Hayati lagu Ilham Pujangga semai jati diri generasi muda

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Hayati lagu Ilham Pujangga semai jati diri generasi muda

Peringatan Sultan Azlan Shah mengenai tindakan kumpulan tertentu menghasut rakyat selain mencemar institusi diraja dengan menyemai rasa benci mengingatkan saya kepada lirik lagu Ilham Pujangga, nyanyian Ismail Haron pada 1972.

Sehingga kini, lagu itu masih berkumandang menerusi siaran Klasik Nasional. Antara lain, lirik lagu itu menyebut 'Ia anak muda tidak kerana tergelincir kakinya, tetapi matinya anak muda itu kerana tergelincir lidahnya, berdiamlah diri kamu daripada perkara yang bukan-bukan, bersuaralah kamu kepada perkara yang memberi kebaikan.'

Oleh kerana anak muda kini lebih pandai dalam soal lagu, lirik dan sebagainya, saya berasakan adalah elok lagu ini disiarkan lebih kerap terutama di televisyen.

Generasi muda kita sudah ramai yang buta Rukun Negara, sampai ada yang tidak tahu menyebutnya sampai habis, malah tergagap-gagap hendak sebut mana dulu dan mana kemudian, maka eloklah lagu Ilham Pujangga ini disiarkan supaya dihayati dengan mendalam.

Sebenarnya, proses membentuk jati diri masyarakat, terutama anak muda yang mudah digoyah oleh sesuatu pengaruh perlu diberi perhatian kerajaan.

Mereka sebenarnya perlu diberi pendedahan mengenai kemelut politik, bahaya perpecahan, pentingnya perpaduan kaum dan perlunya mereka menabur jasa kepada negara, bukannya mencari jalan meruntuh dengan pelbagai tingkah laku negatif.

Dalam satu wawancara di televisyen baru-baru ini, seorang penganalisis politik menjelaskan bahawa jati diri sangat penting bagi generasi muda yang lahir selepas pasca merdeka. Malangnya, mereka ini tidak boleh diumpamakan seperti ikan laut, walaupun dikelilingi air masin, isinya manis, sedap dan menyelerakan.

Anak muda sekarang dipalit pelbagai macam isu yang akhirnya mendorong mereka melakukan pelbagai perkara di luar dugaan.

Sudah sampai masanya mata pelajaran Sejarah dinilai semula kedudukannya untuk diperkenalkan pada peringkat sekolah rendah, manakala pada peringkat sekolah menengah kajian mengenai keberkesanan mata pelajaran itu sangat penting untuk melihat sejauh mana kesesuaiannya dengan tuntutan zaman.

Pemimpin politik pula diharap tidak terlebih emosi untuk mempengaruhi penyokong sehingga bertindak liar.

Sehubungan itu, titah Sultan Azlan Shah mesti dijadikan iktibar oleh semua pihak agar segala permasalahan yang mampu membawa ke kancah tidak diingini boleh dielakkan.

0 comments: