Liberalisasi ekuiti, kewangan mesti dimanfaat rakyat

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Liberalisasi ekuiti, kewangan mesti dimanfaat rakyat

Langkah kerajaan membuka pasaran 27 sektor kecil perkhidmatan tanpa sebarang syarat pegangan ekuiti tempatan seperti diumumkan Datuk Seri Najib Razak kelmarin adalah satu langkah drastik yang berani, tetapi dilihat menepati keperluan untuk mendepani keadaan ekonomi global yang agak muram sekarang. Jika sebelum ini ada pelabur bimbang menanam modal di negara kita kerana sekatan pemilikan ekuiti Bumiputera, kini mereka boleh memiliki sepenuhnya kepentingan dalam 27 sektor kecil itu.

Ketika seluruh dunia menghadapi kemerosotan pelaburan langsung asing (FDI) dan sektor eksport setiap negara, termasuk Malaysia terjejas teruk berikutan permintaan yang jatuh mendadak, pembukaan pasaran bagi 27 sektor itu dilihat sebagai jalan alternatif untuk mengekang kemelut kejatuhan pelaburan asing itu.

Langkah ini dijangka membawa masuk lebih banyak FDI, sekali gus memberi kesan positif kepada pertumbuhan ekonomi negara. Kesan positif secara langsung yang akan dirasai daripada kemasukan FDI ini adalah dari segi kewujudan lebih banyak peluang pekerjaan dalam negara.

Mungkin ada pihak yang bimbang kemungkinan langkah itu menjejaskan industri perkhidmatan dalam negara. Sudah tentu pihak kerajaan, terutama Unit Perancangan Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri sudah membuat kajian mendalam meliputi semua aspek sebelum pengumuman itu dibuat.

Liberalisasi sektor perkhidmatan kewangan pula dijangka diumumkan minggu depan dan kita menjangka ia akan turut membabitkan sektor kewangan Islam yang kini menjadi alternatif utama kepada kaedah konvensional. Liberalisasi sektor kewangan Islam bakal menjadikan ia peneraju utama sektor kewangan Malaysia, mengatasi sektor kewangan konvensional, selaras usaha menjadikan Malaysia sebagai hab kewangan Islam dunia.

Oleh itu, setiap inisiatif untuk memajukan sektor kewangan Islam memerlukan anjakan paradigma berorientasikan inovatif. Langkah itu juga sejajar dengan komitmen Malaysia terhadap Perjanjian Asean mengenai liberalisasi sektor perkhidmatan dan kewangan.

Bagaimanapun, sejak dasar itu mula dilaksanakan beberapa tahun lalu, tidak semua negara Asean bersedia membuka pasaran kerana masing-masing mahu melindungi kepentingan dalam negara sendiri, tetapi kemelut ekonomi yang sedang dihadapi memungkinkan lebih banyak negara anggota berbuat demikian jika mahu menghidupkan kegiatan ekonomi dalam suasana tidak menentu. Semua langkah itu, tidak akan memberi kesan buruk kepada industri perkhidmatan domestik kerana kerajaan sudah memberi jaminan untuk terus menyokongnya menerusi pembangunan kapasiti dan pembukaan pasaran eksport.

Begitu pun, kerajaan perlu mengambil iktibar krisis subprima yang tercetus di Amerika Syarikat dan kini merebak ke seluruh dunia, supaya lebih berhati-hati merangka strategi meliberalisasikan sektor perkhidmatan supaya kejayaannya turut dinikmati rakyat tempatan, sejajar pendekatan ‘Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan.’

0 comments: