. Bagi saya Tun Dr Mahathir bukan sebarang orang dan pandangannya selalunya lahir dari keikhlasan dan sayangkan bangsanya.

Sanjungan untuk Tun Dr Mahathir tidak pernah luntur dari kebanyakan rakyat Malaysia. Malah pembangkang sendiri telah mengakui kehebatan beliau dalam menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun.

Pengalaman yang lama sebagai seorang negarawan yang ikhlas jiwanya tidak seharusnya diketepikan. Malanglah bagi UMNO jika Parti Keramat ini meminggirkannya dalam pelbagai perkara. Dengan Keramat UMNO dan keikhlasan Tun Dr Mahathir pasti kita dapat memulihkan UMNO yang berjasa ini.

Pandangan Tun Dr Mahathir bukan sekadar ucapan biasa kerana setiap lontaran ucapannya mengandungi azimat yang beliau nampak daripada firasatnya sebagai bekas pemimpin ulung bangsa Melayu dan dalam masa yang sama mementingkan semua kaum di negara ini.

Fikirkan sejenak wahai ahli dan pemimpin UMNO. Tun Dr Mahathir bukan calang-calang orang kerana beliau ialah seorang pemikir, penulis, pengkaji, penelaah, tidak tamak kuasa, memiliki daya intuitif yang sangat tinggi, tidak mudah percaya dan menerima segala maklumat melainkan dengan membuat kajian, tidak mudah berjanji tetapi jika berjanji akan ditepati.

Tentunya cadangan Datuk Seri Najib untuk bertemu dan berbincang dengan Pak Lah dan Tun Dr Mahathir berhubung masa depan parti dan negara, merupakan penghargaan yang sangat wajar kerana pengalaman yang dimiliki kedua-dua tokoh tersebut.

Ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Justeru sebagai Presiden UMNO dan bakal Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib akan lebih dihormati jika mengambil kira pandangan kedua-dua tokoh ini dan mencontohi apa sahaja sikap terpuji yang dimiliki oleh kedua-duanya dalam mentadbir negara.

1 comments:

On 2 April 2009 pada 1:04 PTG , jebbat berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.