Nasihat Tun Dr Mahathir masih diperlukan

Filed under: by: Pejuang orang melayu

Nasihat Tun Dr Mahathir masih diperlukan


Kehadiran Tun di hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO hujung minggu lalu amat mengharukan dan sedikit mengejutkan. Ahli UMNO yang turut berada di Dewan Merdeka ketika itu dapat merasakan suatu suasana yang begitu sensasi dan penuh emosi.

Perwakilan yang pada mulanya agak terkejut dengan pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin tentang ketibaan Tun telah berdiri bertepuk tangan tunjuk hormat secara beramai-ramai.
Tepukan itu amat gemuruh dan diulang berkali-kali dengan jeritan 'Hidup Tun' yang begitu bersemangat.

Itulah dia Tun Dr. Mahathir. Beliau seorang Mahaguru politik yang mempunyai personaliti dan kehebatan bertindak pada masa dan keadaan yang sesuai dan tepat.

Seperti kata Nixon seize the moment! itulah sebenarnya yang dilakukan oleh Tun pada hari keramat tersebut. Jelas sekali, beliau masih amat sayang dan rindukan UMNO.

Seperti kata Presiden baru UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan penggulungannya, "darah yang mengalir dalam tubuh badan Tun ialah darah UMNO".

Siapa sahaja yang hadir ataupun menonton televisyen di rumah ketika peristiwa itu ditayangkan secara langsung pasti bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Presiden parti. Ketika beliau melangkah ke arah pentas untuk bersalaman dengan saf kepimpinan UMNO yang baru dipilih, dunia seakan berhenti sejenak.

Kini Tun akan kembali ke pangkuan UMNO. Kita yakin, sebagai seorang negarawan yang cintakan perjuangan agama dan bangsanya, beliau akan terus mencurahkan pengalaman dan pandangan. Kekuatan minda Tun amat diperlukan dalam membantu Presiden parti menentukan hala-tuju kebangkitan parti.

Kemunculan beliau di hari terakhir perhimpunan telah memberi satu harapan dan impak yang mendalam kepada para perwakilan UMNO yang hadir. Laungan 'Hidup Mahathir' yang dilaungkan bertalu-talu oleh perwakilan ke arah Tun mencerminkan perasaan hormat dan penghargaan yang amat mendalam terhadap kepimpinannya yang lalu.

Mereka begitu teruja dengan penampilan Tun di Dewan Merdeka sehari sebelumnya.
Pada mereka, alangkah baiknya kalau Tun dapat menjejakkan kakinya ke Bukit Gantang dan Bukit Selambau barang seketika, bagi membantu menyuburkan semangat jentera BN.
Sesungguhnya, rakyat amat merindui nasihat dan kata-kata hikmat Tun dalam menentukan masa depan cucu-cicit Melayu.

0 comments: