Ucapkan ‘Terima Kasih Malaysia’

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Ucapkan ‘Terima Kasih Malaysia’


Terima kasih Malaysia. Itulah ungkapan yang paling wajar dan sesuai diucapkan oleh seluruh rakyat negara tercinta ini kerana diberi ruang dan peluang untuk hidup dan menetap di bumi bertuah yang sungguh unik dan istimewa, yang suatu ketika dahulu dikenali sebagai ‘swarnabumi’ ataupun ‘bumi emas’.

Bulan Syawal yang baru sahaja menggamit kita menjadi saksi dan bukti yang mendokong ungkapan terima kasih tersebut.

Buktinya, seperti biasa kita dapat lihat rakyat pelbagai keturunan saling mengunjungi ke rumah rakan-rakan mereka yang beragama Islam. Jelas ini menunjukkan, baik orang politik mahupun rakyat biasa, masing-masing boleh melupakan sejenak persengketaan antara mereka dan bersatu atas nama pemuafakatan dan kekitaan.

Apa lagi kita boleh rumuskan apabila melihat ribuan rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum dan agama membanjiri majlis rumah terbuka Perdana Menteri dan Kabinetnya di Sri Perdana pada hari raya pertama, kalau bukan suatu bukti kuat yang mendokong perpaduan kita selama ini.

Tradisi rumah terbuka, saling mengunjungi dan budaya bermaafan ini sekali lagi membuktikan bahawa kita masih boleh bersatu hati walaupun ada sedikit perselisihan faham. Kemeriahan perayaan jelas dapat menenggelamkan kemarahan dan persengketaan yang wujud.

Warisan nenek moyang inilah yang telah menjadi benteng kita selama ini dalam mempertahankan jambatan perpaduan antara kaum. Ia juga dapat mengelak dan menangkis segala prasangka buruk antara satu sama lain.

Gagasan 1Malaysia juga dapat direalisasikan jika kita terus memupuk budaya sebegini dalam sanubari generasi masa depan negara ini.

Semoga kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri dapat diteruskan dan dimantapkan lagi pada musim perayaan lain seperti Tahun Baru Cina, Deepavali, Hari Natal dan sebagainya. Ternyata masyarakat kita kaya dengan pelbagai adat dan budaya yang unik dan istimewa.

Keunikan ini jugalah telah menjadi kebanggaan kita selama ini. Masyarakat dunia melihat kemajmukan kita sebagai suatu yang pelik dan mustahil tetapi selama ini kita berjaya buktikan bahawa kita boleh maju dan membangun sebagai satu bangsa dan satu suara.

Bukan mudah untuk mempertahankan warisan turun-temurun ini. Dewasa ini terlalu banyak cabaran dan dugaan yang terpaksa kita tempuhi dalam mempertahankan perpaduan dan keharmonian kaum tersebut.

Ini kerana sudah ada golongan tertentu yang sengaja cuba bermain dengan api di mana mereka mengapi-apikan sentimen perkauman di kalangan kita demi untuk mengejar cita-cita kotor mereka.

Kontrak sosial yang kita meterai dan warisi mula dipersoalkan. Malah ada yang cuba untuk merobeknya sama sekali tanpa memikirkan kesan dan akibat yang bakal menimpa.

Kita merdeka, kita maju dan terkenal serta aman dan makmur selama ini kerana kita berjaya memelihara keunikan persefahaman antara pelbagai kaum yang ada. Kita juga bangga dengan tradisi yang kita amalkan selama ini.

Justeru kita wajar berterima kasih di atas keunikan yang telah negara ini anugerahkan kepada kita. Kita adalah insan terpilih yang diberi peluang untuk menikmatinya. Sebagai rakyat Malaysia marilah kita berkongsi bersama kenikmatan ini agar ia dapat terus dipelihara sehingga ke anak cucu kita.

Usahlah kita derhaka kepada ibu pertiwi ini. Syukurilah nikmat yang dipinjamkannya kepada kita. Ucapkanlah terima kasih Malaysia.

0 comments: