Bertanding di Penanti ambil kira kepentingan rakyat

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Bertanding di Penanti ambil kira kepentingan rakyat


Sama ada Barisan Nasional (BN) akan meletakkan calonnya atau tidak untuk bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti di Pulau Pinang yang dijangka diadakan tidak lama lagi, masih terlalu awal untuk diduga.

Meskipun kenyataan awal oleh beberapa pemimpin BN termasuk Datuk Seri Najib Razak sendiri jelas menunjukkan parti itu tidak begitu berminat untuk turut serta kerana menganggap pilihan raya kecil berkenaan sebagai helah politik pembangkang, ada juga pihak yang berpendapat bahawa tindakan memulaukan pilihan raya itu sebagai tidak wajar.

Mereka yang mahukan BN khususnya Umno bertanding berpendapat mengecualikan diri daripada bertanding akan bermakna ‘mengaku kalah sebelum bertarung.’ Ini dikatakan bukan saja akan menjejaskan kredibiliti parti itu, malah mengecewakan anggota parti dan melemahkan semangat mereka.

Sebagai parti yang sedang berusaha memperbaiki imejnya yang tercalar selepas kekalahan teruk pada pilihan raya umum lalu dan empat pilihan raya kecil selepas itu, Umno dikatakan perlu meyakinkan parti komponen lain bahawa BN wajib bertanding di Penanti, salah satu daripada tiga kerusi DUN dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh, satu-satunya kubu kuat ketua pembangkang dan pemimpin de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia juga taktik untuk menutup krisis dalaman yang dihadapi PKR sekarang di samping cuba mengalihkan perhatian masyarakat daripada masalah peribadi yang dihadapi Anwar sendiri. Adalah diramalkan beliau akan memaksa lebih banyak pilihan raya kecil diadakan menjelang perbicaraan kesnya, lewat Julai ini.

Bertolak daripada pendirian demikian, adalah lebih munasabah dan wajar bagi BN untuk tidak turut serta pada pilihan raya kecil itu. Sebaliknya, jika BN mengambil bahagian, parti ini bukan saja akan sekali gus memasuki perangkap pembangkang. Ini dengan sendirinya menggalakkan mereka untuk memaksa lebih banyak pilihan raya kecil pada masa akan datang untuk terus menyemarakkan semangat penyokong mereka dan pada masa sama mengganggu gugat tumpuan kerajaan daripada usaha membangunkan negara serta memperbaiki taraf hidup rakyat.

Oleh yang demikian, apa pun keputusan yang bakal diambil pucuk pimpinan BN berhubung penyertaannya pada pilihan raya kecil itu nanti, mereka tidak boleh lari daripada falsafah ‘1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri.


Pencapaian yang perlu diutamakan di sini ialah pencapaian dari segi melaksanakan projek dan program di bawah dua pakej rangsangan ekonomi yang telah dilancarkan untuk mengurangkan beban dan penderitaan rakyat akibat krisis ekonomi global yang sedang dihadapi.

Pencapaian paling baik yang mampu diperoleh daripada bertanding pada pilihan raya kecil yang tidak perlu itu ialah kemenangan bagi calon BN. Kemenangan ini belum tentu dapat mengubah keadaan dan menambah baik kehidupan rakyat di Penanti.

Sebaliknya kalau keputusan, tindakan atau gerak kerja yang dilaksanakan masih dipengaruhi pertimbangan biasa seperti diamalkan selama ini, maka usaha untuk menjadikan urusan kerajaan dan parti sebagai tidak seperti biasa atau ‘no longer business as usual’ tidak akan berjaya. Budaya lama yang jelas mengekang kemajuan akan terus bertapak di minda rakyat.

Masa untuk rakyat menjadikan soal maruah, menjaga hati dan perasaan sebagai asas untuk membuat pertimbangan sehingga mengatasi soal praktikaliti dan rasional sepatutnya sudah berlalu.

1 comments:

On 23 April 2009 pada 10:04 PG , Tanpa Nama berkata...

KEs Fairus digugurkan...konspirasi lagi agar Fairus tidak memdedahkan kepincangan dan salahlaku parti. Malah rancangan jahat ini adalah kerana semata mata untuk meraih populariti di Penanti...