Perlukah ISA dimansuhkan?

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Perlukah ISA dimansuhkan?


Jakarta baru-baru ini sekali lagi digegarkan oleh letupan bom. Kali ini ia meragut sembilan nyawa dan mencederakan 50 orang yang tidak berdosa. Bayangkanlah sekiranya insiden yang sama menimpa negara kita, Malaysia. Namun Malaysia masih bernasib baik kerana kecekapan pihak keselamatan dan perisikan negara yang proaktif menangani isu-isu keganasan dalam negara kita.

Di sinilah pentingnya ISA yang masih relevan dalam usaha kerajaan mengekang keganasan dari berlaku. ISA bertindak sebagai langkah pencegahan. Jelas terbukti selama ini ISA walaupun dianggap oleh sesetengah pihak sebagai kejam tetapi tidak dinafikan ia berjasa mengekalkan keamanan negara selama ini.

Bayangkan apabila sebutir bom meletup di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur, mengorbankan banyak nyawa, kemudian beberapa pengganas yang disyaki terlibat ditahan pihak berkuasa.

Ia adalah suatu tindakan yang tidak berkesan yang mana akhirnya pihak berkuasa akan disalahkan kerana lembap menangani keganasan dan agensi perisikan akan dipersalahkan kerana gagal mengesan pergerakan pengganas. Inilah senario yang berlaku kepada pihak berkuasa negara-negara malang yang menjadi sasaran pengganas di seluruh dunia.

Sebaliknya pihak berkuasa di Malaysia berjaya menangani isu pengganas dan keganasan dengan begitu berkesan sekali namun tindakan pihak berkuasa langsung tidak mendapat reaksi positif, tidak ada sebarang ucapan terima kasih daripada sekumpulan rakyat yang memang menikmati keamanan tersebut sebaliknya mereka mencemuh kerajaan sebagai kejam dan zalim mempergunakan ISA.

Kumpulan inilah yang bercadang menggerakkan satu perhimpunan besar-besaran untuk mendesak kerajaan memansuhkan akta yang dilaung-laungkan oleh mereka sebagai tidak berperikemanusiaan iaitu ISA pada 1 Ogos 2009.

Hakikatnya, kumpulan inilah yang sebenarnya kejam, sanggup mengheret rakyat yang tidak bersalah demi memenuhi kepentingan peribadi mereka malah ada pemimpin politik yang cuba menggunakan kesempatan ini untuk menutup masalah peribadi yang sedang dihadapi.

Mereka sanggup membakar semangat dan nafsu amarah rakyat dengan memutar belit kenyataan dengan menghambur pernyataan-pernyataan negatif terhadap ISA biarpun realitinya lebih banyak kebaikan hasil dari pelaksanaan ISA!

Sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini semasa demonstrasi jalanan tersebut, pihak kerajaan langsung akan dipersalahkan sebagai bertindak kejam sebaliknya pihak-pihak yang bertanggungjawab mengadakan demonstrasi pula akan dianggap hero.

Selalunya yang akan mendapat kecederaan ialah penyokong-penyokong bawahan yang akan bertindak di bawah sedar sebaliknya “hero-hero” mereka pula selamat kerana akan berada di barisan belakang untuk meniupkan api kemarahan orang ramai!

Dalam sesuatu demonstrasi tidak mustahil akan berlaku sesuatu yang lebih dahsyat seperti letupan bom kerana keadaan politik negara kini berada dalam suasana yang amat tertekan menyaksikan parti pembangkang semakin terdesak untuk meneruskan sandiwara mereka. Kematian ‘mengejut’ saksi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Teoh Beng Hock mungkinkah satu lagi konspirasi politik pembangkang yang sanggup mengorbankan nyawa?

Kepada seluruh rakyat Malaysia, adakah anda tidak rasa begitu gembira dengan apa yang anda nikmati sekarang? Adakah anda rasa kehidupan anda diselubungi dengan ketidakadilan? Adakah anda rasa disekeliling anda penuh dengan kezaliman? Atau adakah anda rasa sekiranya saban hari jalan raya-jalan raya perlu dipenuhi dengan demonstrasi jalanan barulah wujud keadilan atau Kuala Lumpur sering digegarkan dengan letupan bom barulah wujud keamanan!

0 comments: