Jangan jadi juara isu Chin Peng

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Jangan jadi juara isu Chin Peng


Dalam mengharungi arus sosial perdana ketika ini para pendukung kemodenan dan nilai budaya sejagat yang kerap kali menguar-uarkan prinsip cross-culture tetapi tidak kesemuanya munasabah, terdapat individu-individu politik dan penggerak badan-badan bukan kerajaan yang tidak habis-habis bermimpi sebagai pendukung kepada prinsip-prinsip tersebut.

Paradoksnya mereka ini menjadi pendukung yang 'buta' dan 'tuli' kerana tidak mendalami apakah sebenarnya prinsip yang mereka dukungi itu. Inilah pernyataan kepada permasalahan tentang 'Chin Peng' yang dimanifestasikan perlakuan mereka ini dalam bentuk kenyataan yang jumud tanpa landasan intelektual, apatah lagi rasional.

Pendek kata, kalau kita kurang berilmu dalam sesuatu bidang itu baiklah berdiam diri sahaja! Sekiranya tidak, jadilah seperti mereka yang apabila sudah mengasak masyarakat untuk menerima sesuatu pendapat, mereka kemudian sekadar pandai 'melontar batu, tetapi sorokkan tangan di belakang'.

Banyak sudah diperkatakan tentang Chin Peng baru-baru ini. Amat sukar untuk kita menukar pendirian suara-suara sumbang ini kalau mereka sendiri tidak mendalami apakah Peperangan, Insurjens (pemberontakan), Ideologi Komunisme, Dogma Mao-tse Tung dan Dogma PKM.

Pendedahan kepada aspek-aspek ini melalui Internet dalam masa beberapa minit sahaja tidaklah mencukupi berbanding mereka yang bertahun-tahun mentelaah dalam bidang ini termasuk juga mereka yang mengalami dan melihat sendiri perlakuan dari PKM.

Justeru, timbullah champion dari kalangan individu tertentu yang kononnya bersimpati kepada PKM atas dasar prinsip kemanusiaan sejagat.

Malah ada yang menyebut kekejaman British dan Jepun semasa zaman penjajah dan Peperangan Dunia Ke-2 adalah lebih dahsyat lagi berbanding kekejaman insurjens oleh PKM.

Betapa ceteknya pengetahuan mereka yang gagal membandingkan peperangan di antara negara dan konflik domestik dalam negara berbentuk insurjens yang mahu menumpaskan pemerintah negara popular secara ganas. Kedua-dua aspek ini mempunyai perbezaan yang fundamental!

Tidak perlulah kami huraikan perbezaan itu di sini. Lantaran mereka ini masih dilamun bayangan dan angan-angan tanpa menyedari real-politik orde dunia di bawah kerangka PBB ditubuhkan selepas Peperangan Dunia ke-2.

Wajarkah kita tuntut kekejaman terdahulu dari penjajah British sebelum orde dunia ini?

Namun, ada pula yang sanggup untuk membela PKM bagi memihakkan terma-terma persetujuan peletakan senjata di Hatyai pada Disember 1989 agar ahli PKM dibayar sagu hati RM50,000 dan diberi sebidang tanah untuk bercucuk tanam. Inilah peguam yang kononnya terpanggil untuk membela PKM berlandaskan prinsip kemanusiaan sejagat yang tidak ubah seperti 'melepaskan anjing tersepit' demi untuk populariti dan wang.

Pendek kata, janganlah kita terlalu terbawa-bawa dengan sesuatu impian tanpa mendalami aspek-aspek ilmiah atau proses-proses rasional terlebih dahulu. Inilah yang telah diperturunkan kepada kita semasa di universiti dahulu.

0 comments: