‘Takut bayang-bayang sendiri’

Filed under: by: Pejuang orang melayu

‘Takut bayang-bayang sendiri’


Agak mengejutkan apabila kerajaan Selangor mengambil keputusan untuk melarang kakitangan awam dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) milik negeri daripada mengikuti kursus Biro Tata Negara (BTN) berkuat kuasa serta merta.

Ini boleh diklasifikasikan sebagai tindakan marahkan nyamuk tetapi kelambu yang dibakar atau pun takut bayang-bayang sendiri. Kenapa takut sangat dengan kursus BTN? Adalah tidak adil sama sekali melemparkan tuduhan liar bahawa ia merupakan proses doktrinisasi oleh Barisan Nasional (BN) hingga mencetuskan fenomena perkauman.

Tuduhan bahawa BN cuba memecah belahkan penduduk pelbagai bangsa dan agama tidak boleh diterima sama sekali. Apakah kita lupa dan masih tidak sedar bahawa siapa yang sedang berusaha keras untuk menyatupadukan rakyat berbilang bangsa negara ini? Siapa yang telah memperkenalkan konsep 1Malaysia demi mewujudkan satu bangsa Malaysia yang sehati dan sejiwa?

Jika pihak kerajaan Selangor merasakan pengaruh mereka semakin terhakis itu adalah disebabkan kesilapan mereka sendiri yang gagal menyelesaikan pelbagai masalah yang timbul. Mereka juga dilihat gagal meyakinkan rakyat dengan corak pemerintahan mereka.

Usahlah cuba menyalahkan orang lain di atas kesilapan diri sendiri. Jika benar dakwaan bahawa rakyat masih menyokong mereka maka kenapa perlu takut dengan perkara kecil sebegini? Apalah sangat dengan kursus yang hanya makan masa selama seminggu sahaja?

Rakyat kita semakin bijak dan waras dalam membuat pertimbangan dan pemilihan. Justeru janganlah terlalu memandang rendah kepada kemampuan rakyat negeri Selangor. Mereka tetap akan menyokong jika mereka mahu walaupun ada pihak yang cuba menghalang mereka.

Keputusan ini dilihat lebih banyak mendatangkan kerugian daripada keuntungan. Pihak pelajar terutamanya, bakal menjadi mangsa keadaan. Mahasiswa yang sepatutnya diberi peluang serta pendedahan untuk mengikuti kursus-kursus kenegaraan sebegini pastinya terlepas peluang dengan sebegitu sahaja.

Sebagai peserta yang pernah menjalani kursus BTN ini penulis merasakan ia satu kursus yang cukup baik dan bermanfaat, terutamanya dari segi pembentukan jatidiri serta ketahanan mental dan fizikal.

Adalah sangat merugikan apabila mahasiswa dan kakitangan kerajaan tidak berpeluang lagi mengikuti kursus ini. Diharap kerajaan Selangor akan menimbang semula keputusan larangan tersebut.

Memanglah mereka mempunyai kuasa dan hak ke atas IPT dan jabatan milik kerajaan negeri. Tetapi janganlah menggadaikan masa depan anak-anak kita serta kualiti kerja serta moral dan motivasi kakitangan awam. Tiada gunanya menggunakan kuasa untuk perkara-perkara sebegini.

Utamakanlah masa depan anak- anak kita yang perlu dipupuk dengan nilai-nilai murni, jatidiri serta perasaan sayangkan negara kita. Usahlah mempolitikkan isu-isu sebegini yang jelas tidak mendatangkan sebarang faedah.

Banyak lagi hal yang boleh dipolitikkan dan digunapakai sebagai modal survival politik masing-masing. Biarlah mahasiswa dan kakitangan awam melaksanakan tugas mereka tanpa sebarang prasangka dengan ikhlas dan telus.



1 comments:

On 3 Disember 2009 pada 1:58 PTG , mudz berkata...

Pernah kursus BTN? Tak pernah shut your fucking mouth!....Bodoh Punya Melayu.