Hayatilah titah Sultan Selangor

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Hayatilah titah Sultan Selangor


Pada dasarnya baginda mahu kerajaan Selangor sekarang berhenti bercakap dan berpolitik yang terlalu banyak sehingga mengabaikan agenda pembangunan rakyat.

Umum mengetahui sejak hampir dua tahun menerajui Selangor, kerajaan sekarang telah berdepan dengan pelbagai isu yang menimbulkan polemik rakyat dari mulanya hingga kini.

Antaranya, isu ladang babi mega di Tanjong Sepat; isu pemindahan kuil hindu di Seksyen 23; isu penjualan arak di kawasan majoriti Islam; isu penstrukturan semula industri air yang belum selesai; dakwaan salah guna kuasa; isu Selcat dan lain-lain lagi.

Saya sebagai rakyat Selangor sentiasa keliru dengan perkembangan semasa politik dan pentadbiran negeri yang bukan hanya berlaku antara pakatan rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) tetapi juga sesama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau pemimpin PR.

Contohnya, antara DAP dan Pas dalam isu-isu penguatkuasaan enakmen pentadbiran Islam berkaitan penjualan arak dan juga cadangan lanjutan operasi pusat hiburan. Macam manalah rakyat seperti kami tidak keliru melihat pergeseran dalaman kerajaan itu yang sepatutnya bersatu hati untuk memerintah, maka apa yang dititah baginda Sultan memang ternyata kebenarannya sebab baginda adalah payung mahkota tempat rakyat bernaung dan berteduh.

Baginda saban hari dimaklumkan dengan perkembangan pentadbiran negeri dan segala urusan yang berkaitan dengannya maka sudah pasti baginda merupakan pihak yang pertama mendapat gambaran sebenar apa yang berlaku.

Apabila kepimpinan negeri sibuk berpolitik, berceramah dan mengabaikan agenda membawa pembangunan kepada rakyat yang memerlukan pembelaan, maka rakyat akan mengeluh, kecewa dan sedih kerana tidak dibantu untuk merubah kehidupan mereka.

Warga emas dan OKU, peniaga, golongan fakir miskin, anak yatim, serta ibu tunggal tidak seharusnya mendapat pembelaan secara bermusim (di ambang Aidilfitri, Maal Hijrah), malah harus terus dibela secara berterusan agar tidak tercicir dalam arus pesat pembangunan.

Maka secara kesimpulannya, saya amat menyokong penuh titah Tuanku Sultan Selangor yang 'mengejutkan MB dan kepimpinannya' untuk bingkas bangun membawa pembangunan kepada rakyat.

Ingatlah, rakyat adalah hakim sebenar mana-mana kerajaan dan jika kebimbangan dan kesulitan hidup mereka terus berlarutan maka mereka sudah pasti akan membuat perhitungan baru dalam PRU13 yang akan datang.

Dan semua ini bakal menjadi kenyataan jika situasi di Selangor kini tetap tidak berubah pada masa akan datang.

0 comments: