Jangan emosi pilih pemimpin
Semua sedang tertumpu di Parlimen Hulu Selangor bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) yang dijadual pada 25 April 2010 ini. Soal siapa calon sudah terjawab, apabila Perdana Menteri mengumumkan bahawa calon untuk Parlimen Hulu Selangor ialah dari MIC.
Ada yang kecewa dengan pengumuman ini, terutamanya pembuat propaganda dan pendesak yang mahukan calon dari kalangan UMNO. Namun Perdana Menteri sangat bijak dalam menangani tuntutan tersebut.
Sentimen kerjasama dan persefahaman yang telah dijana sejak sekian lama, tidak harus dimusnahkan dalam tempoh singkat dan hanya kerana sebuah pilihan raya kecil, tetapi ada agenda lebih besar yang sedang menanti rakyat untuk dilaksanakan oleh kerajaan, kerana itu persefahaman, perpaduan dan pemahaman terhadap gagasan 1Malaysia itu mesti sentiasa menjadi pegangan setiap rakyat Malaysia.
Soal calon dari parti politik mana sudah selesai, soal siapa calon pula biar pimpinan yang menentukan. Namun siapa calon BN bukanlah menjadi isu yang besar, tetapi yang paling penting ialah kemenangan calon tersebut bakal melimpahkan berbagai-bagai nikmat pembangunan kepada seluruh warga Parlimen Hulu Selangor.
Pastinya program transformasi kerajaan yang sedang dijana sekarang bakal melimpah ruah hingga ke Hulu Selangor, jika pengundi di sana terus konsisten dan kekal memilih calon Barisan Nasional (BN) yang mampu membawa suara penduduk Hulu Selangor di Parlimen, tentunya ia bakal didengari oleh Perdana Menteri.
Para pengundi di Hulu Selangor harus ingat, bahawa mereka perlukan calon yang mampu membawa dan menyelesaikan segenap permasalahan mereka kepada pucuk pimpinan negara, bukan wakil yang sekadar tahu mencari kelemahan dan kesilapan orang lain yang hanya menjadikan rakyat bawahan sebagai batu loncatan untuk mencapai kepentingan peribadi.
Penduduk di Parlimen Hulu Selangor harus ingat, gara-gara kesilapan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 yang lalu, mereka telah kehilangan satu kerusi Parlimen yang sangat berharga. Bukan itu sahaja, bahananya juga berlarutan hingga mereka kehilangan sebuah institusi pengajian tinggi (UiTM) yang mampu membuka berbagai-bagai ruang, bukan sahaja untuk pendidikan, tetapi peluang-peluang peningkatan ekonomi.
Semua berlaku apabila ada pihak yang berkepentingan dan tidak berwibawa cuba mentadbir urus sebuah negeri dengan cara di luar kemampuan sebenar. Bayangkan segala kerugian yang terpaksa ditanggung oleh seluruh warga penduduk di Hulu Selangor. Segala-galanya mungkin kerana rasa emosi yang telah diluahkan pada PRU12 yang lalu.
Bagi penduduk di lima buah Felda yang berada di dalam kawasan Parlimen Hulu Selangor, Felda Gedangsa, Sungai Dusun, Sungai Tengi, Sungai Tengi Selatan dan Sungai Buaya, tentunya masih ingat pesanan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang mahukan peneroka mengamalkan kehidupan harmoni dan sentiasa memberikan sokongan kepada kerajaan yang berusaha memberikan sebuah kehidupan baru, melalui penubuhan Felda yang merupakan salah satu strategi pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Hari ini nikmat DEB itu sudah dirasai oleh seluruh warga Felda termasuk anak-anak mereka, maka menjadi tanggungjawab mereka pula untuk mempertahankan nikmat dan rahmat DEB itu, untuk generasi akan datang.
Percayalah, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan melupakan kepentingan Felda, kerana itulah satu-satunya wasiat penting ayahandanya untuk dipertahankan sampai bila-bila.
Maka menjadi amanah dan tanggungjawab seluruh warga di Parlimen Hulu Selangor, untuk mereka terus merenung diri dan bermuhasabah dengan mengelakkan emosi yang menguasai diri, untuk menentukan pemimpin mereka yang mampu menjadi suara dan memperjuangkan nasib mereka di Parlimen pada hari mengundi 25 April 2010 ini. Selamat Mengundi.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 comments:
Maka menjadi amanah dan tanggungjawab seluruh Melayu di Parlimen Hulu Selangor, untuk mereka terus merenung diri dan bermuhasabah dengan mengelakkan bangsa asing menguasai diri, untuk menentukan pemimpin mereka yang mampu menjadi suara dan memperjuangkan nasib Melayu di Parlimen pada hari mengundi 25 April 2010 ini. Selamat Mengundi...tolak MIC